Mama...Mama...Mama?

Tuesday, November 30, 2010

  
Tanggal 29 November 2010, satu cabaran baru buat diri saya. Cabaran untuk menguruskan Si Comel tanpa adanya mamanya di sisi. Mungkin biasa bagi anda yang sudah 'biasa' dengan situasi tersebut. Bagi diri saya, inilah buat pertama kalinya.

Mama tidak ke mana, hanya pergi berkursus selama lima hari di tempat kerjanya. Moga-moga mama tidak ada masalah dengan kursus tersebut. Mama akan kembali selepas tamatnya kursus nanti. Mungkin itulah saat yang ditunggu-tunggu oleh Si Comel barangkali.

Saya sebenarnya mengambil cabaran tersebut sebagai perkara yang 'positif' dan yang paling utama adalah tanggungjawab yang wajib saya tunaikan walaupun tanpa mama di sisi. Pasti pelik Si Comel kalau tiada orang yang disayangi di sisi. Urusan rutin dapat saya lakukan tanpa masalah pada hari pertama, cuma hari berbaki belum tahu lagi. Semoga ia juga tidak ada masalah.

Cuma semalam, saya dan Si Comel tidur awal dalam jam 9.00 malam. Mungkin dia mengantuk dan saya juga mengantuk, maka masuk ke bilik tidur awal sesudah solat Isya'. Kerja dan mesyuarat di tempat kerja juga sedikit sebanyak membantu untuk menambah keletihan saya. 

Tersedar pada jam 3.00 pagi, mahu pergi ke bilik air. Tiba-tiba Si Comel pun bangun juga daripada jaganya. Mula-mula ingatkan dia dahagakan susu, mahu sahaja membancuh susu. Tetapi apabila ditanya, "mahu susu?" Dia gelengkan kepala. Beberapa kali juga soalan yang sama diajukan kepadanya, perkara yang sama juga ditunjukkan kepada saya dengan menggeleng kepala.

Niat untuk ke bilik air, dibatalkan buat seketika. Bingkas ke katil untuk bersamanya dan menemaninya tidur kembali. Tersentak seketika, tiba-tiba mulutnya berbunyi, "Mama...Mama...Mama..." Mungkin teringat akan mamanya yang selalu tidur juga di sebelahnya sebelum ini. Saya katakan pada Si Comel, "Mama kerja. Nanti habis kerja, mama akan baliklah nanti." Mungkin dia faham dan terus mendakap saya seerat-eratnya. Harapan di hati agar cepat-cepatlah habis kursus.







Jangan Biarkan Si Comel Menangis

Sunday, November 28, 2010



Siapa kata Si Comel tiada perasaan? Pernah juga tertanya-tanya soalan sedemikian di dalam hati. Maklumlah pengalaman untuk menjaga Si Comel ini bukanlah semudah yang disangka. Macam-macam tips serta panduan diberikan. Pelbagai buku serta artikel ditulis berkaitan dengan penjagaan Si Comel ini.

Cuma apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah pengalaman tersendiri saya. Sekadar perkongsian, moga-moga ia dapat memberi manfaat kepada diri saya khususnya serta pembaca amnya.

Bagi anda yang sudah mempunyai cahaya mata, mungkin anda lebih arif dan memahami daripada diri saya. Mungkin saya boleh belajar daripada pengalaman anda. Inilah yang sebenarnya saya harapkan dan inginkan.

Pulang sahaja daripada tempat kerja, sudah tentu kita ingin berehat untuk hilangkan penat. buat seketika bukan? Sekejap pun jadilah. Selalunya, apabila tiba sahaja pada muka pintu rumah, Si Comel sudah tercegat menunggu kepulangan si ayah atau si ibunya. Bukan apa, nak bermain-main dengan si ayah atau si ibulah.

Waktu inilah yang akan menguji diri saya sama ada untuk memilih berehat atau bermain dengan Si Comel. Pilihan yang dibuat nanti mempunyai kebaikan tersendiri. Bukan keburukan yang dipinta oleh saya. Untuk meletakkan pilihan yang tepat selalunya bergantung kepada situasi semasa. 

Jika memilih untuk terus masuk ke bilik dan terus berehat seketika, sudah tentu hati Si Comel akan terasa kecewa kerana tidak memilih untuk bermain dengannya. Bukannya tidak mahu bermain, tetapi saya mahu rehat seketika dahulu, selepas itu barulah akan memilih untuk bermain dengan Si Comel.

Yang menjadi masalah adalah Si Comel memaksa serta menarik-narik tangan saya untuk bermain dengannya. Diajak ke tempat permainannya yang sudah bersepah dan berselerakan. Selepas itu, diajak pula untuk mengajarnya membaca buku-buku yang dibeli kepadanya.

Penat seharian di pejabat pun belum hilang lagi, nak ditambah pula dengan telatah Si Comel di rumah. Kadang-kadang hilang sabar dibuatnya. Mahu diherdiknya pun ada. Nak marah-marah pun ada. Tapi, terfikir juga sebelum memarahinya, Si Comel juga punyai perasaan seperti saya. Kalau kita dimarahi oleh bos atau majikan di pejabat, maka kita juga akan memendam rasa geram, ‘tension’ atau macam-macam perasaan buruk lagi. Sampaikan mahu ditampar sahaja mulut si bos atau majikan kita tadi. Bagi si perempuan pula, kalau dimarahinya, pasti menangis. Yang kuat semangat sahaja akan simpan tangisannya di dalam hati. 

Si Comel pun barangkali begitu. Kalau diherdik atau dimarahi, pasti juga menangis. Dari segi psikologi pula, akan membuatkan Si Comel akan berasa ‘takut’ pada kita nanti. Walaupun penat sekalipun, nasihat saya adalah jangan biarkan Si Comel kita menangis. Itulah sebaik-baiknya…

Nasihat Umpama 'Ubat-Ubatan'...

Tuesday, November 23, 2010


Selepas solat Maghrib semalam, saya mendengar tazkirah ringkas daripada Ustaz Zahazan di salah sebuah stesen radio di Malaysia. Beliau membaca beberapa potong ayat al-Quran dan menterjemahkannya dengan bahasa yang paling mudah untuk difahami. Tak sangka, ada satu petikan kata-katanya membuatkan saya tertarik. Beliau menyatakan bahawa orang yang sakit sekiranya tidak diberikan 'ubat', maka bertambahlah sakitnya nanti. Kalau si pesakit tu makan 'ubat' yang diberikan, paling tidak sakitnya akan beransur sembuh. 

Begitu juga dengan kehidupan kita seharian. Kita hendaklah memandunya dengan agama. Cara memandu kehidupan kita adalah dengan mendengar nasihat atau ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadis. Nasihat inilah yang dikatakan 'ubat' dan 'ubat' yang ada, hendaklah kita selalu gunakannya. Bukan ketika badan berasa sakit sahaja barulah  kita akan terasa kepentingan 'ubat' tersebut. Ia hendaklah digunakan setiap masa.

Bayangkanlah, daripada kita bangun tidur sehinggalah kita akan masuk ke kamar tidur kembali, agama Islam sudah mengajar kita dengan pelbagai adab dan akhlak mahmudah untuk kita amalkan. Sebesar-besar perkara iaitu mentadbir dunia dengan agama Islam adalah tuntutan terbesar untuk kita laksanakan. Umum sudah mengetahui bahawa sistem Khilafah Uthmaniah dijatuhkan oleh Kamal Attaturk pada tahun 1924.

Islam bukan hanya untuk kita menunaikan solat, puasa atau mengerjakan haji sahaja. Malah lebih daripada itu tuntutannya. Saya juga selalu mendengar kata-kata bahawa "Islam is the way of life", "Islam Nizhomul Hayah"  atau dalam bahasa mudahnya, Islam merupakan satu cara hidup. Bimbang kalau-kalau kita menidakkan ajaran atau tuntutan Islam supaya mentadbir negara dengan Islam boleh menyebabkan kita murtad secara kita tidak sedari. Mulut kita mudah memperlekeh sistem perundangan Islam dengan mengatakan bahawa sekiranya kita melaksanakan hukum hudud, bahawa orang bukan Islam takut dengan kita. 

Kalau berkaitan dengan kewajipan menutup aurat pula, selalu juga saya dengar orang berkata, "orang yang menutup aurat pun melakukan perkara tak elok, kalau macam tu baik tak payah tutup aurat terus, malah baik kita pula daripada orang yang menutup aurat", "Allah tak nilai luaran kita, tetapi Allah menilai apa yang ada dalam hati kita", "pakai tudung ni panas, rimas...", "tak ikut trend terkini lah engkau ni, asyik tutup kepala jer 24 jam". Mungkin banyak lagi ungkapan yang terdapat dalam percakapan seharian kita yang mana tanpa kita sedari boleh membawa kepada murtad kecil. 

Sebab itulah saya merasakan bahawa agama dan kehidupan mestilah seiring dan tidak boleh mengambil bahagian yang kita suka sahaja dalam melaksanakan tuntutan Islam. Bahagian yang sukar atau tidak bersesuaian dengan nafsu dan akal kita, maka kita tinggalkannya. Kembali kepada tazkirah yang saya sebutkan di awal tulisan saya tadi, ibarat seperti sepuluh jenis 'ubat' yang diberikan oleh seorang doktor untuk kita makan, tetapi kita hanya memilih dan memakan lima jenis 'ubat' sahaja. Yang lainnya, kita biarkan sahaja. Sudah tentu, penyakit kita sukar untuk disembuhkan. Kalau sembuh pun, mungkin akan ada masalah lain atau simptom lain pula akan wujud.

Begitu juga dengan ajaran-ajaran di dalam agama Islam, mudah sahaja analoginya, Islam mewajibkan untuk menutup aurat, tetapi kita mendedahkan aurat. Masalah yang akan wujud nanti adalah, mungkin kita akan terdedah dengan gangguan seks atau zina mata oleh sang lelaki/wanita nanti. Selepas itu, sekiranya tidak dapat dibendung maka akan berlakulah perzinaan.

Bersambung lagi untuk monolog seterusnya...



 

 

Nilai Setitis Air Mata


Air mata...barangkali agak mudah untuk kita melihat pelakon melakukannya di dalam sesebuah drama atau filem. Mudah jugak untuk kita menitiskan air mata apabila melihat lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol dalam filem Kuch Kuch Hota Hai. Filem yang pernah menggegarkan industri hiburan tanah air pada suatu ketika dahulu. Malah filem tersebut mencapai jualan 'box-office'. Kalau di kaca televisyen, sudah berkali-kali ditayangkan oleh pihak media.

Cuma, bernilaikah titisan air mata kita semata-mata adegan sedih dan menyayat hati di dalam filem tersebut? Kalau diikutkan helaian tisu, sudah habis digunakan untuk mengesat linangan air mata kita.

Pernahkah kita mengeluarkan air mata demi cinta serta sayang kita pada Allah SWT? Pernahkah kita menangis kerana takutkan azab-Nya di Akhirat nanti? Pernahkah juga kita menitiskan air mata mengenangkan dosa-dosa yang kita lakukan? Biarlah air mata yang dititiskan ada 'nilai' atau 'value' di sisi Allah kelak. 

Sedikit kesimpulan daripada sebuah hadis Nabi SAW untuk direnung bersama :-

Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, “ Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?” Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.

Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.


Berdoalah...

Monday, November 22, 2010

"Ya Allah, dengarlah doa hamba-Mu ini". Begitulah ungkapan yang biasa disebut-sebut oleh kita apabila berdoa pada Yang Maha Esa. Begitulah rutin kita setiap hari, selesai sahaja  kita bersolat, kita akan berdoa memohon macam-macam pada-Nya. Moga-moga apa yang dipinta dan dimohon akan diperkenan oleh-Nya. 

Ramai yang berdoa, tetapi minda dan hatinya tidak 100% fokus pada-Nya.  Minda kita berada di alam yang lain, memikirkan perkara-perkara duniawi yang belum selesai. Mulut kumat-kamit memohon sesuatu tetapi kita tidak mengerti apa yang kita mohonkan. Mudah kata, kita berdoa dengan tidak bersungguh-sungguh. 

Benar kata Nabi SAW yang bermakna " Doa adalah otak ibadah ". Elemen penting dalam ibadah kita adalah berdoa. Beribadah tanpa doa seperti melakukan sesuatu kerja tanpa mengharapkan ianya diterima. Semua agama di dunia ini mengajar untuk berdoa. Ada perkataan Bahasa Inggeris menyebutnya 'prayer' yang bermaksud permohonan. Agama-agama lain menganjurkan untuk bermediasi dengan tuhannya agar apa yang dimeditasi itu akan didengari oleh tuhannya nanti. 







 

Didiklah Anak dengan Agama

Sunday, November 21, 2010


Tugasan mendidik anak-anak bukanlah semudah ABC. Anak merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai harganya. Tidak mampu diukur dengan nilaian wang ataupun ketulan emas. Malah anugerah ini merupakan amanah Allah untuk kita galas. 

Ibu bapa hendaklah memainkan peranan sebenar untuk mendidik serta mencorak anak tersebut nanti. Jika kita memilih untuk mencorak anak kita dengan corakan batik moden, maka natijahnya nanti adalah batik moden. Sekiranya kita mencorak dengan corakan batik abstrak, maka natijahnya nanti adalah batik abstrak. Ini kerana, itulah pilihan corak yang kita tentukannya.

Bimbang kalau-kalau semasa kita mencorak anak-anak tersebut, kita tersalah pilih corak. Maka, hasilnya adalah negatif nanti. Utamakan serta dahulukan didikan atau 'corak' tersebut dengan agama. Ajarlah mereka bersolat, membaca al-Quran dan mengenali nama-nama Allah dan Rasulnya. Bawalah mereka ke masjid atau paling kurang, ajarilah mereka untuk bersolat bersama-sama dengan kita secara berjemaah di rumah.

Apa yang dirunsingkan, sekiranya pencorak atau kita selaku ibu bapa sudah dipenuhi dengan dosa atau amalan negatif, mungkinkah mereka akan menuruti apa yang kita suruh? Bak kata pepatah, "ibarat ketam menyuruh anaknya berjalan betul". 

 


Senaraikan Tugasan...

Monday, November 15, 2010


Hampir setiap hari kita berkerja, kita akan ditambah dengan tugasan baru bukan? Dahlah tugasan yang diberikan semalam pun masih belum siap lagi. Ini ditambah pula dengan tugasan baru. Mahunya pecah kepala kalau fikiran kita asyik fikir pasal kerja sahaja.

Untuk memudahkan tugasan kita di pejabat atau di tempat kerja, buatlah satu senarai tugasan (checklist) terlebih dahulu. Senaraikan kesemua tugasan yang ada dalam fikiran kita di atas satu helaian kertas. Tulis seberapa banyak tugasan yang ada, usah dikira berapa jumlahnya. Sepuluh tugasan ker, dua puluh tugasan ker atau hatta seratus tugasan sekalipun, senaraikan tugasan terlebih dahulu.

Seterusnya, lakukan tugasan yang disenaraikan mengikut keutamaan serta kepentingan.  Sudah tentu tugasan tersebut adalah yang terpenting dan hendaklah disegerakan. Tugasan yang tidak penting atau tidak segera boleh dilakukan selepasnya. Jika dibaca tulisan Stephen R Covey, dalam bukunya bertajuk "The 8th Habit" ada menyarankan agar mendahulukan yang paling utama dahulu atau put first things first. Ayuh, ambil sebatang pen dan sehelai kertas dan mulakan penyenaraian tugasan sekarang!


Rancang Kerja Anda

Tuesday, November 9, 2010



Apa yang perlu dilakukan apabila tiba di tempat kerja? Sudah tentu anda mengatakan "saya mahu siapkan kerja yang telah diamanahkan serta dipertanggungjawabkan oleh majikan". Sekiranya kita sebagai bos atau pengurus kepada perniagaan sendiri, kita akan mengatakan "saya mahu siapkan kerja itu, kerja ini.."

Inilah yang selalu bermain-main di fikiran kita apabila tiba di tempat kerja. Kita lebih selesa melakukan kerja rutin kita berbanding membuat satu perubahan baru terhadap kerja kita seharian. 

Walhal, pernahkah kita merancang atau membuat sesuatu yang baru dalam cara kita berkerja? Sekiranya pernah, tahniah untuk anda! Mudah sahaja, pernahkah anda membuat senarai semak (list of works) untuk dilakukan pada esok hari? Ramai yang mengetahui akan hal ini, tetapi pernahkah kita melakukannya sekarang? Sekiranya belum, ayuh kita lakukan.

Ini akan membuatkan kita mengetahui jumlah kerja yang perlu kita siapkan. Banyak bukan? Selain itu, kita juga dapat menyusun kerja kita mengikut keutamaan (priority).  Buat kerja  yang penting dan segera dahulu, barulah kita buat yang tidak penting atau tidak segera.

Bentuklah Keluarga dengan Asas Agama

Sunday, November 7, 2010


Keluarga merupakan asas paling penting dalam mata rantai hidup bermasyarakat. Pastikan keluarga yang dibentuk diasaskan dengan ciri-ciri agama yang kukuh, akhlak yang baik dan juga faktor luaran seperti salasilah keluarga, faktor pendidikan, faktor ekonomi dan juga budaya. Sekiranya asas yang dibina tidak kukuh, berkemungkinan keluarga tersebut akan pincang dan goyah. Bagai membina sebuah bangunan, sekiranya asas bangunan tersebut tidak kukuh atau barangan yang digunakan tidak berkualiti, pasti bangunan tersebut akan rosak dan seterusnya roboh menyembah bumi.

Semangat The Red Warriors

Monday, November 1, 2010


Tanggal 30 Oktober 2010, tarikh yang menjadi lakaran sejarah buat rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang kerana telah menjadi negeri yang ke-14 yang memenangi Piala Malaysia. Penantian hampir lebih 80 tahun untuk mendakap piala berprestij akhirnya tercapai. Tahniah buat semua pemain, jurulatih, pengurusan pasukan serta penaung KAFA serta pihak Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak putus-putus memberi dorongan serta sokongan.

Tanpa sokongan padu mereka, tidak kira di Stadium Nasional Bukit Jalil yang rata-ratanya dipenuhi dengan gelombang merah, di rumah-rumah serta di warung-warung seharusnya dihargai oleh kita semua.

Walaupun terdapat isu kenaikan harga tiket yang hangat diperdebat, tapi itu bukan alasan untuk tidak hadir ke stadium pada 30 Oktober lepas. Janganlah pula ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh semasa sokongan padu rakyat Kelantan pada ketika ini dengan menaikkan harga tiket. Alasan final Piala Malaysia adaIah perlawanan yang berprestij hendaklah dinilai daripada pelbagai sudut. Juga jangan hanya bandingkan dengan kelab gergasi yang datang bertandang ke Malaysia, kos tiket mereka mahal, peminat sanggup pula membelinya.

Jaminan keselamatan untuk melarang membawa bahan api atau mercun juga gagal pada malam final Piala Malaysia. Masih lagi kedengaran bunyi mercun serta balingan botol minuman di dalam stadium. Mungkin keghairahan peminat-peminat Kelantan merayakan kejayaan kali pertama menjulang Piala Malaysia membuatkan ramai pihak tidak membincangkan isu ini.

Kesannya adalah pada musim akan datang, adakah ia akan dikaji serta diteliti oleh pihak berwajib atau hanya sekadar ‘jaminan’ mulut sahaja atau disertai dengan tindakan bersekali.