Apabila Si Comel Anda Mula Berkata-Kata

Friday, December 31, 2010


Apabila Si Comel anda mula berkata-kata, memang satu keseronokan buat ibu bapa. Begitu juga dengan diri saya. Mula-mula, rasa agak bimbang dan cuak juga apabila Si Comel kita lewat sedikit untuk berkata-kata. Maklumlah umurnya sudah mencecah usia 2 tahun.

Manakan tidak, anak rakan-rakan saya yang sebaya dengannya sudahpun mampu berkata-kata, malah ada juga boleh menyebut perkataan dengan jelas serta boleh menyebut dengan beberapa patah perkataan. Pernah juga saya melihat kanak-kanak Arab yang baru berusia 3 tahun sudah mampu menyebut ibu negeri bagi negara-negara Arab. Bukan setakat mampu menyebut, malah ingatannya pun kuat.

Bagi saya, mungkin hikmahnya tidak mampu dilihat. Segala usaha yang sedikit daripada insan yang kerdil ini, di samping doa serta tawakal kepada-Nya merupakan penguat hati agar tidak berputus asa untuk melihat Si Comel kita juga mampu untuk berkata-kata.

Mengikut pakar pediatrik yang saya temui, beliau menyatakan beberapa faktor yang boleh menyebabkan anak kecil kita lambat berkata-kata. Antaranya ialah, pergaulan kanak-kanak tersebut, persekitarannya, generasi serta yang paling penting adalah komitmen ibu bapa sendiri untuk mengajarnya untuk berkata-kata.

Pendek kata, faktor usaha ibu bapa memainkan peranan utama untuk melihat Si Comelnya mampu membesar mengikut tempohnya.

Syukur pada-Nya, pada bulan Disember 2010, Si Comel saya sudah mula berkata-kata. Walaupun sedikit dan tidak jelas sebutannya, namun saya berasa bersyukur kerana Si Comel akhirnya sudah dapat berkata-kata. Saya sabar dengan penantian tersebut kerana Si Comel akan menjadi teman setia untuk saya berbicara nanti.







 

0 comments:

Post a Comment