Jadikan Mimpi Anda Realiti!

Wednesday, December 1, 2010



Semua orang pasti pernah bermimpi bukan? Bermimpi perkara-perkara indah tentulah seronok. Kalau bermimpi dengan perkara-perkara buruk pula sudah tentu kita akan berasa takut dan kalau boleh tidak mahu bermimpi lagi.

Bermimpi bukan hanya sewaktu kita tidur sahaja. Bermimpi juga adalah kita mempunyai ‘impian’ atau dalam bahasa Inggeris pula menyebut dengan perkataan ‘dream’.  Biasanya mereka yang berada dalam alam mimpi (dreamland), mereka digambarkan dengan kehidupan yang selalu berangan-angan kosong tanpa melaksanakan angan-angan tersebut. Peribahasa Melayu juga ada menyebut ‘angan-angan Mat Jenin’ yang membawa maksud cita-cita kosong. 

Semasa di sekolah rendah dulu, pasti kita pernah disuruh oleh guru kita untuk membuat karangan yang bertajuk ‘impian saya’atau karangan yang berkaitan dengan mimpi, bukan? Macam-macam kita akan ceritakan dalam karangan tersebut. Sehingga membuatkan kita leka dan asyik semasa mengarang tajuk tersebut. Itu dahulu, kini pun kita masih lagi boleh mengarang dengan tajuk yang sama. Mungkin sekarang, skop serta perspektif kita sudah berbeza.

Iya lah…Dahulu karangan kita banyak berkisar dengan mimpi atau impian yang hanya setakat berlegar di minda kita sahaja. Sekarang pula sudah pasti kita inginkan setiap mimpi atau impian yang ada, semuanya menjadi realiti dan kenyataan. Pasti kita berbangga dengan impian yang dapat kita capai dan sempurnakan. Kata-kata ‘Make Your Dream Come True’ adalah menyimpulkan apa yang dihuraikan dalam tulisan saya di atas.

Sebuah pengalaman yang berharga, pasti dipenuhi dengan impian yang telahpun menjadi kenyataan. Paling tidak, apa yang mahu kita capai dalam hidup, kita dapat jadikan ia kenyataan. Rakan saya pernah berimpian untuk menjadi seorang doktor di sekolah menengah dahulu, kini impiannya sudah menjadi kenyataan. Apa yang perlu dilakukan adalah tindakan-tindakan untuk mencapai impian tersebut. Keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) mestilah cemerlang untuk melayakkan diri memohon pengajian dlam bidang perubatan. Tindakan kita adalah untuk mendapatkan keputusan cemerlang dengan belajar bersungguh-sungguh.

Begitu juga seseorang yang berimpian untuk membeli sebuah kereta idaman. Ketika kita berimpian, kita masih lagi di bangku sekolah dan berbasikal untuk ke sesuatu tempat. Mustahil untuk kita capai jikalau difikirkan dengan usia serta kemampuan kita pada waktu tersebut. Perkara mustahil tidak pernah menjadi mustahil bagi mereka yang berfikiran positif. Orang yang berfikiran positif akan  mengambil tindakan positif bagi merealisasikan impian tersebut. Ada mereka yang berjaya memiliki kenderaan tersebut dan ada pula yang gagal untuk memilikinya. Bukan disebabkan kita tidak berkemampuan untuk melakukannya, tetapi kita gagal untuk meletakkan tindakan-tindakan yang betul bagi merealisasikan mimpi atau impian kita. Kita hanya bermimpi kosong sahaja tanpa dipenuhi dengan tindakan-tindakan positif.

Bagi saya, sungguh bermakna karangan bertajuk ‘impian saya’ pada suatu ketika dahulu apabila ia dapat dicapai sekarang. Jadi sekarang ‘Make Your Dream Come True’…

0 comments:

Post a Comment