'Kuasa' Hijrah

Monday, December 6, 2010


Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi diberi kesempatan serta keizinan untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Marilah kita sama-sama menjadi orang yang benar-benar bersyukur di atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita selama ini. Nikmat yang seharusnya dibalas dengan perhambaan serta pengabdian diri sepenuhnya kepada Khaliq, tuhan pencipta sekalian alam.

Beberapa jam sahaja lagi, kita bakal menyambut tahun baru hijrah ataupun Awal Muharram 1432H. Peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah adalah terlalu signifikan dengan tarikh 1 Muharram. Di Malaysia, kita bakal merayakannya dengan mengadakan perarakan-perarakan serta penganugerahan Tokoh Maal Hijrah bagi melengkapkan tentatif sambutan kita. Kalau di masjid-masjid pula akan diadakan majlis bacaan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun serta bacaan Yaasin bagi menyambut tahun baru ini.

Memperingati peristiwa hijrah bukanlah perkara yang sengaja diada-adakan tanpa asas. Dalil al-Quran banyak menyebut berkaitan dengan ayat supaya kita mengambil pengajaran serta pengiktibaran daripada kisah-kisah umat terdahulu. Menelusuri peristiwa hijrah Nabi adalah bererti kita membelek lembaran perjuangan serta pengorbanan Nabi di dalam menegakkan ketuanan Islam di atas muka bumi ini.

Bagi kita, peristiwa hijrah Nabi ini masih lagi segar dalam ingatan kita pada hari ini. Cuma, adakah ia sekadar untuk diingati sahaja atau disyarah tanpa mengambil pengiktibaran serta semangat hijrah tersebut? Tentulah tidak, malah tuntutannya lebih daripada sekadar memperingatinya sahaja. Roh Maal Hijrah menuntut setiap di kalangan kita berkorban dan berhijrah daripada perkara keburukan kepada perkara kebaikan. Berkorban ataupun jihad perlu tersemai di dalam jiwa kita sama ada dari sudut pengertian mahupun sikap.

Hijrah sebenarnya mempunyai ‘kuasa’ tersendiri dan mereka yang benar-benar memahami maksud sebenar hijrah sahajalah yang mempunyai sedikit kekuatan atau ‘kuasa’ tersebut untuk berubah. Berubah untuk diri sendiri dan juga berkemungkinan besar mampu merubah orang lain di sekeliling kita.

Kalau minda kita sebelum ini berfikiran ‘negatif’, berhijrahlah untuk berfikiran ‘positif’. Kalau tindakan kita hanya ‘menunggu arahan’, marilah kita berhijrah untuk menjadi orang yang proaktif dan ‘kitalah yang memulakan sesuatu’. Istiqamahlah dalam melakukan hijrah serta perubahan kerana ramai orang yang mampu melakukan perubahan tetapi tidak ramai pula yang mampu istiqamah dalam perubahan yang telah dilakukannya.

Akhir kata, suka memetik kata-kata Ramly Mokni, iaitu pengasas Ramly Burger yang mengatakan bahawa “Jangan menyerah kepada nasib semata-mata.” Buatlah strategi dan pelan tindakan yang terbaik bagi mencapai matlamat kita. Selaraskanlah segala urusan kehidupan kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT.

Semoga tahun baru hijrah 1432 nanti dapat membuka lembaran baru (Sofhatul Jadidah) dalam diri kita, keluarga kita, kerjaya kita dan seluruh kehidupan kita. Salam Maal Hijrah!

0 comments:

Post a Comment