Tahun baru, Azam baru?

Wednesday, December 29, 2010

Tahun 2010 bakal melabuhkan tirainya. Hanya menunggu detik-detik akhir sebelum 2011 menjenguk kita semua.

Saya percaya bahawa ramai di kalangan kita sudahpun menetapkan azam baru, perancangan baru serta kaedah baru bagi menghadapi tahun baru 2011 nanti. Tidak kurang juga ada di kalangan kita melakukan sesi muhasabah untuk tahun 2010. Khalifah Umar r.a juga pernah berpesan, “Hisablah diri kalian sebelum dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang dan berhiaslah untuk menghadapi hari melihat yang agung.” Semuanya adalah sebuah persiapan bagi meneruskan kehidupan di dunia ini.

Namun, saya juga yakin dan percaya bahawa pada ketika saya menulis tulisan ini, mungkin ramai yang hanya berazam tanpa membuat sebarang perancangan. Mungkin juga ramai yang tidak mengambil pengiktibaran atau pengajaran pada tahun-tahun yang sudah.

Sudah cukupkah dengan hanya kita berazam sahaja? Ramai yang hangat-hangat tahi ayam, pada awalnya begitu bagus azamnya, tetapi akhirnya hanyalah omongan sahaja. 

Bagi orang Islam, mereka baru sahaja menyambut tahun baru hijriah 1432. Apakah azam kita pada ketika itu? Atau tiada langsung? Atau kita hanya sekadar menyebut, agar tahun baru nanti lebih baik daripada tahun sebelum ini?

Sekiranya azam kita terlaksana dan tercapai, kita memang gembira. Kita berasa bangga. Sebaliknya pula, sekiranya azam kita gagal, kita akan berasa sugul, sedih dan kurang bersemangat. 

Sesetengah orang, terutamanya yang berkerja dalam satu organisasi, azam atau perancangan yang harus dilakukan adalah secara bersama. Bukanlah secara individu. Memang tidak dinafikan bahawa kita sudah dipertanggungjawabkan dengan tugasan tertentu, namun untuk menjayakannya adalah kita hendaklah berkerja dalam satu pasukan (teamwork). Macam mesej yang disampaikan oleh kartun Wonder Pets, ‘Apa yang penting? Kerjasama.’

Jika tiada kerjasama, konsep kekitaan sukar dipupuk. Malah untuk membantu rakan kita di dalam kesusahan, amatlah jauh sekali. Masing-masing melakukan perancangan yang termaktub dalam konteks kerja sahaja. Apabila masalah atau musibah melanda, semuanya tidak mengenal sesiapa. Tetapi apabila kejayaan terhasil, semuanya menunjuk muka dan mula mengaku dialah rakan sekerja saya dan sayalah yang memberi tunjuk ajar kepadanya selama ini.

Pendek kata, kalau perkara yang kita gagal capai, mudah sahaja jawapan yang diberikan. Kita hanya menuding jari kepada orang lain, yang paling teruk lagi, kita menyalahkan takdir. Apakah dengan menyalahkan takdir, selesai sudah jawapan kita?

Kalau perkara yang berjaya kita capai pula, semuanya mahu mengaku bahawa sayalah yang merancangnya, sayalah yang mencadangkan begitu begini, sayalah melakukannya atau pendek kata sayalah segala-galanya. Bukankah Allah segala-galanya? 

Ada kajian dijalankan menunjukkan sesuatu azam itu hanya mampu bertahan selama 14 hari sahaja, dan ada pula menyatakan selama 40 hari sahaja. Bagi yang berjaya hanya 5% sahaja yang mampu mengekalkannya sehingga akhir tahun. 

Menurut pakar motivasi AS, Jim Rohn, “Menakjubkan banyak orang yang merancang percutian mereka dengan lebih terperinci daripada merancang hidup mereka sendiri. Mungkin ia kerana berubah itu sukar, melarikan diri lebih mudah”.

Terfikir juga, ada benar juga apa yang dinyatakan oleh Jim Rohn. Merancang kehidupan duniawi ini lebih mudah berbanding untuk kehidupan ukhrawi yang kekal abadi. 

Setiap saat hidup kita adalah sesuatu yang baru. Kalau saat itu masih berdetik, mungkin kita bisa untuk merancang. Andai saat itu terhenti? Mungkin inilah pengakhiran perancangan kita.

Pada kesempatan ini, saya berharap anda semua terus berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam hidup. Jangan jadikan tahun sebagai satu syarat untuk berubah, tetapi cukuplah ia dijadikan sebagai jangka masa untuk melakukan sesuatu perubahan. 

Sama-sama kita renungkan.

1 comments:

The Traveler said...

blog yg sgt cantik n profesional look..kena menuntut ngan abe mat ni..

moga semua impian 2011 tercapai

Post a Comment