Bergelap Seketika

Thursday, January 13, 2011


Kira-kira jam 9.00 malam, sedang asyik makan malam bersama keluarga, rumah saya bergelap seketika. Entah kenapa, tiba-tiba elektrik di rumah saya terpadam seketika. Puncanya saya sendiri tidak tahu. Si Comel sudah menangis ketakutan. Isteri pula sibuk mencari lilin serta lampu picit untuk membantu. 

Mulut saya masih lagi asyik mengunyah makanan. Air nescafe yang dibancuh isteri belum lagi saya teguk. Sambil di kepala memikirkan solusi tentang masalah yang berlaku.

Mungkin tindakan saya tidak sepantas kilat. Namun, saya berfikir tentang cara terbaik sebelum memulakan tindakan. Jam sudah melewati 9.30 malam, lilin sudahpun menyala. Si Comel masih lagi menangis, mungkin kepanasan atau mungkin juga ketakutan.Di samping itu, saya juga mencari lilin di rumah sebelah memandangkan stok lilin tidak banyak. Inilah bahaya kalau tak sedia awal-awal bekalan lilin yang cukup.

Lantas saya menelefon juruelektrik kalau-kalau dia dapat datang membaiki apa yang perlu. Alhamdulillah, panggilan telah dibuat dan juruelektrik swasta berjanji untuk datang. Jadi saya kena tunggulah dahulu sebelum tindakan lain diambil. Lebih kurang setengah jam kemudian, beliau tiba dengan keretanya dan di tangannya membimbit perkakas untuk membaiki. Saya yakin beliau boleh membantu. Lebih kurang 10 minit mengodek suis utama dan suis elektrik, beliau memberitahu bahawa punca elektrik tiada langsung ke rumah saya. Aduh...Ingat dah selesai. Tapi tak apa, saya kena juga ikhtiar dengan cara lain.

Akhir sekali, saya memilih untuk membuat aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), setelah aduan disampaikan kepada operator TNB, saya menunggu buat kali kedua. Lebih kurang setengah jam, datanglah sebuah van TNB dengan dua orang pekerjanya. Alhamdulillah, sampai juga aduan saya pada malam ini. Ingatkan ditangguhkan atau tidak datang langsung.

Puas mencari punca tiang, akhirnya pihak TNB berjaya mengembalikan elektrik di rumah saya. Puncanya adalah fius di tiang lampu rosak. Itulah yang menyebabkan elktrik di rumah tiada. Alhamdulillah, lebih kurang jam 11.30 malam, segala-galanya kembali seperti asal. 

Si Comel yang menangis, sudah pun berhenti. Malah sibuk pula mencari mainan. Aduh... Biarlah dia main. Hilang stress barangkali. Pengajaran yang saya perolehi, kita tidak ketahui bilakah waktu susah atau musibah akan datang. Andainya tiba, maka ikhtiar dan usaha perlu ada. Bukan hanya menunggu hari siang barulah kita berusaha menyelesaikan masalah. Di samping itu, musibah yang datang hendaklah diselesaikan segera. Jangan bertangguh!


0 comments:

Post a Comment