Cerita Kedai Kopi

Tuesday, January 11, 2011


Hari ini 11 Januari 2011. Baru sahaja selesai breakfast. Sepinggan nasi lemak dan air cappuchino menjadi menu saya pagi ini. Itulah rezeki di pagi hari. Saya bersyukur kerana saya masih lagi berkesempatan untuk menjamu selera di kala orang bising dengan isu ‘kehilangan’ minyak masak.

Cuma ingin dikongsi cerita adalah, dahulunya saya ke restoran ini dengan pelanggannya agak kurang ramai. Ketika itu, hanya satu pintu kedai sahaja yang ada. Maknanya di sini, pemilik restoran ini bermula dengan satu lot kedai sahaja. Pada tahun lepas (2010), saya juga ke restoran yang sama, memandangkan restoran ini jauh dari kesibukan bandar. Tawaran menu dan harganya pula berpatutan bagi saya. Selain itu, kebersihan dan keselesaan menjadi keutamaan saya di dalam memilih tempat untuk menjamu selera walaupun hanya dengan secawan teh. Elemen halal dan toyyibah semestinya menjadi prioriti kita selaku orang Islam tidak saya pandang ringan.

Pada pagi ini, saya ke restoran itu lagi, kebetulannya pemilik kedai itu baru sahaja selesai mengadakan solat hajat untuk menambahkan satu lagi lot kedai. Nah sudah tiga lot kedai yang dimilikinya oleh beliau sekarang! Saya tumpang gembira dan amat bermotivasi untuk menjadi sepertinya, paling tidak wawasan kerja kita bertambah maju dan ke hadapan. Mungkin itulah perkara positif yang saya boleh ambil daripadanya.

Saya sebenarnya kagum dengan pemilik restoran tersebut, beliau masih lagi meletakkan harapan pada Yang Esa untuk mencari keberkatan dalam berniaga. Beliau masih memohon ‘hajat’ dan masih bergantung harap pada Yang Maha Esa. Inilah yang membuatkan saya benar-benar teruja dengannya walaupun saya tidak mengenalinya secara lebih dekat. Mungkin ini pemerhatian saya secara jauh. Mungkin ada benar, mungkin juga ada silap. Biasalah pandangan manusia.

Semasa menulis tulisan ini, saya teringat dengan ayat 37, surah an-Nuur yang bermaksud : 

Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan zakat. Mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang.”

Saya pasti dan percaya bahawa sebarang kerja atau perniagaan yang kita jalankan di atas muka bumi ini adalah amat digalakkan di dalam ajaran Islam. Cuma, jangan sampai kita terleka dan dibuai dengan kemewahan serta kelazatan dunia ini. Kisah Hamman dan Qarun menjadi bukti serta pengajaran kepada kita. Janganlah pula kita mengikuti jejak mereka, jangan sampai solat dan kewajipan kita yang lain terabai. Ambillah kisah Abdul Rahman bin Auf sebagai model kita. Bukan sekadar berniaga dan berdagang, malah berjihad dengan hartanya demi kebaikan Islam. 

Firman Allah SWT dalam ayat 15, surah al-Hujuraat yang bermaksud :

“ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar.

Apa-apapun, saya doakan agar diri saya dan pemilik restoran tersebut khususnya berjaya dalam perniagaan dan menjadikan Abdul Rahman bin Auf sebagai cerminannya, bukanlah sifat tamak haloba Hamman dan Qarun pula menjadi ikutannya.


0 comments:

Post a Comment