Hujan Oh Hujan...

Thursday, January 6, 2011


Dari semalam (5 Jan) sehinggalah saat tulisan ini ditaip, hujan turun tak henti-henti. Sebelum ini pun kalau di Pantai Timur, musim tengkujuh atau musim banjir.Orang kat kampung lebih sinonim dengan panggilan 'musim bah'. Belajar Geografi dahulu pun akan kita pelajari tentang tajuk Monsun Timur Laut. Juga pernah mendengar lirik lagu yang berbunyi, 'Hujan yang turun bagaikan mutiara...'

Ringkasnya, siapa yang tidak gembira dengan turunnya hujan. Kanak-kanak tentulah merupakan orang yang paling gembira. Dapat bermain dengan air di pantai, air di kolam renang, malah air  di dalam besen pun sudah suka, inikan pula air hujan yang turun tak henti-henti. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, mungkin satu hari dapat main hujan pun rasa-rasa tak cukup lagi. Biarlah diri menggigil dan demam selepas itu.

Kalau yang dewasa pula, asyik sibuk nak tengok gelagat orang semasa banjir. Ada yang nak ronda-ronda atau sahaja nak bermain air hujan lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh sebegini.

Bagi petani pula, inilah anugerah yang ditunggu-tunggu bagi membasahi tanaman mereka. Kalau terlebih hujan, akan jadi musibah juga. Semuanya ada aturannya. 

Namun, apapun gelagat dan ragam manausia, saya cukup teruja dengan satu ayat al-Quran yang menceritakan tentang hujan. Ayat 11 dalam surah at-Thaariq yang bermaksud : 

  " Demi langit yang mengandung hujan."

Hujan yang dimaksudkan di sini adalah bagaimana proses hujan terjadi. Kalau di dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah 'ar-Raj'i', yang bermaksud kembali. Huraian tentang perkataan ini adalah hujan itu berasal dari wap yang naik dari bumi ke udara, kemudian turun ke bumi, kemudian kembali ke atas, dan dari atas kembali ke bumi dan begitulah seterusnya.

Apa yang kita pelajari melalui Sains tentang kejadian hujan sudah dibuktikan di dalam al-Quran sudah sekian lama. Sungguh agung mukjizat al-Quran buat kita. Dengan ayat tersebut, saya terfikir seketika tentang kekuasaan Allah dalam mentadbir alam ini. Andai kita masih lagi alpa dan tidak mahu berfikir tentang kebesaran ciptaan Allah, sesungguhnya kita mungkin di golongkan di dalam golongan yang tidak mahu gunakan akal untuk berfikir.

Sebenarnya banyak lagi rahsia tentang 'hujan' yang ingin saya fikir, baca dan fahami. Moga diberi kekuatan untuk melihat kebesaran Allah melalui penciptaan-Nya.





0 comments:

Post a Comment