Sana-sini 1 Februari 2011

Tuesday, February 1, 2011


Pagi ini biarlah saya menulis secara 'santai' sahaja. Beberapa 'research' saya belum siap lagi. Maklumlah, untuk membuat 'reseach' ini memerlukan penumpuan seratus peratus. Hari ini, 1 Feb 2011, saya ingin berkongsi beberapa berita penting untuk tatapan semua. Antaranya ialah :-

Pertamanya, berita di negara kita sendiri iaitu kenaikan harga minyak, Ron 97 sebanyak 10 sen. Untuk 1 liter sekarang bersamaan dengan RM 2.50. Umum mengetahui bahawa, rakyat di negara kita ramai yang menggunakan Ron 97 berbanding Ron 95, jadi apa salahnya jika dinaikkan lagi walaupun 10 sen? Mungkin ini juga maksud sebenar slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan." Sudah pasti pihak Kerajaan ada sebabnya tentang kenaikan tersebut. Ia adalah untuk menampung kos pengurusan, kos itu dan kos ini yang kian meningkat. Tetapi benarkah begitu? Pasti juga ada menteri yang akan menjawab kenaikan tersebut tidak akan membebankan rakyat dan rakyat harus faham dengan situasi sekarang. Persoalannya adalah macam mana rakyat nak faham, statement yang diberikan adalah terlalu umum. Di mana fakta yang mengatakan kos pengurusan kian meningkat? Sudahlah isu minyak masak yang 'hilang' masih belum ditangani dengan baik lagi, ditambah pula dengan isu kenaikan berturut-turut Ron 97, bakal menambah lagi masalah kepada rakyat. Akhirnya, rakyat juga yang akan menanggungnya.

Kedua, isu banjir di empat buah negeri semakin buruk. Negeri-negeri yang terlibat adalah Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Pahang. Biarpun kita menyaksikan pilihanraya di Dun Tenang dalam suasana banjir, tetapi rakyat masih keluar juga untuk mengundi. Namun, apakah dengan keluar mengundi dan memilih pemimpin yang kita kasihi dapat menyelesaikan masalah banjir? Jawapannya pasti tidak. Semua pihak hendaklah bergabung tenaga dan berusaha untuk menyelamatkan mangsa banjir serta harta benda. Tidak kira parti atau fahaman mahupun bangsa, semuanya harus berkerjasama. Cuma satu sahaja yang suka saya ingatkan, adakah 'banjir' yang berlaku sekarang adalah 'ujian' ataupun 'bala' daripada Allah? Jika di Kedah dahulu, pihak pemerintah sibuk mempersoal usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menghadapi isu banjir. Kini, isu tersebut tidak timbul di 4 buah negeri ini. Mengapa? Jika niat kita ikhlas membantu di Negeri Kedah, perkara yang sama juga 'wajib' berlaku di 4 buah negeri ini. Faktor politik harus diketepikan. Jangan pula disebabkan perbezaan politik, masalah ini menjadi 'bencana' untuk dihadapi oleh rakyat.  Allah pasti menguji sebagaimana yang diperkata dan diperlakukan oleh kita semua.  Kalau di Negeri Kedah dahulu diuji dengan banjir, maka di 4 buah negeri ini juga diuji dengan banjir juga. Sama-sama kita fikirkan, pasti ada jawapannya.

Ketiga, adalah himpunan berjuta-juta rakyat Mesir pada hari ini untuk mendesak agar Presiden Hosni Mobarak meletak jawatan. Perintah berkurung yang dikuatkuasakan tidak diendah oleh rakyat bagi menuntut agar Presiden sekarang berundur daripada pemerintahannya. Walaubagaimanapun, pihak Israel dan konco-konconya telah menggesa sekutunya, Amerika agar memberi sokongan kepada Hosni Mubarak. Talian hayat yang dilaungkan oleh Israel menggambarkan bahawa Presidennya hanya mampu berselindung dan bertahan  daripada bayang-bayang kuasa luar sahaja. Rakyatnya sudah tidak mahukannya lagi. Manifestasi kemarahan dan ketidakpuas hati sudah mencapai kepada kemuncaknya. Isu utama yang dibangkitkan adalah tiada peluang pekerjaan, kemiskinan, korupsi dan tiada kebebasan di bawah pemerintahan menjadi punca utama protes dilakukan. Semoga pemimpin yang zalim ini digantikan dengan pemimpin yang adil, insya' Allah. Negara kita macam mana?  

Keempat, sedikit berkaitan dengan berita sukan. Saya mahu fokuskan berita perpindahan pemain ternama Liverpool, Fernando Torres ke Chelsea dengan nilaian perpindahan hampir 50 juta pound (RM 245 juta) kelmarin. Sudah pasti peminat fanatik pasukan Liverpool tidak gembira dengan berita perpindahan ini. Ada yang membakar patung bekas pemain pujaan mereka semasa mengetahui berita perpindahnya. Apa-apapun, buat peminat The Blues, anda mempunyai seorang lagi pemain ternama untuk membantu pasukan anda. Berjaya atau tidak Torres di Chelsea, sama-samalah kita ikuti perkembangannya nanti. 

Itulah sedikit berita yang dapat dikongsi buat bacaan anda sekalian. Selamat membaca dan selamat berfikir!

0 comments:

Post a Comment