Nilai Sebuah ‘Pilihan’

Saturday, February 12, 2011




Bercerita tentang sebuah ‘pilihan’, sudah tentu banyak fokusnya yang boleh kita huraikan. Di sini, saya hanya ingin kupaskan ‘pilihan’ dari sudut nilai ke atas sesebuah kerajaan. Jika tiada ‘pilihan’ yang dibuat, sudah tentu pemimpin yang menerajui sesebuah kerajaan tidak wujud pada hari ini. Kesan pilihan yang dibuat pada hari ini adalah rentetan ‘pilihan’ yang telah kita lakukan pada masa dahulu. Itulah nilai sebuah ‘pilihan’ yang dibuat, bernilai atau tidak, sama-sama kita hayati tulisan ini. 

Dalam sesebuah negara demokrasi, kuasa memilih ditentukan oleh rakyat. Jumlah majoritilah yang akan menentukan pihak mana yang akan mentadbir sesebuah kerajaan. Merekalah yang akan mendengar serta membawa suara rakyat yang telah memilihnya untuk ke Parlimen ataupun Dewan Rakyat di sesebuah negeri. Pelbagai janji serta manifesto akan dilaungkan agar rakyat membuat ‘pilihan’ terhadap mereka.

Bagi seorang Muslim, sudah pasti ‘pilihan’ yang dibuat ada perkaitannya dengan soal iman dan taqwa. Bukan hanya sekadar soal hak ataupun tanggungjawab rakyat kepada pemerintah sahaja. Malah ajaran Islam amat menitik beratkan soal pahala dan dosa, persoalan syurga dan juga neraka bagi setiap tindakan yang kita lakukan. Ibarat kata, setiap ‘pilihan’ terhadap tindakan yang dibuat, pasti mempunyai natijah dan balasannya kelak.

Andainya kita berada di tampuk pemerintahan atau menjadi pemimpin kepada organisasi tertentu, tidak kira di peringkat keluarga, masyarakat, jabatan kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan, hatta tampuk kepimpinan di peringkat negeri atau negara, suara rakyat hendaklah diberi perhatian. Jangan hanya suara orang yang berkepentingan sahaja kita ambil peduli, malah mereka yang tidak mempunyai apa-apa jawatan ataupun tiada kepentingan juga harus sama diambil peduli. Ingatlah, mereka juga harus berada di dalam senarai perancangan kita
.
Jika kita sebagai rakyat ataupun orang bawahan, kita juga mempunyai tanggungjawab ke atas mereka yang memimpin kita. Bukan dengan hanya membuat ‘pilihan’ urusan kita sudah selesai, malah kita harus bersama-sama menjadi mata kepada kepimpinan yang ada. Menjadi saksi atau penegur kepada pemimpin yang ada. Kita juga mempunyai kuasa untuk membuat ‘pilihan’ andai kata kepimpinan yang ada jauh terpesong dengan ajaran Islam sebenar. 

Jangan pula ada sikap memilih bulu di antara kita kerana ‘pilihan’ yang meletakkan kita sebagai pemimpin pada hari ini lahirnya daripada tangan-tangan rakyat yang memangkah dan memilih kita untuk menerajui suara mereka pada suatu masa dahulu. Walaupun ada yang tidak memilih kita, namun kitalah yang menjadi ‘pilihan’ mereka berdasarkan keputusan majoriti yang ada di dalam sistem demokrasi berparlimen. Sesungguhnya pilihanraya adalah mekanisme pemilihan tersebut. 

Yakinlah bahawa kerajaan yang ada di dunia ini hanyalah sementara sahaja, kerajaan yang pasti akan hilang daripada mata dunia nanti. Senario terkini, lihat sahaja kejatuhan kerajaan di Tunisia, pertukaran kepimpinan di Jordan dan yang mutakhir adalah perletakan jawatan Presiden Mesir. Apakah anda berasa gembira jika pemimpin yang anda pilih membawa wang keluar ke luar negara? Isteri kepada pemimpin yang digulingkan di Tunisia mampu membawa keluar 1.5 tan emas ke luar negara, contoh sebeginikah yang kita mahukan? Harta bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak pula dianggarkan sebanyak US70 billion sepanjang 30 tahun beliau memerintah, manakala rakyat yang diperintahnya masih ada yang berpendapatan RM 100 sebulan. Juga ada cerita yang mengatakan gaji seorang doktor pakar mata di Mesir hanyalah dalam lingkungan RM 500 sahaja. Tidak hairanlah golongan ini juga berada bersama-sama dengan rakyat yang lain bagi membantah pemerintahan Hosni. Apakah pemimpin sebegini harus ditaati lagi? Hanya Allah dan rakyat Mesir yang mengetahui hal sebenarnya.

Semuanya menggambarkan bahawa kerajaan yang ada pasti berakhir sekiranya amanah kepimpinan tidak dijaga dengan baik. Mungkin sistem pemerintahan mereka tidak sama dengan negara kita, namun kuasa atau ‘pilihan’ rakyat telah menentukan segala-galanya. Tanpa rakyat tiadalah pemimpin. Tanpa rakyat juga tiadalah sesebuah kerajaan. 

Cuma ketika kita berada di atas dan diberi kuasa untuk memerintah, ingatlah orang yang telah memilih kita pada suatu masa dahulu. Selain mengingati mereka yang telah memilih kita, jalankanlah tanggungjawab dengan penuh amanah dan bijaksana. Semuanya akan dipertanggungjawab di Akhirat kelak. Wallahu’alam.


0 comments:

Post a Comment