Rehat Minda di Demong Beach Resort

Wednesday, February 16, 2011


Pada kali ini, saya ingin mencoret tentang pengalaman saya pada bulan Januari 2011. Biarpun bulan Februari sudah berada pada penghujungnya, namun kekangan masa amat mencemburui saya untuk mencoretnya.Tetapi tidak mengapa. 

" Biar lambat, asalkan ‘berbekas’ di blog ini pun sudah cukup." Itulah detik hati saya.

Kisah yang mahu dicoret hanyalah kisah biasa sahaja. Hanya sedikit pengalaman semasa berada di Demong Beach Resort, Besut. Ianya sesuatu pengalaman biasa bagi mereka yang mengaggap ia adalah biasa. Tetapi bagi mereka yang belum pernah merasai apa yang biasa itu, mungkin ia adalah sesuatu yang luar daripada kebiasaannya. Apa-apapun, terpulang kepada kita untuk menilainya.

Hadir ke sana bukanlah untuk bercuti ataupun untuk ‘honeymoon’ dengan keluarga tersayang. Akan tetapi, untuk memenuhi tuntutan salah satu daripada tanggungjawab yang diamanahkan. Pasal tanggungjawab saya di sana, kita ketepikan buat seketika. 

Yang ingin dikongsikan di sini ialah saya berpeluang untuk merehatkan minda di sana. Biarpun jadual di sana sudah diatur untuk diikuti, tetapi ruang yang diberikan untuk berehat, saya manfaatkan 100%. Kebiasaannya, program yang dianjurkan oleh mana-mana pihak akan menjadikan aktiviti riadah ataupun rehat sebagai salah satu tentatif wajib mereka. Sama juga ketika saya di Demong ini. Aktivitinya adalah bermain air di kolam renang. Agak lucu bunyinya bukan? Macam budak-budak pula kalau orang dewasa bermain air di kolam… 

Yang manisnya adalah saya turut serta bermain di kolam renang. Biasanya saya akan memandang sepi jika ada aktiviti yang melibatkan air. Tidak kira air sungai, air laut, air terjun hatta air kolam sekalipun, saya cuba untuk tidak mendekatinya. Kalau setakat air pada paras pinggang, saya masih lagi berani untuk mencuba. Tetapi, jika air berada pada paras dada, itu sudah menduga ‘fobia’ saya, apatah lagi jika air itu saya tidak tahu dasarnya di mana. 

Kali ini, saya berpeluang belajar dengan rakan-rakan untuk mengimbangi badan serta pernafasan di dalam air. Ada juga di kalangan kami yang takut terhadap air. Tetapi mereka mencuba mengatasi ketakutan tersebut. Kalau mereka boleh lakukan, mengapa pula saya tidak boleh? 

Hampir 1 jam di kolam, membuatkan saya berasa tenang fikiran. Minda saya hanya fokus untuk mengimbangi badan serta juga pernafasan sahaja pada kali ini. Tidak lagi berkecamuk untuk memikirkan pasal kerja atau tanggungjawab yang ada. Yang difikirkan hanyalah pada air di kolam. Semuanya dapat dilakukan hanya dengan ‘FOKUS’ kita. Saya akui bahawa misi saya masih lagi belum berjaya 100%, lebih-lebih lagi untuk berenang. Namun, saya berbangga kerana saya berjaya membuangkan rasa takut atau ‘fobia’ terhadap air walaupun tidak secara 100%.

Saya pernah menonton rancangan di TV pada suatu ketika dahulu, tajuknya adalah untuk menghilang rasa ‘fobia’ dalam diri kita. Ada seorang selebriti tempatan (namanya dirahsiakan) yang ‘fobia’ untuk memandu kereta. Hidupnya hanyalah bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke  tempat kerja. Ditanya oleh pengacara rancangan mengapa beliau ‘fobia’ untuk memandu kereta. Jawapannya adalah beliau pernah terlibat dengan kemalangan jalanraya yang melibatkan beliau sendiri memandu kereta pada waktu itu.

Bagi mengatasi ‘fobia’ tersebut, beliau dipaksa oleh pengacara untuk memandu kereta yang ada, memang pada mulanya beliau berteriak melolong-lolong ketika stereng kereta dipusing-pusing, sedangkan enjin kereta belum dihidupkan lagi. Apabila enjin dihidupkan, memang gelabah pada mulanya, tetapi lama-kelamaan beliau mampu memandunya walaupun tidak berapa cekap. 

Pengalaman di Demong sungguh luar biasa bagi saya. Pertamanya, ia mampu membuang sedikit sifat ‘fobia’ yang saya ada terhadap air. Keduanya, saya benar-benar me’rehat’kan minda. Akhir sekali, saya yakin bahawa akal yang sihat lahir daripada tubuh badan yang sihat.

Andai masa mengizinkan, saya mahu lagi ke Demong Beach Resort… Misi ‘fobia’ saya masih belum sempurna 100% lagi…

0 comments:

Post a Comment