Tazkirah Maghrib Perdana bersama Ustaz Azhar Idrus

Thursday, February 24, 2011

Hari ini bertarikh 24 Februari 2011. Seusai kerja di pejabat, saya terus ke tempat parkir kereta. Tiba sahaja di tempat parkir, saya melihat pada cermin kereta, terdapat satu kertas saman parking yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Daerah. 

“Kena lagi!” keluh saya. “Memang rezekinya lagi hari ini.” Terus saya menamatkan keluhan.

Rasa di hati, memanglah geram. Bukannya apa, pantang sahaja duit tak ada dalam meter parking, pasti saman sampai. Jika nak dikira, sudah beberapa ringgit saya masukkan ke dalam meter sebelum saman diterima. “ Ahh…Lupakan pasal saman itu!”

Sebelum memasuki kereta, saya terpadang sebuah banner yang bertajuk “ Tazkirah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus. ” Menarik juga kalau dapat menghadirinya. Inilah peluang saya melihatnya dengan lebih dekat lagi. Sebelum ini saya hanya mendengar melalui Facebook sahaja. Bukan senang untuk bertemu dengannya.  Tambahan pula, sudah pasti banyak mutiara ilmu yang bakal saya perolehi dan kutip daripadanya nanti. 

Saya terus menaiki kereta dan memandu terus pulang ke rumah. Jam di tangan sudah pun menunjukkan jam 6.40 petang. Saya terus memecut kereta. Tiba sahaja di rumah, saya berkhidmat diri dan bersiap-siap untuk ke masjid di mana tempatnya akan bertazkirah nanti. 

Untuk ke sana, tidaklah jauh memandangkan ia berhampiran dengan kawasan rumah saya. Dilihat jalanraya sudah pun sesak dan kereta telah memenuhi kawasan persekitaran masjid. Memang ramai orang menuju ke masjid dan ia di luar jangkaan saya. Dahsyat sungguh! Memang orang dahagakan ilmunya barangkali atau hanya sekadar mahu melihat wajahnya sahaja. Terpulanglah kepada kita untuk menilainya. Yang pasti, niat saya adalah untuk meraih mutiara ilmu yang ada padanya nanti. Insya’ Allah.

Tiba sahaja di tangga masjid, tiada ruang lagi yang tinggal untuk saya memasuki ke dalam kawasan masjid. Khemah yang disediakan oleh pihak masjid juga hampir penuh. Saya hanya mampu berada di tangga masjid sahaja. Hasrat saya untuk berada di dalam masjid tidak kesampaian. Tidak mengapalah…

Selesai sahaja solat Maghrib, lebih kurang jam 8.00 malam barulah Ustaz Azhar Idrus tiba. Mata orang ramai tertumpu kepadanya. Tidak terkecuali juga saya. Apabila beliau mengambil tempat duduknya, maka, bermulalah sebuah ‘Tazkirah Maghrib Perdana’ disampaikan olehnya. 

Beliau memulakan dengan bacaan ‘Basmallah’ serta menerangkan kafiat serta kelebihannya. Huraiannya berkaitan dengan ‘Basmallah’ cukup mudah, bernas, berdalil, diselang-seli dengan lawak jenaka serta mempunyai cara tersendiri dalam penyampaiannya. Mungkin itulah daya tarikannya walaupun bahasa yang digunakan mempunyai loghat Terengganu, ia sedikitpun tidak menjadi halangan. Orang ramai yang hadir sedikitpun tidak berganjak dari tempat duduk. Semuanya mendengar dengan penuh tumpuan. 

Berikut adalah sedikit catatan yang boleh saya kongsikan bersama dengan saudara/saudari sekalian.
1)  
1) 1) Menjadikan bacaan ‘Basmallah’ dalam setiap perbuatan kita

Pa Pahala serta ganjarannya cukup besar di sisi Allah. Sebagai contoh, Allah memberi kita rezeki, kita perolehi rezeki tersebut secara halal tetapi malangnya kita tidak memulakan bacaan ‘Basmallah’ sewaktu kita menjamah rezeki tersebut. Sebenarnya, syaitan telah makan bersama-sama dengan kita jika kita tidak membaca ‘Basmallah’. Kita mahukan rezeki yang kita makan sentiasa diberkati dan mendapat pahala, bukan hanya setakat menghilangkan rasa lapar atau dahaga sahaja.

2) 2) Membezakan di antara nikmat, berkat dan rahmat di dalam rezeki kita.
B
ag  Bagi orang Kafir, Allah memberikan mereka nikmat, tetapi tidak memberikan berkat serta rahmat. Berbeza dengan orang Islam, mereka diberikan nikmat, berkat serta rahmat. Jika kita meninggalkan bacaan ‘Basmallah’, mungkin kategori rezeki kita hanya setakat nikmat sahaja. Tiada bezanya dengan orang Kafir yang Allah kurniakan rezeki yang melimpah-ruah ke atas mereka. Ini kerana sifat Allah adalah Maha Pemurah ke atas makhluknya. Bagi seorang Muslim, sudah tentulah kita mahukan setiap rezeki yang kita kecapi mendapat berkat serta rahmatnya.

3) 3) Antara kesan rezeki yang diberkati adalah amalan kita sentiasa bertambah (ziyadatul khair). 

K   Kisah hartawan yang tidak mampu menelan nasi walaupun sebiji kerana kesakitan yang dialami, sedangkan hartanya mampu membeli berguni-guni beras dijadikan contoh untuk memudahkan pemahaman. Juga kisah hartawan yang tidak mampu untuk memandu kereta mewah yang ada disebabkan penyakit dialaminya, beliau bergerak ke sana ke mari hanya dengan menggunakan kerusi roda (wheel chair). Kesimpulannya adalah, dengan kekayaan yang kita miliki, sepatutnya kita mampu menambah sebanyak mungkin amal soleh. Kita mampu menderma atau membantu golongan yang memerlukan dengan harta yang kita ada. Bukannya dengan harta yang bertimbun, ia menyebabkan kita semakin sukar untuk melakukan amal soleh. Malah, yang lebih teruk adalah kita sanggup bermusuh dan memutus hubungan persaudaraan disebabkan oleh harta ingin dimiliki. Inilah kesan sekiranya tidak ada keberkatan di dalam rezeki kita. Nauzubillah.

4)  4) Berkerjalah dengan Kerajaan Allah dengan bersungguh-sungguh

W Walaupun balasannya di Akhirat kelak, namun, kehidupan di sanalah yang kekal abadi. Berkerja dengan Kerajaan Dunia pula, sifatnya hanyalah sementara. Ganjaran yang diperoleh hanyalah ketika di dunia sahaja. Jika kita memahami konsep mencari harta di dalam Islam, sudah pasti harta di dunia ini juga bakal menjadi harta kita di Akhirat nanti. Realitinya, ramai manusia hanya mengejar ganjaran di dunia berbanding dengan ganjaran di Akhirat kerana kita nampak dengan mata kasar. Contoh ganjaran dunia adalah seperti gaji, bonus dan ganjaran pencen. Pahala atau ganjaran di Akhirat pula kita tidak dapat kecapi serta merta. Mungkin itulah faktor yang membuatkan kita kurang berminat untuk berkerja bersungguh-sungguh dengan Kerajaan Allah.

5)  5) Pandulah kehidupan kita dengan kompas ‘al-Quran dan as-Sunnah’
 
JJ Jika zaman dahulu, orang belayar di laut akan menggunakan kompas ‘bintang’ sebagai panduan mereka. Manakala, kehidupan di dunia ini sudahpun tersedia kompas tersebut. Tetapi mengapa kita tidak menggunakannya 100%? Segala-galanya adalah peringatan serta nasihat buat kita. Sebagaimana kita menggunakan jalanraya, sudah ada disediakan papan tanda di bahu jalan untuk kita berhati-hati dan untuk dipatuhi. Jika kita melanggarinya, sudah pasti ada hukuman yang ditetapkan oleh Kerajaan Dunia. Begitu juga dengan kehidupan di dunia ini, jika kita melakukan kebaikan, balasannya adalah pahala dan jika sebaliknya, sudah pasti dosa adalah pembalasannya.

Itulah sedikit sebanyak yang mampu dikongsi. Tazkirahnya diakhiri dengan pertanyaan soalan-soalan yang mencakupi pelbagai aspek termasuklah ibadah, feqah, akhlak, isu semasa dan dijawab dengan baik oleh Ustaz Azhar Idrus. Hampir dua jam juga masa yang diluangkannya. Tazkirahnya diakhiri dengan doa daripadanya dan orang ramai terus bersolat Isya’ berjemaah selepas itu.

Alhamdulillah, banyak manfaat yang saya perolehi pada malam ini. Syukur pada-Mu kerana memilih saya untuk berada di dalam majlis ilmu ini. Majlis bersurai lebih kurang jam 10.30 malam.

0 comments:

Post a Comment