Berita Kelahiran dan Kematian

Wednesday, March 2, 2011

Tanggal 2 Mac 2011, saya telah menerima dua berita penting tentang kelahiran dan juga kematian. Pertamanya tentang berita kelahiran anak kedua sahabat saya melalui SMS dan satu lagi adalah berita kematian junior semasa belajar di universiti dahulu melalui Facebook dan juga akhbar Harian Metro. Kedua-dua berita diterima dengan reaksi serta suasana yang berbeza. 

Pertamanya, menerima SMS tentang kelahiran anak daripada seorang sahabat. Sewaktu si isteri melahirkan anak, kebetulan si suami tiada di sisi kerana ada urusan kerja yang memang tidak dapat dielakkan. Si isteri begitu tabah dan redha dengan keadaan tersebut. Pasti ada suara-suara yang menyuruh agar si suami batalkan sahaja kerja pada saat itu dan beradalah di sisi isteri yang sedang menunggu saat untuk melahirkan anak. Berada di sisinya sudah pasti akan memberikan satu motivasi yang tidak ternilai harganya. Namun, Allah memilih kita untuk tidak berada di sampingnya. Harapannya agar si isteri sabar dan tabah dengan situasi tersebut. Pasti ada hikmah di sebalik ujian yang dihadapi olehnya.
 
Walaupun berjauhan, sudah pasti sebagai ibu bapa kita hendaklah sentiasa berdoa agar anak yang bakal dilahirkan nanti sempurna sifatnya dan juga di dalam keadaan yang terbaik. Allah berfirman di dalam surah al-Imran, ayat 38 yang bermaksud :-

Di sanalah Zakaria mendoa kepada Tuhannya seraya berkata: "Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa."
Keduanya, menerima berita melalui Facebook tentang kematian seorang insan yang sudah 28 tahun berada di alam dunia ini. Pemergiannya mendapat liputan akhbar Harian Metro. Asbab kepada kematian adalah beliau mengalami kemalangan dengan melanggar seekor kuda yang tiba-tiba melintas di jalanraya. Sebelum itu, marilah kita menyedekahkan al-Fatihah buat roh beliau. Untuk membaca berita tersebut, sila layari link berikut :-


Tulisan saya bukanlah ingin menceritakan tentang cara kematiannya atau asbab kepada kematiannya. Apabila Allah mengatakan saat itulah nyawa kita dicabut, maka tiada sesaat pun Allah akan awalkan atau tangguhkan. Setiap Muslim digalakkan berdoa agar dimatikan di dalam Husnul Khatimah. Itulah impian setiap di kalangan kita. Jika ditanya, adakah kita mahu dimatikan di dalam keadaan Su’ul Khatimah, sudah pasti kita tidak mahu. 

Cukuplah dengan berita kelahiran dan kematian yang kita dengar, baca, tonton atau sebagainya membuatkan kita ‘sedar’ bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sahaja. Yang dihidupkan pasti akan dimatikan oleh Yang Maha Pencipta. Ingatlah firman Allah di dalam surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud :-

“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Ingatlah berita kelahiran dan kematian ini adalah suatu 'tazkirah' atau peringatan daripada Allah kepada kita semua untuk terus tidak lalai ketika kita masih hidup. 

Selagi kita masih bernafas, marilah kita perbanyakkan amal soleh dan melakukan segala kebaikan di samping meninggalkan segala kemaksiatan yang kita lakukan. Gunakanlah peluang ini ketika pintu taubat masih terbuka untuk memohon keampunan daripada-Nya. 


0 comments:

Post a Comment