Hakikat Sebuah Peperiksaan

Wednesday, March 23, 2011


Pada hari Rabu, 23 Mac 2011 maka telah diumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2010. Bagi yang mendapat keputusan yang cemerlang, tahniah diucapkan. Manakala, yang mendapat keputusan kurang cemerlang, tahniah juga diucapkan kerana kita telah diberi peluang untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Bagi yang mendapat keputusan seperti yang diimpikan, sudah pasti ini adalah hasil terbaik yang kita perolehi. Bagi yang mendapat keputusan yang sebaliknya, janganlah menjadikannya sebagai satu alasan untuk terus gagal selepas daripada ini. Buatlah penilaian semula, lihatlah di mana silap kita, di mana puncanya, pasti kita ketemui nanti.

Dari situ, maka bangkitlah untuk terus mengukir kejayaan baru. Jangan terus rebah dan mudah menyerah kalah. Jangan sesekali pula menyalahkan ketentuan Ilahi.Itu teramat zalim buat seorang insan yang sentiasa mengharap anugerah serta kurniaan Ilahi. Bukankah Allah itu Maha Pemurah dan juga Maha Mendengar segala permintaan kita? Kenapa kita tidak terus berdoa kepada-Nya untuk terus diberi kejayaan di dunia dan juga di akhirat nanti?


Panjatkanlah rasa syukur dan terima kasih kepada Yang Maha Pencipta kerana memberikan kita peluang untuk menempuh peperiksaan SPM. Mungkin ada rakan-rakan kita tidak mempunyai peluang untuk berasa nikmat untuk menduduki peperiksaan kerana faktor kemiskinan yang dihadapi olehnya barangkali. Jika diberi peluang sekalipun, apakah kita benar-benar menjawab soalan-soalan yang disediakan semasa peperiksaan? Bersungguh-sungguhkah kita semasa menjawab pelbagai kertas atau subjek peperiksaan lepas? Atau sekadar memenuhi jadual peperiksaan semata-mata?


Pelbagai ragam dan karenah yang dapat kita perhatikan ketika menduduki peperiksaan yang lalu. Ada yang tekun menjawab, ada yang menjawab untuk lulus sahaja, ada yang tidak mampu menjawab, ada yang tidak menjawab langsung, semuanya adalah manifestasi kecil yang berlaku di dalam dewan peperiksaan. Semuanya adalah cerminan persediaan yang telah kita lakukan sebelum memasuki dewan peperiksaan.


Jika kita masuk ke dalam dewan peperiksaan dengan penuh persediaan dan kebergantungan kita kepada Allah tinggi, maka, kita akan menghadapi peperiksaan tersebut dengan tenang sekali. Jika kita memasuki dewan tersebut dengan rasa gemuruh, gelabah, tidak bersedia atau sebagainya, sudah pasti kita akan menghadapi peperiksaan tersebut dengan rasa yang tidak tenang sekali. 


Semuanya adalah hakikat sebuah peperiksaan...apabila kita menjawab soalan, pasti ada skema jawapannya. Jika betul yang kita jawab, maka tinggilah markah yang bakal diperolehi nanti. Jika kita jawab kurang tepat, maka rendahlah markahnya. Yang pasti, setiap soalan yang dijawab, pasti ada markahnya. Tiada soalan yang tiada markah. Markah tersebutlah yang akan menentukan kita sama ada memperoleh gred yang baik ataupun tidak.

Ingatlah, SPM adalah asas untuk mencapai kejayaan dan membina diri. Tidak cemerlang semasa SPM tidak bermakna kita telah gagal untuk selama-lamanya. Jadikan ia sebagai medan untuk membina diri agar cemerlang untuk keseluruhan aspek, bukan hanya cemerlang di atas sijil sahaja, malah, akhlak, adab, muamalah, penghambaan diri kepada Allah lebih cemerlang dengan ilmu yang kita ada.



Sudah pasti, orang berilmu lebih mulia kedudukannya daripada orang jahil. Jadi, kenapa harus memilih jalan untuk terus jahil sedangkan peluang, masa serta kemampuan diri belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita. 


0 comments:

Post a Comment