Kisah Tempe & Doa

Wednesday, March 16, 2011


Kisah tempe? Apa yang ingin dikongsikan adalah sebuah kisah yang saya dengar daripada Dr Azhar Sarip melalui motivasinya melalui radio Ikim.fm. Kisahnya begini :-

Ada seorang makcik yang kerjanya adalah menjual tempe. Melalui tempelah beliau menyara keluarganya. Pada suatu hari tempe yang ingin dijualnya belum masak atau matang sepenuhnya lagi. Maka, makcik ini berdoalah kepada Allah:-

"Ya Allah, masakkanlah tempe aku ini," doa beliau.

Malangnya, tempe itu masih lagi belum masak sepenuhnya. Masa berlalu begitu pantas, tempenya masih belum lagi masak. Beliau berdoa buat kali kedua:-

"Ya Allah, masakkanlah tempe aku ini kerana aku ingin menjualnya. Ini jugalah sumber rezekiku Ya Allah," doa kali ini panjang sedikit berbanding dengan doa kali pertamanya. Doanya sudah lebih spesifik dan bersungguh-sungguh.

Malangnya, tempe tersebut masih juga belum masak seperti yang dikehendakkinya. Beliau mulai risau dan sudah mula menyalahkan Allah kerana masih tidak memakbulkan lagi doanya. Buruk sangka pada Allah sudah mula terniat di hatinya. Mulutnya sudah berkata yang bukan-bukan pada Allah.

Tiba-tiba datang seorang perempuan kepadanya seraya bertanya:-

"Makcik menjual tempe yer?" Tanya perempuan tersebut.

"Ya," makcik tersebut lantas menjawabnya. "Cuma tempe saya masih belum masak lagi. Saya tidak menjual tempe yang belum masak kepada pelanggan saya," jawab makcik itu secara jujur.

Perempuan itu berkata, "Oh...tidak mengapa! Saya mahu membeli tempe yang separuh masak kerana saya mahu menghantar tempe tersebut kepada anak saya yang belajar di luar negara. Nanti semasa tempe tersebut dihantar ke sana, tempe tersebut pasti akan masak. Jika saya membeli tempe yang sudah masak, saya bimbang tempe tersebut akan rosak pula ketika sampai di sana." Jelas perempuan itu dengan harapan makcik tersebut menjual tempe yang belum masak kepadanya.

"Jika makcik mahu menjualnya, saya mahu membeli kesemua tempe makcik," pinta perempuan itu.

"Kalau begitu, nanti saya bungkuskan kesemuanya." jawab makcik tersebut.

"Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Ya Allah kerana mendengar doa hambamu ini." Rintih makcik tersebut di dalam hati.

Pengajaran daripada kisah ini adalah
1- Allah mengetahui apakah yang terbaik untuk diberikan kepada hamba-Nya.
2- Sesungguhnya Allah tidak pernah zalim terhadap hamba-hamba-Nya.
3- Berdoalah dengan penuh keyakinan, pasti Allah mendengar dan akan memakbulkannya. 
4- Doa dan rezeki sentiasa ada perkaitan dan pertalian yang tidak boleh dipisahkan.
5- Lambat atau cepat doa itu dikabulkan tiada jaminan yang pasti daripada Allah.
6- Tidak semestinya apa yang kita doakan, Allah kabulkan sebagaimana yang kita doakan.  Mungkin ada kalanya dalam bentuk yang berlainan.

0 comments:

Post a Comment