Menanam Budi Melalui Insurans Sosial

Saturday, April 16, 2011


Hari ini saya ketemui ilmu baru berkaitan dengan hubungan sosial. Terma yang saya ketemui adalah 'insurans sosial' atau dalam Bahasa Inggerisnya adalah 'social insurance'. Pernah juga saya ketemui istilah 'kontrak sosial'. Semuanya mempunyai makna serta huraiannya yang tersendiri.

Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd kerana istilah yang saya ketemui ini adalah melalui tulisan beliau. 'Insurans sosial' yang dimaksudkan olehnya adalah kita menanam budi walau di mana kita berada. Sungguh mudah untuk difahami insurans ini jika dibandingkan dengan  polisi insurans-insurans yang 'dijual' oleh syarikat-syarikat insurans di luar sana. Cuma dalam tulisan Puan Ainon, beliau ada memberi contoh tersebut bersesuaian dengan bidang bisnes.

Pepatah Melayu juga ada menyebut, "kita berbudi, orang merasa" dan juga kata-kata orang dahulu kala ada juga menyebut, "berbudi kepada tanah, ada hasilnya". Perkataan berbudi sungguh indah pada perkataannya. Orang yang selalu berbudi selalu disebut dengan budiman. Cuma untuk bertemu dengan orang-orang budiman sekarang agak sukar barangkali. Semuanya mengaku berbudi, tetapi mahu ada balasannya. Mahu imbuhannya. Mahu projeknya dipercepat. Mahu urusannya dipermudah. Jika situasi sebegitu kita menamakan mereka berbudi, saya fikir kita tersilap. Jika wujud balasan di antara hubungan tersebut, sudah pasti hubungan tersebut dibina di atas dasar kerja atau untuk berbisnes sahaja.

Saya pernah mendengar pidato daripada Dato' Dr Siddiq Fadzil yang mengatakan bahawa budiman itu adalah orang yang berbudi, malah budinya itu ikhlas dan langsung tidak mengharapkan apa-apa imbuhan. Jika insurans sosial yang disebut oleh Puan Ainon Mohd lebih miripkan kepada konteks bisnes, saya pula melihatnya kepada konteks yang lebih luas lagi, iaitu untuk menyebarkan Islam ke seantero dunia. Cuma untuk memiliki insurans tersebut, sudah pasti saya haruslah memulakan untuk berbudi kepada sesiapa sahaja, dalam apa jua urusan kita dengan tidak memilih aspek-aspek tertentu atau golongan sasaran tertentu sahaja.

Yang menerima budi kita, pasti akan ada tindak balasnya kepada orang yang memberi budi tersebut. Paling kurang kita akan menerima dua patah perkataan yang paling berharga daripada mulut seseorang iaitu 'Terima Kasih' ataupun 'Thank You' ataupun 'Syukran Laka/Laki'. Tidak salah untuk berharap balasan ke atas budi yang kita tanam, tetapi ingatlah, sebenarnya  kita sudah membina sifat 'berharap' atau 'kurangnya ikhlas' ketika kita berbudi.

Jika tidak ada balasan ke atas budi yang telah kita tanam, usahlah kita bersedih atau kecewa. Ingatlah, setiap budi yang kita berikan pada hari ini mempunyai perkiraan pahala daripada Allah kelak. Budi yang pernah kita tanam pada hari ini akan dituai juga pada Hari Akhirat kelak. Bukankah itu yang kita mahukan?

0 comments:

Post a Comment