Ramadhan Datang Lagi…

Sunday, July 31, 2011



Ramadhan datang lagi…Hari ini merupakan hari-hari terakhir kita pada bulan Syaaban. Semoga Allah memilih kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang bakal disambut pada esok hari. Bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan, kerahmatan serta pelbagai ganjaran pahala buat mereka yang benar-benar mahukan. 

Sebuah madrasah atau sekolah yang mampu melahirkan hamba-hamba yang bertaqwa kepada-Nya. Itulah matlamat madrasah ini diadakan. Tiada yang lain, hanyalah untuk melahirkan hamba yang benar-benar takutkan Allah dengan mengerjakan apa yang disuruh serta meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Visi yang cukup jelas dari Sang Pencipta kepada hamba-hamba-Nya untuk dipatuhi.

Bersesuaian dengan maksud firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

Ibadah puasa yang cukup sinonim dengan bulan Ramadhan ini adalah tuntutan terbesar dan ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib kita tunaikan dengan sebaik mungkin. Puasa yang sudah diwajibkan kepada umat terdahulu juga diwajibkan kepada umat Muhammad juga. Amalan yang sudah lama ditunaikan oleh umat sebelum ini bukanlah sekadar sejarah tentang puasa sahaja, tetapi ia adalah medium bagi melahirkan hamba yang bertaqwa. Itulah tujuan yang perlu difahami, dihayati dan dicapai oleh kita. Bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja. Malah ia juga adalah proses untuk mengawal kemahuan kita serta keinginan diri.

Madrasah yang mampu melahirkan hamba yang bertaqwa ini perlu direbut peluangnya. Jangan biarkan ia berlalu tanpa memberi apa-apa kesan buat diri kita. Madrasah yang sungguh singkat masanya ini haruslah dimanfaat sebaik mungkin oleh kita kerana kita tidak akan ketemuinya lagi pada bulan-bulan lain. Sungguh rugi jika kita tidak bersungguh-sungguh untuk ‘belajar’ di madrasah ini. Jangan pula sekadar berimpian untuk bertemu lagi pada tahun mendatang andai kata madrasah yang ada di hadapan mata disia-siakan pula. Manfaatkanlah setiap ruang waktu yang ada walau ia kelihatan agak sukar buat kita. 

Penuhilah dengan amal-amal sunat seperti bertadarus al-Quran, berqiamullail, berterawih, bersedakah, memberi orang makanan untuk berbuka walaupun dengan sebiji buah tamar atau seteguk air. Jangan terlalu asyik dengan mengerjakan amalan sunat sahaja sehinggakan amalan wajib pula dibiarkan. Jangan terlalu ghairah untuk mengejar amalan sunat, amalan fardhu pula dibiarkan. Malangnya, 'tiada peningkatan’ langsung ketika berada di madrasah Ramadhan ini. Yang penting, amalan fardhu mestilah sentiasa menjadi keutamaan, barulah amalan sunat. Itulah yang perlu difahami. 

Tinggalkanlah segala maksiat serta segala yang mampu merosakkan jalan menuju taqwa kita. Jangan biarkan amalan kita sia-sia. Kita menyangka bahawa ibadah yang kita lakukan bakal mendapat ‘ganjaran’ di sisi Allah kelak, tetapi yang dibimbangi adalah sangkaan kita meleset. Hanya sia-sia sahaja. Itulah kepasrahan yang tiada nilainya di sisi Allah kelak. Amalan yang disangka mampu menolong kita, rupa-rupanya tiada ‘nilai’ di sisi Allah. Itulah kerugian terbesar di sisi Allah buat sang hamba.

Biarlah ibadah puasa kita pada Ramadhan pada kali ini benar-benar mencapai matlamat taqwa. Matlamat terbesar buat sang hamba dalam mencari redha serta rahmatNya. Janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada di hadapan mata pada kali ini. Lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Moga-moga Ramadhan pada kali ini mampu mengubah diri ke arah yang lebih baik dan mampu mencapai visi taqwa sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah, ayat 183.

0 comments:

Post a Comment