Hari Kesepuluh Ramadhan...

Wednesday, August 10, 2011



Hari ini sudah hari yang kesepuluh kita berada di dalam bulan Ramadhan. Sudah satu pertiga bulan Ramadhan telah kita lalui. Terasa sungguh pantas masa berlalu. Bulan yang penuh dengan segala kebaikan, keberkatan dan kerahmatan ini wajib direbut oleh kita semua dengan mempertingkat segala amalan fardhu dan juga amalan sunat. Jangan sesekali kita tertipu dengan masa yang ada. Kadang-kadang kita selalu berkata, “Tak apa, masih ada banyak masa lagi untuk kita buat itu dan buat ini…” Jadilah hamba yang agresif dalam mengejar amalan-amalan soleh dan pada masa yang sama kita sedaya upaya untuk meninggalkan maksiat serta amalan-amalan yang boleh mendatangkan dosa.


Kita selalu membaca ayat surah al-Asr yang membicarakan tentang masa. Surah yang amat sinonim dengan sikap orang yang berada di dalam 'kerugian' melainkan beberapa golongan yang beruntung seperti yang dimaksudkan di dalam ayat ketiga surah tersebut yang bermaksud:

“ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.

Penceramah-penceramah, ustaz-ustaz atau motivator-motivator seringkali menyebut tentang kepentingan masa dan sikap jangan suka bertangguh. Memang benar, dengan bertangguh kita akan melambakkan lagi urusan yang sepatutnya mampu diselesaikan. Bakal menambahkan lagi urusan-urusan di dalam jadual kerja seharian kita yang sememangnya sudah banyak ‘dikumpul’ akibat sikap suka bertangguh atau melengah-lengahkan sesuatu urusan. Kalau ibadah, kita jangan bertangguh-tangguh. Bersegeralah ke arah kebaikan.

Jika madrasah Ramadhan pada kali ini kita masih lagi ‘bertangguh’ untuk mengerjakan amal soleh, sudah pasti untuk menjamin kita melakukan amal soleh pada bulan lain agak sukar buat kita. Ketika inilah kita melatih sifat agresif untuk merebut peluang yang terhidang atau tersedia. Bukan lagi mengambil ‘port’ yang membiarkan orang lain berebut-berebut untuk mengejar kebaikan, sedangkan kita hanya memerhati sahaja. Sepatutnya, diri kita juga turut serta. Jangan kita hanya bimbang untuk tidak sempat membeli juadah berbuka atau persiapan hari raya, bimbanglah jika kita tidak sempat lagi merebut saat-saat barakah di dalam bulan ini.

Usah bertanya, sempatkah kita untuk merasai Ramadhan lagi pada tahun hadapan jika Ramadhan pada kali ini kita masih lagi merebutnya sambil ‘lewa’. Bagi mereka yang begitu ghairah beribadah di dalam bulan ini, tanyalah diri sendiri, apakah benar kita lakukan segala ibadah semata-mata kerana kasih dan cinta kepada Allah? Atau hanya kerana bulan Ramadhan itu sendiri? Jangan sesekali kita tertipu dengan tujuan ibadah yang sebenar, iaitu kita mengerjakan semata-mata kerana Allah. Jika kita beribadah kerana Nabi, nabi pasti akan mati. Jika kita beribadah kerana Ramadhan, Ramadhan pasti berlalu pergi dan semestinya, beribadahlah kerana Allah, pasti Allah tidak akan ‘mati’ dan ‘pergi’.

Sesungguhnya madrasah Ramadhan yang dianugerahkan kepada kita pada kali ini, biarlah ia merupakan sebuah madrasah yang benar-benar melahirkan kita menjadi hamba yang bertaqwa kepada-Nya. Hamba yang ikhlas serta tawakkal yang tinggi dalam setiap urusan kehidupan. Hamba yang benar-benar mengikut apa yang diperintahkan melalui al-Quran dan as-Sunnah. Bukannya hamba yang menentang dan melanggar apa yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Semoga dengan Ramadhan yang masih berbaki, kita mampu mempertingkat dan memperbaiki segala kelemahan yang ada pada puasa serta ibadah kita yang terdahulu. Moga-moga, baki dua pertiga lagi pada madrasah ini kita mampu merubah diri ke arah yang lebih baik dan menjadi hamba yang benar-benar bertaqwa di sisi Allah, insya’ Allah.

0 comments:

Post a Comment