Sudah Separuh Jalan Kita Menuju Taqwa

Tuesday, August 16, 2011



Sungguh pantas hari-hari berlalu meninggalkan kita. Sedar atau tidak, kita sudah memasuki separuh bulan Ramadhan. Juga sudah separuh bulan yang telah kita habiskannya. Bulan yang penuh dengan segala keberkatan, kerahmatan dan pengampunan daripada Allah bakal pergi meninggalkan kita. Pendek kata, sudah separuh jalan kita menuju taqwa. Cuma, adakah kita sempat untuk menghabiskan saki-baki bulan ini atau kita hanya membiarkannya ia berlalu dengan begitu sahaja.

Andainya kita merupakan hamba yang tidak mahu Ramadhan pergi dengan begitu sahaja, sudah pasti pelbagai usaha telah kita lakukan agar Ramadhan yang hadir ini benar-benar memberi kesan kepada kita. Sudah tentu juga pelbagai amalan soleh telah kita lakukan sepanjang bulan ini dan sehingga saat ini. Mungkin juga, pelbagai keburukan dan maksiat sudah berjaya kita tinggalkan atau tidak dekatinya lagi. Itu adalah ‘kesan’ yang positif yang lahir melalui kehadiran Ramadhan. Moga-moga perubahan positif itu terus kekal dan tidak kembali 'negatif' pada bulan-bulan lain hendaknya. Jangan setakat Ramadhan sahaja, malah bulan lain hendaklah diteruskan momentumnya.

Cuma, sedikit muhasabah, apakah kita mampu meraih objektif ‘taqwa’ yang dituntut melalui ibadah puasa itu sendiri? Hanya kita sendirilah yang mampu menilainya. Jika manusia yang menilainya, mungkin aspek luaran sahaja yang mampu dinilai. Aspek dalaman terutama sekali persoalan ikhlas, hanya kitalah yang mengetahuinya. Mana tahu, ada sifat 'ujub, riya' atau takabbur ketika kita menekuni ibadah sepanjang Ramadhan ini. Itulah yang dibimbangi kerana ia boleh merosakkan nawaitu sebenar kita beribadah. Tiada sebab yang lain, melainkan kerana-Nya sahajalah kita beribadah di samping mematuhi apa yang digariskan oleh syariat.

Jika dilihat daripada aspek ibadah puasa, Allah terang-terang meletakkan ganjaran pahala puasa adalah tidak terhad atau tidak terbatas. Malah ia adalah milik mutlak Allah untuk menentukannya. Sudah pasti, ganjaran akhirat kita tidak nampak secara zahir sebagaimana ganjaran kita melakukan sesuatu pekerjaan ketika di dunia. Untuk meyakininya, ia memerlukan kepada ilmu serta keimanan yang benar-benar tulus serta tinggi. Jika tidak, amalan kita hanya sekadar pelengkap kepada ‘arahan’ berpuasa oleh Allah SWT ke atas kita semata-mata.  Mungkin juga sekadar ikutan atau rutinan sahaja. Nauzubillah...

Jika kita berada di atas padang bola, separuh masa kedua adalah masa yang paling sibuk buat jurulatih serta pemain-pemain bagi sesebuah pasukan. Ketika inilah mereka merancang untuk mempertingkat permainan, mengawal emosi serta mempertaruh strategi yang berkesan. Jika silap percaturan, sudah pasti kekalahan yang bakal diratapi. Begitu juga dengan madrasah Ramadhan yang dilalui, separuh masa kedua inilah yang kita perlu maksimakan. Perlu gandakan usaha. Perlu mujahadah ke atas hawa nafsu serta halangan yang ada. Andainya kita gagal, sudah pasti kita bakal melepaskan Piala Taqwa yang patut dijulang di saat Ramadhan bakal meninggalkan kita. Rugilah kita jika tertewas dengan Pasukan hawa nafsu yang maha hebat godaannya.

Justeru itu, ini bukannya masa untuk bermain-bermain lagi. Tetapi adalah masa untuk kita ‘menyerang’ habis-habisan jika kemenangan yang mahu kita kecapi. Jika Piala Taqwa yang mahu kita julangkan, jangan sesekali tertewas dengan godaan nafsu serta halangan sekeliling. Perbetulkan niat, pertingkatkan ibadah serta tinggalkanlah perkara-perkara yang boleh membawa dosa agar Ramadhan yang masih berbaki ini, mampu kita tamatkan dengan objektif ‘taqwa’ yang digariskan.

Semoga separuh jalan kita lagi mampu menuju taqwa yang diidam-idamkan. Fastabiqul khairat...Berlumba-lumbalah mengejar kebaikan.

0 comments:

Post a Comment