Rebutlah Kesempatan dan Peluang Yang Ada...

Sunday, September 11, 2011



Hampir sebulan atau lebih kurang 26 hari juga saya tidak menulis di blog ini. Bukannya tiada perkara yang ingin dikongsi, tetapi ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ yang amat terbatas membuatkan saya tidak berjaya berkongsi tulisan di sini. Tambahan pula, saya bukanlah blogger tegar dan tulisan yang ada pada blog ini hanyalah sekadar berkongsi rasa hati, idea dan sedikit coretan pengalaman atau peristiwa berdasarkan pemerhatian saya sahaja. Cuma, agak terkilan juga jika hampir satu bulan baru ada entri atau tulisan terbaru daripada saya di sini, setidak-tidaknya saya mampu menulis untuk beberapa tulisan dalam tempoh satu bulan. Itulah azam awal saya apabila berblog. Semoga saya mampu terus beriltizam dengan azam awal saya, insya’ Allah.

Berbicara tentang ‘kesempatan’ dan ‘peluang’ ini, saya lebih suka untuk mengimbau kesempatan kita untuk bersama-sama dengan bulan Ramadhan yang lepas. Ucapan syukur harus kita nyatakan sama ada melalui hati, lisan mahupun dengan perbuatan. Syukur kerana Allah SWT masih lagi memilih kita dan memberi ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan baru-baru ini. Ada juga di kalangan kita yang tidak ‘berkesempatan’ serta tidak ‘berpeluang’ untuk bertemu dengan bulan tersebut kerana sudah kembali ke rahmatullah

Apakah perasaan kita jika kita diberi ‘peluang’ atau ‘kesempatan’ untuk berada di dalam bulan yang penuh dengan kebaikan ini? Sudah tentu kita akan berasa menyesal dan berasa rugi jika tidak bersungguh-sungguh untuk memanfaatkannya, bukan? Sesungguhnya orang yang paling rugi adalah orang yang mensia-siakan apabila diberi sesuatu peluang yang amat bernilai untuknya. Sesalannya adalah bukan hanya di dunia, malah ia membawa sehingga ke hari akhirat kelak. 

Begitu juga dengan nikmat kehidupan ini. Ia sebuah 'peluang' serta ‘kesempatan’ yang dihadirkan untuk kita isikannya dengan segala kebaikan serta amal soleh. Manual pengisiannya adalah al-Quran dan as-Sunnah, kedua-duanya tidak boleh ditinggalkan. Segala kehidupan kita semestinya hendaklah berteraskan kepada dua manual agung ini. Andai kita meninggalkannya atau menjadikan sebagai khazanah dan digunakan ketika perlu sahaja, kita sebenarnya masih belum memahami kehendak sebenar manual agung tersebut. Sudah pasti kita sungguh bertuah kerana telah dipilih untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang lalu kerana suasananya cukup efektif untuk kita melakukan apa sahaja kebaikan. Tidak seperti pada bulan-bulan lain. Kini, bulan tersebut telahpun berlalu pergi. Namun, manual agung ini masih lagi tetap bersama dengan kita walaupun Ramadhan sudah berlalu pergi. Yang tinggal adalah bagaimana kita menggunakan manual yang ada secara keseluruhannya demi memandu sebuah kehidupan yang ada ini. Jika manual yang ada tidak dimanfaatkan, apakah jaminan kita untuk memastikan bahawa kehidupan kita ini terarah dan sentiasa berada di atas kehendak Yang Maha Pencipta?

Benar, kita tidak mengetahui bilakah saat kematian kita, malah kehidupan yang ada pada hari ini belum tentu mampu menjamin kehidupan yang sama untuk hari esok. Mungkin lebih baik atau mungkin juga lebih teruk daripada hari ini. Dengan segala kesenangan dan kemewahan yang ada, kita juga belum tentu mampu membeli sebelah mata kita dengan segunung emas yang ada. Nilai sebelah mata yang diciptakan untuk kita melihat sudah pasti tiada tolok bandingnya, apatah lagi nilai sebuah kehidupan yang ada untuk kita nikmati ini. Hanya amal soleh sahaja yang mampu menjadi aset yang bernilai untuk diisi sebelum ajal menjemput tiba. Kemewahan yang ada pada kita bakal kita tinggalkan melainkan ia mampu juga menjadi ‘aset’ di sisi Allah kelak. 

Sungguh rugi andainya ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ untuk merasai nikmat kehidupan ini disia-siakan dengan begitu sahaja. Lebih parah lagi, kita seolah-olah lupa untuk menjadi hamba-Nya yang patuh dan taat terhadap setiap suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bukan hanya untuk menjadi baik atau alim pada bulan Ramadhan sahaja. Malah, sepatutnya kita menjadi baik atau alim untuk setiap masa dan saat yang ada kerana sebuah nikmat kehidupan bakal berlalu pergi apabila kematian menjemput tiba. Rebutlah waktu ketika hidup ini sebelum datangnya waktu mati. Sebagai peringatan buat diri saya dan juga anda semua, suka saya memetik maksud daripada firman Allah di dalam surah al-Jumu’ah, ayat 8 :  

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan."

Ayuh, jadikanlah setiap ‘kesempatan’ serta ‘peluang’ yang ada di hadapan kita merupakan saat-saat terakhir untuk kita beramal soleh dan meninggalkan segala dosa yang ada demi menjadi insan yang benar-benar bertaqwa di sisi-Nya, insya’ Allah.

0 comments:

Post a Comment