Berfikir Jauh

Saturday, October 29, 2011


Menurut Brian Tracy dalam bukunya, ‘Reinvention-Edisi Bahasa Melayu’, "salah satu ciri orang yang paling berjaya dan gembira adalah mereka berpandangan jauh. Mereka sentiasa memikirkan perihal masa depan." Saya menyokong kenyataan beliau dan jika kita membaca buku-buku motivasi serta pembangunan diri , kita sering menemui dengan konsep ‘berfikir jauh’ ini. Hatta ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau juga memperkenal ‘Wawasan 2020’. Pandangan beliau dilihat cukup jauh dalam melihat sebuah negara iaitu Malaysia dan bagaimana untuk mengisinya agar wawasan tersebut berjaya. Istilah-istilah moden yang sering kita ketemui seperti ‘wawasan’, ‘visi’, ‘target’, ‘gol’ atau sebagainya menggambarkan bahawa dalam sesuatu urusan atau kerja yang mahu kita lakukan hendaklah melihatnya dengan pandangan yang jauh. Tidak cukup berpandangan untuk hari esok sahaja, malah untuk bulan depan, tahun depan, 10 tahun lagi atau sebagainya. 

Orang yang berpandangan jauh dilihat sebagai orang yang mempunyai hala tuju yang jelas walaupun dia sendiri belum pasti dengan apa yang akan berlaku nanti. Paling hebat lagi adalah orang yang berpandangan jauh, mereka yakin dengan pandangannya akan membuatkan dirinya sentiasa ‘kuat’ untuk melalui hari-hari yang mendatang. Tiada rasa ragu-ragu atau was-was sama sekali dengan pandangannya. Berbeza pula dengan orang yang mempunyai pandangan yang sama tetapi tidak yakin, malah sentiasa was-was pula, sudah pasti ‘keyakinan’ serta ‘kekuatan’ untuk mencapainya akan berkurangan.

Percayalah, orang yang berfikiran jauh lebih ‘jelas’ hala tuju kehidupannya dan mereka melihat setiap saat yang ada merupakan saat yang sangat bernilai, baginya tidak sesekali mahu mensia-siakan dengan perkara remeh atau tidak berfaedah. Setiap perkara yang ingin dilakukan oleh mereka akan dinilai, dikaji, dirancang serta dilakukan dengan penuh penuh berperancangan agar visi yang mahu dicapai berjaya. 

Bagi orang yang berfikiran pendek atau tidak mahu berfikir panjang untuk masa depannya merupakan orang yang sudah menempah tiket untuk berada di dalam golongan yang gagal. Jangan sampai menjadi yang paling teruk, iaitu mereka yang banyak bergantung harap kepada takdir semata tanpa mahu berusaha sedikitpun. Andai telah berusaha dan usaha tersebut gagal, mereka memilih untuk tidak mahu bangkit buat kali kedua. Cukuplah dengan kegagalan yang ada sebagai pengakhiran buat selama-lamanya. Tidak mahu untuk berfikir sekejap dan melihat kegagalan tersebut sebagai tanda aras untuk melakar kejayaan yang penuh warna-warni. 

Tulisan Brian Tracy memang cukup terkenal di seantero dunia, namun jika kita renung sejenak, sebenarnya manusia agung iaitu Nabi Muhammad SAW telah lama mengajar kita untuk menjadi manusia yang berfikiran jauh dengan mengingati tentang kematian dan beriman dengan Hari Akhirat. Sungguh hebat ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad yang telah banyak membentuk akal, jiwa serta tindakan kita supaya kita berjaya bukan hanya di dunia sahaja, malah kita berjaya sehingga ke syurga. Sesungguhnya itulah visi yang wajib ada dalam perjalanan kehidupan kita ini. Andai kita tidak menjadikannya visi utama, nescaya dunialah yang akan kita kejar dan perolehi. Akhirat nanti mungkin kita akan menjadi manusia yang paling rugi.

Apabila merenung sejenak, sungguh jauh Islam memandang kehidupan kita ini.  Islam mengajar kita untuk mengisi serta mengatur kehidupan ini bukan setakat di dunia sahaja, malah sehingga ke akhirat. Di sanalah destinasi yang kekal abadi. Ayuh, kita mulakan pada saat ini untuk merancang agar kita menjadi orang yang ‘berfikiran jauh’ sehingga ke akhirat. Tidak salah untuk mempunyai ‘wawasan dunia’, tetapi laraskan ia supaya menjadi ‘wawasan akhirat’ juga. Moga-moga wawasan kita mampu memberi kebaikan ketika di dunia dan di akhirat, insya’ Allah. 

0 comments:

Post a Comment