Oh, Jalanraya!

Wednesday, October 19, 2011


Dalam perjalanan ke pejabat hari ini, saya berhenti pada satu simpang kerana lampu isyaratnya telah menunjukkan warna merah. Undang-undang yang ada menyatakan bahawa apabila lampu isyarat berwarna merah, maka kita hendaklah memberhentikan kenderaan. Apa yang saya perhatikan, kebanyakan kenderaan mematuhi isyarat lampu tersebut termasuklah seorang pak cik penarik beca. 

Malangnya, ada juga kenderaan yang melanggar lampu merah tersebut. Bagi saya mereka langsung tidak menghormati undang-undang yang ada. Fikir saya, mungkin mereka mahu ‘cepat' ke tempat yang ingin dituju. Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan yang kukuh untuk kita melanggar isyarat merah tersebut. Undang-undang tetap undang-undang! Undang-undang yang ada bukan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk semua. Kalau tidak mahu menghormati diri kita sekalipun, hormatilah hak orang lain yang memberhentikan kenderaan. Di situlah kita akan belajar untuk menghormati sama.

Banyak kebaikan yang kita perolehi apabila mematuhi undang-undang yang ada. Selain melicinkan perjalanan lalu-lintas, sudah tentu ia akan mengurangkan kadar kemalangan di jalanraya. Saban hari, kita mendengar kes-kes kemalangan berlaku di jalanraya. Tak kiralah kemalangan kecil, kemalangan maut atau kemalangan misteri. Kebanyakannya berpunca daripada sikap gopoh-gapah atau ketidakpatuhan kepada undang-undang lalu-lintas yang ada. Tidak hairanlah pelbagai ‘Ops’ yang dilakukan oleh pihak Kerajaan.

Jika kita ingkar atau melanggar undang-undang, bahayanya bukan hanya untuk kita sahaja. Malah akan melibatkan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kita langsung. Itulah ‘accident’ yang akan menemukan kita dengan orang lain atau mungkin menemukan kita dengan orang yang memang kita kenali. Jika disaman sekalipun, mungkin duit kita terlalu banyak untuk membayar saman-saman yang dikenakan. 

Jika ditanya, sudah pasti semua orang mahu ‘cepat’ sahaja dalam setiap perjanan dilalui. Tidak mahu jem yang teruk atau ‘road-block’ dilakukan oleh pihak berkuasa. Kalau boleh, mahu sahaja lampunya berwarna hijau di sepanjang jalan. Senang, tidak perlu berhenti-henti lagi semasa memandu kenderaan. Untuk mematuhi serta memberhentikan kenderaan pada lampu isyarat yang berwarna merah itu seolah-olah nampak sukar. Perlu kepada kesabaran yang agak luar biasa barangkali. Orang yang baru pulang dari masjid pun berperangai sama apabila berada di atas jalanraya. Kadang-kadang lebih bahaya daripada orang yang tidak ke masjid. Semuanya adalah kerana sikap kita yang tidak mahu berubah. Kalau berubah sekalipun, mungkin tidak bertahan lama. Semacam tiada komitmen langsung semasa melakukan perubahan. 

Bagi yang berkereta besar dan mewah pula, ada yang memandunya dengan penuh keangkuhan. Tidak melihat motosikal di tepinya. Melajukan kenderaan apabila melihat ada orang mahu melintas jalan. Seolah-olah kitalah yang paling hebat di jalanan barangkali. Kita tidak tahu berapa ramai orang telah mendoakan keburukan disebabkan cara memandu kita yang tidak berhemah. Kita juga tidak tahu berapa ramai orang yang menyumpah dengan kata-kata kesat disebabkan ego kita apabila melihat pak cik menaiki motosikal.

Bagi saya, jalanraya juga merupkan medan yang penting untuk mendidik diri serta menambah amal kebajikan. Mana tahu, dengan cara pembawaan kenderaan yang berhemah, mematuhi tanda-tanda isyarat di jalanraya mampu memberikan pahala buat diri kita. Mana tahu... setidak-tidanya kita mulakanlah perjalanan kita dengan membaca doa. 

0 comments:

Post a Comment