Tetamu Senja

Sunday, October 2, 2011

Puisi : Tetamu Senja 
Oleh : SN A. Samad Said


Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat 

Sepintas lalu, apabila membaca puisi ini buat pertama kalinya, saya agak kurang memahaminya. Jadi, saya perlu membuat bacaan buat kali keduanya agar mesej yang mahu disampaikan oleh SN A. Samad Said dapat  saya fahami. Sungguh menginsafkan! 

Puisi ini mengajak kita untuk mengenali diri, tujuan kehidupan ini dan ke manakah kita akhirnya. Kehidupan yang pasti mempunyai titik noktah. Bertandang ke dunia fana ini dengan matlamat yang satu iaitu untuk menjadi insan yang taat pada tuhannya. Bukannya untuk menjadi penderhaka kepada Yang Maha Pencipta ke atas makhluknya. Jika terleka dengan tanggungjawab sebagai hamba yang taat, lekas-lekaslah sedar dan sembahlah tuhanmu dengan taat yang tidak berbelah bagi.

Andai saat kita mulai mahu lalai atau menderhaka, segeralah pulang ke pangkal jalan. Itulah sebaik cara untuk tidak terus lalai dengan darjat serta kedudukan. Ketika nyawa belum di halqum, berbaktilah kepada tuhan dan kumpulkanlah sebanyak mungkin pahala untuk bekalan kelak. Usah pula mengumpul dosa sebagai bekalan kita, kerana ia adalah teramat rugi.

Akhir sekali, ketika kita masih hidup, biarlah dipenuhi dengan amal kebaikan dan amal tersebut penuh dengan 'keberkatan' serta 'redha'-Nya merupakan sebagai sebaik-baik bekalan sesudah senja berlabuh.


0 comments:

Post a Comment