Salam Aidil Adha 1432H

Saturday, November 5, 2011


Esok 10 Zulhijjah, bagi penganut agama Islam, kita bakal merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji bagi tahun 1432H. Sungguh besar perayaan yang bakal kita rayakan nanti sehinggakan Allah telah mengharamkan kita untuk berpuasa pada hari tersebut. Malah banyak amalan-amalan sunat yang dituntut agar kita lakukan. Berzikir, bertakbir, beristighfar, berpuasa sunat, melakukan ibadah korban serta ziarah-menziarahi adalah di antara amalan yang boleh kita lakukan semasa menyambut hari raya ini.

Sinonimnya perayaan tersebut dengan diri kita adalah kita sentiasa dikaitkan dengan kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s untuk menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Ketaatan ayah dan juga anak kepada perintah Allah melebihi segala-galanya walaupun si ayah mendapat perintah untuk menyembelih anaknya hanya melalui mimpi. Jika kita berada pada situasi tersebut, sudah tentu kita hanya mengatakan perintah tersebut sebagai ‘mainan mimpi’ sahaja. Apatah lagi, mimpi tersebut meminta kita untuk menyembelih anak sendiri pula. Mungkin kita tidak tergamak atau berasa berat hati untuk menyembelih anak sendiri, lebih-lebih lagi anak itu merupakan anak yang kita sayangi pula. Itulah pertarungan perasaan yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. sungguh luar biasa pertarungan tersebut. Namun, Nabi Ibrahim a.s telah menunjukkan contoh terbaik kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya walaupun terpaksa mengorbankan anak sendiri.

Saya pasti kisah ini seringkali kita baca atau dengari, paling tidak kita akan mendengarnya melalui ceramah-ceramah atau melalui pak khatib yang akan membacakan kisah agung ini melalui khutbah bersempena Hari Raya Aidil Adha. Tinggalnya sahaja adalah pengorbanan yang bagaimanakah yang mampu kita berikan bagi mencapai ketaatan kepada Allah SWT. Mungkin pengorbanan tersebut tidaklah sehebat yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. Namun, sifat berkorban demi agama amatlah dituntut lebih-lebih lagi di saat agama kita masih lagi belum didaulatkan pada tempat yang tertinggi. Kita boleh mengorbankan masa kita, fikiran kita, tenaga kita, keluarga kita, harta kita, kedudukan kita, kepentingan kita, perniagaan kita dan pelbagai lagi demi kebaikan Islam serta umat Islam seantero dunia.

Jika tidak sampai ke Palestin pun harta kita dikorbankan, paling tidak kita membantu fakir miskin, anak yatim atau jiran-jiran yang susah di tempat tinggal kita. Tenaga yang ada pula, kita boleh salurkan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan atau membantu membersihkan tandas atau laman masjid, kubur dan seumpamanya. Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan sebenarnya. Paling tidak kita berfikirlah tentang nasib saudara seIslam dengan kita dan mendoakan kebaikan untuk mereka.

Jangan sesekali menjadi manusia yang hanya mengambil berat tentang diri sendiri serta keluarga kita sahaja. Tidak cukup sekadar itu, kita mesti juga mengambil berat tentang orang lain. Jiran-jiran, rakan sepejabat, rakan taulan, kaum kerabat dan waris, masyarakat setempat dan pelbagai peringkat lagi yang boleh kita ambil tahu dan ambil berat. Jika mereka memerlukan bantuan atau khidmat, maka hulurkanlah dengan seadanya. Mudah-mudahan usaha kita itu akan menjadi sebahagian amal soleh di sisi-Nya kelak.

Bersempena musim haji ini juga, saya mendoakan agar para jemaah haji mendapat haji yang mabrur dan diterima Allah kelak. Sesungguhnya peluang bertandang ke Tanah Suci Mekah merupakan nikmat yang cukup besar sekali, bukan hanya setakat menunaikan rukun Islam kelima sahaja, malah ia merupakan peluang untuk kita benar-benar dekat dan hampir dengan Allah SWT. Moga-moga kita akan menjadi manusia yang bertaqwa di sisi-Nya kelak. Itulah sebaik-baik natijah yang kita mahukan dalam melakukan apa jua sahaja ibadat untuk-Nya. Biarlah timbul sifat kehambaan dan tawadduk dengan Tuhan yang menciptakan kita dan alam ini. Jika masih lagi ‘kurang rasa takut’ dengan larangan Allah dan masih lagi ‘leka’ dengan suruhan-Nya, sudah pasti masih ada lagi kekurangan yang perlu diperbaiki dan dimuhasabah oleh kita.

Akhir kata, selamat berpuasa pada hari ini, 9 Zulhijjah iaitu bersempena dengan Hari Wuquf di Padang Arafah dan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1432H buat semua umat Islam serta pembaca blog saya khususnya. Maaf zahir dan batin di atas kesilapan yang dilakukan sama ada saya sedari atau tidak sedari semasa menulis serta menghantar entri di blog ini. Semoga saya mendapat keampunan di sisi-Nya. Doakan saya juga agar cepat-cepat sampai ke Kota Mekah. Sungguh tidak sabar untuk menjadi tetamu di sana.

Tingkatkan pengorbanan setiap masa dan juga keadaan!
  

0 comments:

Post a Comment