Hakikat Perjalanan Hidup

Wednesday, December 21, 2011



Manusia datang dan pergi. Setiap hari adanya kelahiran dan juga kematian baru dicatatkan. Manusia lahir dengan pelbagai cara. Manusia mati juga dengan pelbagai cara. Yang sama adalah hakikat kelahiran dan kematian itu sendiri. Ia benar-benar berlaku! Tidak ada satu pun yang berkuasa bagi meneruskan atau menghalang kelahiran dan kematian itu kecuali Allah.

Kejadian manusia sungguh unik dan tiada suatu kuasa pun yang mampu menghidupkan manusia di atas muka bumi ini melainkan Allah. Allah Maha Pencipta ke atas makhluknya termasuklah manusia. Di samping itu, kita mestilah juga meyakini bahawa Allah juga berkuasa untuk mematikan kita. Kita ini adalah ‘pinjaman’ sahaja untuk berada di dunia. Tidak selama-lamanya kita hidup di dunia ini. Kita ibarat seperti seorang musafir yang berhenti berteduh di bawah sebatang pokok dan kemudiannya menyambung kembali musafirnya. Sesungguhnya dunia adalah di antara destinasi-destinasi dalam pemusafiran kita. 

Biarlah kita menjadi seorang musafir yang cukup bekalannya. Bekalan yang dibawa mampu digunakan kelak. Bimbang-bimbang bekalan kita tidak cukup dan yang dibawa pula tercicir ketika dalam pemusafiran. Begitu juga dengan amalan kita untuk dipersembah kepada Allah kelak. Kita fikir sudah cukup amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia ini, rupa-rupanya ‘pahala’ amal soleh kita tercicir disebabkan dosa yang kita lakukan tanpa disedari atau sedari. 

Ungkapan Dr ‘Aidh al-Qarni, pengarang buku ‘La Tahzan’ membuatkan diri saya begitu tersentuh dan berfikir tentang bekalan yang mahu dibawa kelak. Beliau mengungkapkan, “Malaikat Izrail akan datang tanpa kenal rasa hiba, menghancurkan rasa cinta, meruntuhkan kekeluargaan. Hartamu yang segunung tidak akan berkuasa menghentikannya. Hanya satu yang mampu menyelamatkan jiwamu, iaitu amalanmu. Adakah engkau sudah bersedia untuk mati?”

Kita yang masih hidup dan diberi nikmat untuk hidup, pergunalah sebaik-baiknya. Cuba lihat di sekeliling kita, sudah berapa ramai yang telah meninggalkan kita. Tidak kira yang muda ataupun tua, tidak kira lelaki ataupun perempuan, tidak kira kaya atau miskin, tidak kira orang awam atau bangsawan, semuanya telah meninggalkan kita. Ambillah iktibar dan ruang untuk memuhasah diri, memperbaiki kelemahan serta mempertingkat amal soleh ketika peluang hidup ini masih diberi. Sesungguhnya Allah memperingatkan kita melalui ayat 57, surah al-Ankaabut yang bermaksud:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”

Kita pasti merasai juga kematian itu. Itulah ingatan Allah kepada kita. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Tidak selama-lamanya kita akan hidup di dunia ini. Suatu masa nanti, kematian pasti menjemput kita juga. Begitu juga dengan perjalanan seorang musafir, dia pasti berhenti apabila sudah tiba di destinasi yang ditujunya. Dia tidak akan lagi melangkah pergi apabila sudah tiba di destinasi terakhirnya dan juga tidak akan kembali semula ke destinasi sebelumnya. Begitu juga dengan kehidupan ini, destinasi kita pada hari ini ialah dunia. Kita ada lagi destinasi lain yang ‘wajib’ kita lalui. Penamat kepada destinasi pemusafiran kita ialah Akhirat. Sebuah destinasi yang kekal abadi. Sungguh benar firman Allah melalui ayat 39, surah al Mu’min yang bermaksud:

Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya Akhirat itulah negeri yang kekal.”

Sekuat mana pun kita, sesihat mana pun kita, sekaya mana pun kita, setinggi mana pun pangkat kita, semulia mana pun asal-usul kita, jika tiada ‘taqwa’ dalam perjalanan hidup ini, sudah tentu ia tidak membawa apa-apapun erti kepada kita kelak. Saban kali kita mendengar ucapan atau tulisan menyarankan agar kita bertaqwa. Kita hendaklah ‘berhati-hati’ dalam kehidupan ini agar tidak melakukan maksiat dan bersungguh-sungguh pula ketika melakukan amal ibadah yang dituntut. 

Jika tiada pakaian taqwa dalam kehidupan kita, nescaya kita akan memakai pakaian-pakaian lain yang jenamanya bukan lagi ‘pakaian taqwa’. Allah berfirman melalui ayat 26, surah al-A’raaf yang bermaksud:

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Sebelum jantung berhenti berdenyut, sebelum nyawa berhenti bernafas, ketika kudrat masih mampu melakukan sesuatu, ayuhlah kita memahami hakikat perjalanan hidup ini dengan sebaiknya agar kita tidak tersasar matlamat di kemudian hari, insya’ Allah…

0 comments:

Post a Comment