Semoga Diberkati-Nya

Tuesday, December 27, 2011


Pada 26 Disember 2011, saya berkesempatan untuk menghadirkan diri ke majlis kesyukuran perkahwinan junior sekolah menengah lama, Ahmad Asyraf Bin Shari dan pasangannya, Rosilawati Binti Abdul Majid di terataknya Wakaf Tok Wali, Melor. Ucapan tahniah dihulurkan dan doa saya untuknya, “Semoga Allah memberkati kedua-dua pasangan dan diberi kebaikan sepanjang perkahwinan.” 

Sesungguhnya perkahwinan itu banyak manfaatnya dan menyelesaikan hampir sebahagian besar perjalanan kehidupan insani. Selain memenuhi tuntutan agama serta sunnah, ia juga memenuhi tuntutan fitrah selaku manusia yang hidup berpasang-pasangan. Berpasang-pasangan bermakna di antara lelaki dan perempuan, bukannya sesama jenis iaitu sama ada lelaki dan lelaki atau perempuan dan perempuan. Jika berlaku, sudah tentu ia menyanggahi ketetapan Allah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Firman Allah Swt melalui ayat 45, surah an-Najm yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Dialah yang menciptakan kamu berpasang-pasangan lelaki dan perempuan.” 

Sekiranya ada di kalangan manusia yang memilih untuk berkahwin sesama jenis, sudah tentu pilihan yang dibuat itu menyalahi hukum Allah dan bakal mengundang pelbagai musibah dan masalah di kemudian hari. Ingatlah bagaimana umat Nabi Lut yang dilaknat Allah kerana mengamalkan cara hidup songsang dengan mengamalkan homoseksual iaitu hubungan seks sesama lelaki.

Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu ikatan yang ‘sah’ di antara lelaki dan perempuan. Ikatan tersebut bukanlah sekadar ikatan persahabatan yang biasa, namun ia melibatkan tanggungjawab serta amanah yang amat besar untuk dipikul selepasnya. Jika berkahwin itu hanya sekadar untuk berseronok-seronok atau menghalalkan hubungan kelamin, sudah pasti tanggapan tersebut silap dan agak jauh tersasar dari matlamat sebenar perkahwinan. 

Menyatukan hubungan di antara si lelaki dan si perempuan dengan satu ikatan yang sah adalah langkah pertama untuk kita membentuk sebuah keluarga yang mampu melahirkan generasi pewaris agama. Ia bukanlah penyatuan yang biasa atau penyatuan yang tidak bermatlamat. Ia membawa visi yang cukup besar untuk disempurnakan. Serikanlah dengan kasih-sayang dan rahmat serta perlengkapkanlah rumahtangga dengan binaan iman dan juga taqwa agar ia mampu memandu keluarga menuju keredhaan Allah yang hakiki.

Semoga ikatan perkahwinan yang dibina tersimpul kukuh dan tidak akan terlerai sampai bila-bila dan mampu membawa ke syurga, mudah-mudahan. 

Sekali lagi, tahniah buat Ahmad Asyraf Bin Shari dan pasangannya. Semoga diberkati-Nya.

Allah Lebih Menyayanginya

Sunday, December 25, 2011


Lebih kurang jam 12.45 pagi tadi, saya telah menerima khabar melalui khidmat pesanan ringkas dari sahabat saya iaitu Amin Idris tentang kehilangan adik kesayangannya, Noria Binti Idris ke rahmatullah. Saya difahamkan adiknya mengalami masalah pendarahan yang begitu banyak semasa melahirkan anaknya di salah sebuah hospital swasta di sekitar Kota Bharu. Masalah tersebut akhirnya membawa kepada kegagalan otak untuk berfungsi dengan normal disebabkan aliran darah yang tidak sampai ke otak. Begitulah serba ringkas yang mampu saya tuliskan di sini tentang ‘asbab’ atau punca kematian adiknya. Selebihnya saya juga tidak tahu dan mungkin sahabat saya sendiri yang lebih tahu tentang situasi sebenarnya yang berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada Allah, kerana Dialah Yang Maha Mengetahui ke atas segala kejadian yang berlaku ke atas makhluk ciptaan-Nya.

Menerima berita kematian adik kepada sahabat saya ini membuatkan saya teringat kembali kepada entri bertajuk ‘Hakikat Perjalanan Hidup’ yang juga baru ditulis di blog saya pada 21 Disember yang lalu. Sungguh tidak disangka-sangka juga kerana sebelum entri itu dihantar, saya sempat bertamu ke rumah sahabat saya bagi menghadiri majlis kesyukuran hari ulang tahun yang ketiga anak pertamanya. Sungguh pantas masa berlalu dan pelbagai kejadian yang boleh berlaku dalam tempoh sesingkat itu. Namun, itu bukanlah cerita yang mahu dibangkitkan, cuma ia sebahagian ingatan saya tentang perjalanan suka duka sahabat saya yang begitu kasih dan cinta terhadap keluarganya. Sudah pasti banyak kenangan tersimpan selaku seorang abang ke atas adiknya. Pelbagai ragam dan karenah yang mampu menggamit memori apabila dikenang nanti. 

Hari ini, saya sekali lagi ke rumah sahabat saya untuk menziarahi dan mengucapkan takziah kepadanya yang telah kehilangan salah seorang ahli keluarga yang tercinta. Di samping itu, saya juga berkesempatan untuk bersolat jenazah yang diimami sendiri oleh sahabat saya di Masjid al-Munir, berdekatan dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB). Segala urusan berjalan dengan lancar, dari urusan solat jenazah, pengebumian di tanah perkuburan dan sehinggalah talqin dibaca oleh Imam Masjid al-Munir itu sendiri.


Ramai juga teman-teman yang hadir untuk memberi sokogan buat sahabat saya. Paling tidak rasa sedih di atas kehilangannya terubat sedikit walaupun tidak kesemuanya. Siapa yang tidak sedih dengan pemergian orang yang paling kita kasihi buat selama-lamanya? Sudah pasti ia suatu fitrah insani kerana Nabi Muhammad SAW sendiri turut berasa sedih apabila kehilangan untuk selama-lamanya isteri tercinta Baginda iaitu Siti Khadijah. Mungkin perasaan itu saya akan merasai juga pada suatu masa nanti atau saya tidak mampu langsung merasainya kerana saya terlebih dahulu menerima ‘panggilan Ilahi’ berbanding dengan orang-orang yang saya kasihi. Wallahu ‘alam.

Apa-apapun, marilah kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah dan mendoakan arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah dan bertaqwa. Semoga arwah juga beroleh ganjaran syahid di sisi Allah kerana bertarung nyawa kerana melahirkan anaknya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Buat sahabat saya, semoga anda terus tabah, sabar dengan ujian yang menimpa dan yang paling penting redha di atas pemergiannya. Sesungguhnya saya yakin dan percaya bahawa Allah lebih menyayanginya.

Sekali lagi, al-Fatihah kita sedekahkan kepada arwah, Noria Binti Idris.

Firdaus Shope : Dari Blog Ke Fan Page

Saturday, December 24, 2011


Hari ini, 24/12/2011, saya secara rasminya menaiktaraf serta mempromosikan Fan Page Firdaus Shope kepada anda semua. Ia memperluas ruang lingkup Firdaus Shope itu sendiri dan tidak hanya dikenali melalui tulisan di blog sahaja. Ia bakal menawarkan khidmat nasihat, rundingan, motivasi, ceramah, bengkel serta bersedia menjadi ‘pengurus acara’ bagi program yang berbentuk Islami dan program yang mampu memberi manfaat kepada umum.

Sasaran adalah pelajar, mahasiswa, remaja, belia, ibubapa, mereka yang berkerja, persatuan, organisasi, korporat dan sesiapa sahaja yang memerlukan khidmat Firdaus Shope. Kos yang dikenakan amat berpatutan dan mengambil kira perbincangan di antara kedua-dua belah pihak sehinggalah persetujuan dicapai.  

Modul-modul yang ada bersesuaian dan mengikut citarasa serta kehendak pelanggan diutamakan. Modul yang ditawarkan diadun serta diolah dengan menekankan aspek ketuhanan, manusiawi, kecemerlangan serta keprofesionalan pengurusan serta pentadbiran. 

Secara objektifnya, Fan Page ini bertujuan untuk melahirkan insan yang berkualiti dari aspek mental, hati dan tingkah laku. Di samping itu, ia mengajak untuk memaknakan kehidupan dengan melakukan kebaikan serta mencetus agar menjadi insan yang bermanfaat kepada ummah dan negara, insya’ Allah. 

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, sila layari dan klik 'Like' di Fan Page Firdaus Shope dan bagi mereka yang bertuah, saya tidak teragak-agak untuk memberikan ‘hadiah misteri’ kepada anda yang terpilih nanti. Saya mengharapkan sokongan serta doa yang berterusan daripada anda semua agar visi dan misi Firdaus Shope ini berjaya, insya’ Allah. 

Semoga Fan Page ini mampu memberi kebaikan dan manfaat buat anda. 

“Bukan Sekadar Kedai Biasa” 


Pemilik Firdaus Shope,
Mohd Firdaus Mohd


Hakikat Perjalanan Hidup

Wednesday, December 21, 2011



Manusia datang dan pergi. Setiap hari adanya kelahiran dan juga kematian baru dicatatkan. Manusia lahir dengan pelbagai cara. Manusia mati juga dengan pelbagai cara. Yang sama adalah hakikat kelahiran dan kematian itu sendiri. Ia benar-benar berlaku! Tidak ada satu pun yang berkuasa bagi meneruskan atau menghalang kelahiran dan kematian itu kecuali Allah.

Kejadian manusia sungguh unik dan tiada suatu kuasa pun yang mampu menghidupkan manusia di atas muka bumi ini melainkan Allah. Allah Maha Pencipta ke atas makhluknya termasuklah manusia. Di samping itu, kita mestilah juga meyakini bahawa Allah juga berkuasa untuk mematikan kita. Kita ini adalah ‘pinjaman’ sahaja untuk berada di dunia. Tidak selama-lamanya kita hidup di dunia ini. Kita ibarat seperti seorang musafir yang berhenti berteduh di bawah sebatang pokok dan kemudiannya menyambung kembali musafirnya. Sesungguhnya dunia adalah di antara destinasi-destinasi dalam pemusafiran kita. 

Biarlah kita menjadi seorang musafir yang cukup bekalannya. Bekalan yang dibawa mampu digunakan kelak. Bimbang-bimbang bekalan kita tidak cukup dan yang dibawa pula tercicir ketika dalam pemusafiran. Begitu juga dengan amalan kita untuk dipersembah kepada Allah kelak. Kita fikir sudah cukup amal soleh yang kita kerjakan ketika di dunia ini, rupa-rupanya ‘pahala’ amal soleh kita tercicir disebabkan dosa yang kita lakukan tanpa disedari atau sedari. 

Ungkapan Dr ‘Aidh al-Qarni, pengarang buku ‘La Tahzan’ membuatkan diri saya begitu tersentuh dan berfikir tentang bekalan yang mahu dibawa kelak. Beliau mengungkapkan, “Malaikat Izrail akan datang tanpa kenal rasa hiba, menghancurkan rasa cinta, meruntuhkan kekeluargaan. Hartamu yang segunung tidak akan berkuasa menghentikannya. Hanya satu yang mampu menyelamatkan jiwamu, iaitu amalanmu. Adakah engkau sudah bersedia untuk mati?”

Kita yang masih hidup dan diberi nikmat untuk hidup, pergunalah sebaik-baiknya. Cuba lihat di sekeliling kita, sudah berapa ramai yang telah meninggalkan kita. Tidak kira yang muda ataupun tua, tidak kira lelaki ataupun perempuan, tidak kira kaya atau miskin, tidak kira orang awam atau bangsawan, semuanya telah meninggalkan kita. Ambillah iktibar dan ruang untuk memuhasah diri, memperbaiki kelemahan serta mempertingkat amal soleh ketika peluang hidup ini masih diberi. Sesungguhnya Allah memperingatkan kita melalui ayat 57, surah al-Ankaabut yang bermaksud:

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”

Kita pasti merasai juga kematian itu. Itulah ingatan Allah kepada kita. Dari-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Tidak selama-lamanya kita akan hidup di dunia ini. Suatu masa nanti, kematian pasti menjemput kita juga. Begitu juga dengan perjalanan seorang musafir, dia pasti berhenti apabila sudah tiba di destinasi yang ditujunya. Dia tidak akan lagi melangkah pergi apabila sudah tiba di destinasi terakhirnya dan juga tidak akan kembali semula ke destinasi sebelumnya. Begitu juga dengan kehidupan ini, destinasi kita pada hari ini ialah dunia. Kita ada lagi destinasi lain yang ‘wajib’ kita lalui. Penamat kepada destinasi pemusafiran kita ialah Akhirat. Sebuah destinasi yang kekal abadi. Sungguh benar firman Allah melalui ayat 39, surah al Mu’min yang bermaksud:

Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya Akhirat itulah negeri yang kekal.”

Sekuat mana pun kita, sesihat mana pun kita, sekaya mana pun kita, setinggi mana pun pangkat kita, semulia mana pun asal-usul kita, jika tiada ‘taqwa’ dalam perjalanan hidup ini, sudah tentu ia tidak membawa apa-apapun erti kepada kita kelak. Saban kali kita mendengar ucapan atau tulisan menyarankan agar kita bertaqwa. Kita hendaklah ‘berhati-hati’ dalam kehidupan ini agar tidak melakukan maksiat dan bersungguh-sungguh pula ketika melakukan amal ibadah yang dituntut. 

Jika tiada pakaian taqwa dalam kehidupan kita, nescaya kita akan memakai pakaian-pakaian lain yang jenamanya bukan lagi ‘pakaian taqwa’. Allah berfirman melalui ayat 26, surah al-A’raaf yang bermaksud:

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Sebelum jantung berhenti berdenyut, sebelum nyawa berhenti bernafas, ketika kudrat masih mampu melakukan sesuatu, ayuhlah kita memahami hakikat perjalanan hidup ini dengan sebaiknya agar kita tidak tersasar matlamat di kemudian hari, insya’ Allah…

10 Muharam 1433H

Tuesday, December 6, 2011


Hari ini 10 Muharam 1433 Hijriah. Sudah 10 hari kita berada dalam tahun baru Islam. Lebih kurang 25 hari sahaja lagi kita bakal menyambut tahun baru Masihi pula, 2012. Sungguh pantas waktu bergerak. Sedar tidak sedar, usia diri kita juga bertambah dari waktu ke waktu. Tidak ada orang yang nampak lebih muda daripada hari semalam. Juga tidak ada orang yang mampu menahan hari semalam, bulan semalam serta tahun semalam untuk tidak bergerak. Ia tetap bergerak dan bergerak tanpa mempedulikan kita.

Mahu tidak mahu, kita perlu bergerak seiring dengan waktu yang ada. Mahu tidak mahu kita hendaklah memanfaatkan setiap detik yang  ada, setiap jam yang ada, setiap hari yang ada, setiap bulan yang ada dan juga setiap tahun yang ada dengan perkara-perkara yang mampu memberikan kita ‘pahala’ di kemudian hari. Kadang-kadang kita tersalah sangka, kita fikirkan bahawa diri kita sudah banyak ‘pahala’ ketika waktu masih lagi berdetik. Rupa-rupanya sangkaan kita meleset. Sangkaan kita membuatkan kita ‘malas’ dan ‘berasa cukup’ dengan amalan yang ada. 

Saya teringat dengan kata-kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna yang menyatakah bahawa, “masa itu adalah kehidupan.” Amat benar sekali kenyataan tersebut. Jika kita berasa cukup dengan bekalan yang ada, kita sebenarnya telah ‘mematikan’ waktu yang ada untuk terus menambah bekalan akhirat. Kita tidak tahu berapa banyak bekalan yang diperlukan untuk mengadap Allah kelak. Mungkin apa yang kita rasa ‘cukup’ pada sisi pandang kita sebenarnya masih tidak ‘cukup’ lagi pada sisi-Nya. 

Ayuh, ketika masa masih hidup dan tidak berhenti berdetik, kita perbanyakkan amal kebajikan, melakukan perkara bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan juga agama kita yang tercinta. Manfaatkan setiap dtik waktu yang ada. 

Selamat berpuasa dan berbuka puasa kepada yang berpuasa bersempena 10 Muharam ini. Semoga ia menjadi sebahagian bekalan ‘pahala’ di sisi-Nya, insya’ Allah.

1433 Hijriah...Jadilah Insan Yang Bersyukur

Sunday, November 27, 2011



Pertamanya, marilah kita panjatkan segala puji dan kesyukuran kita ke hadrat Allah kerana masih lagi memelihara kita dengan nikmat Islam dan juga iman serta dengan segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Di samping itu, marilah kita zahirkan juga kesyukuran kerana masih lagi diberi kesempatan untuk mengecapi tahun baru, 1433 Hijriah. Andainya kita diberi masa untuk menghitung nikmat yang telah diberikan, nescaya kita tidak akan terhitung banyaknya. 

Sesungguhnya untuk menjadi insan yang bersyukur adalah bukan sesuatu perkara yang senang dan juga bukan sesuatu perkara yang sukar untuk dilakukan. Tidak hairanlah di dalam al-Quran terutamanya, kita seringkali diingatkan agar sentiasa menjadi insan yang bersyukur dalam segenap aspek kehidupan. Allah SWT tidak pernah jemu-jemu mengingatkan kita agar menjadi insan yang tidak ingkar atau kufur dengan segala nikmat yang diberikan oleh-Nya. Bukankah dengan peringatan yang diberikan oleh Sang Pencipta menggambarkan kepada kita bahawa untuk menjadi insan yang bersyukur bukanlah sesuatu perkara yang senang bukan? Ya, kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah agar usaha kita menjadi lebih senang dan akhirnya mencapai matlamat sebagai insan yang bersyukur di sisi-Nya, mudah-mudahan.

Jika kita merenung kisah-kisah yang dinukilkan di dalam al-Quran, pasti kita akan bertemu dengan banyak kisah manusia serta umat yang tidak bersyukur. Malah yang teruknya ada yang berani mengaku dirinya sebagai tuhan seperti Firaun pada zaman Nabi Musa a.s. Inilah contoh insan yang benar-benar kufur dan melampaui batas, malah sanggup menentang para Nabi atau Rasul yang mahu mengajaknya supaya menjadi insan yang beriman dan bersyukur. Kisah sebegini walaupun telah berlalu, namun pengajarannya janganlah turut sama berlalu. Bawakan bersama dalam kehidupan seharian kita. Kini, masih ada juga insan yang berani mengaku dirinya sebagai ‘rasul’, malah mencipta ajaran tersendiri yang terang-terangan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Juga ada insan yang lebih senang hidupnya tanpa agama atau tidak bertuhan. Mahu segala-galanya ‘bebas’ hanya berpandukan kepada akal yang terbatas sifatnya. Sudah tentu anugerah akal jika tidak dipandu dengan agama yang benar, kita akan sesat. Bukankah akal itu Sang Pencipta yang anugerahkan? Mengapa masih lagi kita mengingkari segala suruhan serta larangan-Nya?
  
Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk mempertingkat kefahaman tentang Islam dan elakkan diri agar tidak terpesong dengan ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Jangan sesekali kita merasakan bahawa ilmu kita sudah cukup banyak dan telah sempurna. Usaha untuk sentiasa memperbaiki diri serta menambah ilmu tentang Islam perlu ada dalam diri kita. Jangan hanya sekadar mengejar ilmu keduniaan semata-mata, ilmu tentang agama kita abaikan pula, malah, memandangnya dengan sebelah mata sahaja. Nauzubillah…

Perlu diakui juga, terkadang kita ‘terpesona’ dengan kefahaman yang kita ada tentang Islam. Kita menganggap kita sudah sempurna tanpa mahu meningkatkan lagi ilmu pengetahuan yang melaut luas sifatnya. Kita lebih nampak tentang kefahaman Islam orang lain salah dan banyak kelompangannya, sedangkan ‘kelompangan’ yang ada pada diri kita, kita sendiri tidak nampak? Usahlah saling menyalahkan di antara satu sama lain apabila wujudnya perbezaan atau percanggahan kefahaman. Carilah titik persamaan. Tanyalah orang yang lebih berilmu tentangnya. Jika ada perbezaan sekalipun, ambillah pendekatan yang berhikmah serta bijaksana dalam menegur atau memperbetul.  

Akhir kata, saya doakan agar kita semua menjadi insan yang sentiasa bersyukur dalam erti kata yang sebenarnya. Sesungguhnya dianugerahkan nikmat mengecapi Tahun Baru 1433 adalah merupakan nikmat yang harus kita syukuri juga. Semoga kesempatan merasai tahun baru ini mampu kita penuhi dengan amalan-amalan yang mampu memberi kebaikan buat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tidak ada gunanya jika peluang untuk berada pada tahun baru ini kita sia-siakan dengan perkara yang tidak bermanfaat dan merugikan.

Ibu Bapalah Yang Mencoraknya

Wednesday, November 16, 2011



Ketika kita dilahirkan di dunia ini, kita diumpamakan seperti bayi yang suci daripada dosa-dosa. Warnanya begitu putih dan tidak terpalit sedikitpun warna-warna lain. Yang mencorak dengan warna lain adalah tangan-tangan ibu bapa kita. Ibu bapalah yang layak untuk mencoraknya. Jika tersilap corak, maka tidak cantiklah hasilnya nanti. Jika corakan kita betul, maka sungguh indah sekali hasil yang bakal kita perolehi.

Namun, saya tertanya juga adakah corakan yang mahu kita lakukan itu bertepatan dengan kehendak agama? Jika tidak selari dengan kehendak agama, sudah pasti corak yang kita sendiri mahukan tidak boleh digunakan sama sekali walaupun pada pandangan mata kasar kita ia amatlah indah. Saya pasti bahawa setiap ibu bapa mahukan yang terbaik buat anaknya, bukan? Semuanya mahukan ‘first class’ untuk anak-anaknya. Sehinggakan ada ibu bapa yang sanggup berbelanja besar dalam mendidik anak-anak mereka. Mereka mahukan tadika yang terbaik, sekolah yang terbaik, pusat tuisyen yang terbaik, universiti yang terbaik dan akhirnya mahukan kehidupan yang terbaik buat anak mereka. Tidak salah untuk mencari tempat pendidikan yang ‘first class’ untuk anak-anak, namun yang penting adalah kita mampu juga memberikan pendidikan agama yang ‘first class’ juga.

 Pernah satu ketika, saya menonton rancangan Sentuhan Qalbu di TV9. Topiknya berkaitan dengan ‘5 Minit Aje’. Topik tersebut amat bagus untuk kita tontoni terutamanya kepada ibu bapa yang mempunyai anak. Satu persoalan yang ditimbulkan ialah “sudahkah kita mengajarkan anak-anak kita tentang agama?” Soalan yang cukup ringkas dan dalam maknanya itu membuatkan hati saya begitu tersentuh. Saya terfikir apakah pengisian yang terbaik untuk diberikan kepada anak kesayangan kita nanti. Takkanlah saya mahu menunggu anak saya membesar dahulu. Kemudian, baru terhegeh-hegeh untuk mengajarnya tentang agama. Takut-takut kita pula yang diajarkan oleh mereka. Ibarat pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.”
 
Rata-rata ibu bapa yang berkerjaya menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak atau paling tidak ada orang lain yang menjaganya ketika ibu bapa mereka keluar berkerja. Itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Sebahagian besarnya mengalami situasi sedemikian, tidak terkecuali saya. Kadang-kadang kita hanya mampu melihat wajah anak kita ketika mereka sudahpun tidur. Itu belum dikira lagi dengan ibu bapa yang berpisah jauh disebabkan kerja yang perlu dilaksanakan, berbulan-bulan lamanya tidak dapat menatap muka anak sendiri. Ada setengah ibu bapa pula hujung minggunya juga berkerja, sudah pasti masa untuk bersua muka dengan anak kesayangan amatlah terhad. Bagi saya, yang paling seronok ialah ibu bapa yang diberikan nikmat untuk melihat anaknya setiap hari. Tentu seronok bukan untuk melihat anak-anak membesar di hadapan mata kita.

Selaku ibu bapa yang mempunyai anak, jangan pula segan-silu untuk belajar dan terus belajar bagi mendapatkan ‘corakan sebenar’ daripada pakar atau mereka yang berpengalaman dalam bidang pendidikan anak-anak. Selain kita menadah kitab, kita harus juga belajar tentang teknik dan skil keibubapaan lebih-lebih lagi kita berada pada zaman yang penuh dengan kecanggihan teknologi. Cabarannya juga cukup canggih. Ibarat kata, jika kita tidak mempunyai apa-apa ilmu tentang agama, bagaimana mungkin kita mampu memberikan ilmu agama kepada anak-anak pula. Selain itu, ibu bapa juga wajib menjaga hubungan dengan Allah terutamanya dengan menjaga solat . Ia merupakan kekuatan sebenar dalam membesarkan anak-anak kita. Jadikanlah al-Quran sebagai bacaan wajib kita setiap hari dan ajarilah anak-anak kita juga dengan al-Quran.

Sebelum saya mengakhiri tulisan ringkas pada kali ini, marilah kita sama-sama merenung petikan kata-kata yang saya ambil daripada rancangan Sentuhan Qalbu yang bertajuk ‘5 Minit Aje’,

“Demi Allah, bukan 5 minit, bukan waktu yang tak cukup, pertanyaannya, sudahkah kita mengajarkan anak-anak kita tentang Allah? Sudahkah kita mendidik anak-anak kita tentang Allah? Walaupun hanya 5 minit. Sudahkah kita duduk bersama mereka mengajarkan mereka tentang Allah? Mengajarkan mereka tentang siapa Nabi Muhammad? Mengajarkan mereka tentang siapa dirinya?”

Semoga ada kebaikan dengan perkongsian tulisan ini. Di sini, saya hanyalah berkongsi rasa dan bukannya berniat untuk mengajar pembaca sekalian kerana masih banyak lagi pelajaran yang wajib saya pelajari untuk mencari ‘corakan’ terbaik bagi mendidik anak-anak ketika masa masih berbaki.