Berkasih Itu Fitrah

Wednesday, February 15, 2012


Saling berkasih-sayang itulah fitrah insani. Sifat terpuji yang ada pada diri seseorang insan. Mereka yang hidup dalam suasana kasih-sayang sudah pasti hidupnya tenang dan tidak gelisah. Manakala mereka yang kurang berkasih-sayang pula, hidupnya dipenuhi dengan kegelisahan, berserabut serta tidak tenang sifatnya.  

Semalam, 14 Februari, rata-rata di kalangan kita mengetahui bahawa tarikh tersebut amat sinonim dengan Hari Kekasih (Valentine Day). Hari untuk memperingati ‘korban kasih’ St. Valentine oleh masyarakat Kristian. Bagi masyarakat Islam, kita ditegah sama sekali untuk menyambutnya kerana ia amat jelas bertentangan dengan akidah serta akhlak seorang Muslim. Banyak dalil-dalil yang menyokong tegahan untuk menyambut perayaan yang disambut oleh agama lain termasuklah Hari Kekasih. Rujuklah Fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang jelas menyatakan bahawa ia merupakan amalan yang tidak digalakkan oleh agama Islam. 

Lagipun untuk berkasih-sayang, kita tidak perlu menunggu pada tarikh tertentu. Lebih-lebih lagi tarikh yang kita tunggu-tunggu itu jelas bertentangan dengan ajaran agama pula. Bila-bila masa sahaja kita boleh berkasih-sayang sebenarnya. Kadang-kadang terfikir juga, mengapa kita sempitkan hari-hari tertentu untuk kita zahirkan rasa kasih-sayang kepada insan lain? Sudah tentu insan untuk kita berkasih-sayang itu adalah mereka yang tidak dilarang oleh agama. Bagi pasangan kekasih yang tidak mempunyai apa-apa ikatan perkahwinan secara sah, anda tidak termasuk di dalam kategori yang dibenarkan. Mungkin anda boleh zahirkan kasih-sayang anda kepada ibu bapa atau ahli keluarga anda.  

Jika diperhatikan, Hari Kekasih ini nampak lebih menarik apabila ada peniaga-peniaga membuat pelbagai tawaran atau promosi tentang produk mereka bersempena dengan Hari Kekasih. Ada juga sesegelintir daripada pihak hotel yang menawarkan pakej khas atau menyediakan parti bersempena Hari Kekasih ini. Kementerian atau jabatan yang berkait rapat dengan agama serta hal-ehwal umat Islam perlu lebih tegas dalam kenyataan serta tindakan agar Fatwa yang dikeluarkan benar-benar dihormati serta dipatuhi oleh umat Islam khususnya. Jika tidak, ia hanya akan dilihat sekadar ‘warta rasmi’ sahaja oleh kita.   

Kekasih Yang Dilupai


Baru-baru ini, tanggal 12 Rabiul Awwal, kita telah menyambut Hari Maulidur Rasul atau Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW. Hari yang memang dinanti-nantikan bagi sesetengah orang dan ada juga sesetengahnya memang melupai hari tersebut. Lupa sebab memang kita terlupa atau lupa memang sebab kita tidak tahu. Dua perkara yang amat berbeza. Pelbagai sambutan atau program diadakan bagi menyambut Hari Kekasih Allah itu. Adanya perarakan, penganugerahan tokoh, ceramah, forum dan pelbagai rancangan televisyen bersempena dengan hari tersebut. Sudah pasti kita tidak mampu ‘melupai’ hari tersebut kerana ia sudah diwartakan sebagai cuti umum di negara kita. 

Biarlah Hari Kekasih Allah itu tidak terhenti untuk disambut oleh kita. Terhenti pada tarikhnya dilahirkan. Terhenti setelah kita selesai berarak. Terhenti setelah kita habis bercuti. Terhenti setelah kita mengetahui siapakah Tokoh Maulidur Rasul. Janganlah sesekali begitu, sambutlah setiap masa dan ketika. Jika mahu berhenti untuk mengingati sekalipun, biarlah ia terhenti setelah nyawa kita berhenti bernafas.

Ingatan pada minda haruslah diterjemah kepada tindakan melalui perbuatan. Mengingati tanpa melakukan apa yang Nabi suruh dan meninggalkan apa yang Nabi larang adalah bukan cara sebenar kita menzahirkan rasa kasih-sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW. Jika kita benar-benar mengasihinya, ikutilah sunnah Baginda. Jangan sesekali mendurhakai Baginda. Paling tidak, berselawatlah ke atas Baginda. Baginda ialah kekasih sebenar dalam kehidupan kita dan merupakan insan yang dikasihi Allah. Mengasihi Baginda bererti kita juga turut mengasihi Allah. Teringat kepada petua Menteri Besar Kelantan dalam melahirkan keluarga mawaddah dengan mengamalkan sekurang-kurangnya berselawat 41 kali ke atas Baginda Muhammad SAW.  

Sebarkanlah Kasih-Sayang 

Hidup ini tidak indah tanpa berkasih-sayang. Diri sendiri, keluarga, masyarakat serta negara yang hilangnya rasa kasih-sayang akan terus berantakan. Jika rasa kasih-sayang tidak terserlah, sudah pasti sikap kezaliman akan mendominasi dalam kehidupan kita. Disebabkan kita mempunyai kuasa, pengaruh, kedudukan atau wang, kita mampu menindas orang bawahan kita, kita mampu menganiayai orang di sekeliling kita, kita mampu berbalah dengan sanak-saudara kita. Sebenarnya kita silap. Silap kerana kita tidak menggunakan segala apa yang ada untuk berkasih-sayang sesama insan. Malah, untuk alam ini juga.  

Jika mahu melihat budaya saling berkasih-sayang wujud, jangan sekadar kita berimpian sahaja. Usahalah untuk merealisasikan impian kita. Jika kita tidak memulakan dengan diri kita sendiri, apakah kita harap ia akan berlaku untuk keluarga kita juga, untuk masyarakat, untuk negara, malah untuk alam ini juga? Sudah pasti ia amat mustahil untuk dicapai. Mulakanlah dengan diri kita terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain berkasih-sayang terhadap kita.  

Ayuh, berkasih-sayanglah setiap hari dan bukannya pada hari-hari tertentu sahaja! 

0 comments:

Post a Comment