Taman Budi Dan Ilmu

Sunday, April 15, 2012

 

Lewat tengahari tadi, saya berkesempatan singgah di UIA Kampus Gombak. Tempat yang selalu dikenang-kenang. Banyak kisah tercoret di sini. Suka, duka semuanya ada. 

Menjejaki ke Taman Budi dan Ilmu ini menggamit sedikit-sebanyak kenangan dan memori lalu. Memori yang sudah lama berlalu tidak mudah untuk dilupakan. Apatah lagi, tuan empunya diri berada pada tempat segala memori itu berlaku. Ia seakan-akan terpahat kukuh pada ingatan saya.

Melihat pada bangunan yang ada, tiada banyak bezanya. Cuma dicat baharu sahaja. Yang lain, saya tidak perasan sangat. Maklumlah, bertamu tidaklah begitu lama. Tidak sempat untuk memerhati banyak perkara juga. Yang sempat, hanyalah sedikit sahaja.

Saya sempat minum-minum di Kafe Mahallah Ali. Suasananya masih seperti dahulu. Pelbagai jenis makanan yang dijual. Yang paling saya tidak boleh lupai ialah makanan Arab. Ia menjadi pilihan saya pada suatu ketika dahulu. Kelihatan juga pekerja di kafe masih lagi didominasi oleh warga Indonesia. Mereka menyantuni pelanggan dengan baik sekali. Rata-rata di kalangan mereka sungguh rajin berkerja.

Selepas minum-minum bersama dengan junior sekolah yang saya kenali, saya meninjau-ninjau kawasan sekitar tempat pelajar menginap. Teringat akan bilik teman-teman sepengajian yang pernah sama-sama belajar di sini pada suatu masa dahulu. Kini, bilik-bilik tersebut telahpun dihuni oleh pelajar-pelajar lain. Mereka silih-berganti. Tapi, bilik masih berada di situ juga. Ibarat kata, bilik hanyalah sebagai transit sementara dalam mencapai cita-cita sebagai pelajar universiti. 

Ketika masa masih berbaki, saya sempat menziarahi bilik junior saya di Mahallah Osman. Sempat juga berhemat diri dan melelapkan mata. Terasa nikmatnya suasana berada di bilik pelajar universiti ini. Ia amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan keadaan saya pada hari ini. Dahulu, saya sebagai seorang pelajar sepenuh masa. Kini, saya bukan lagi sebagai pelajar ketika bertamu di bilik ini. Ia adalah perubahan 360 darjah pada diri. 

Bilik pelajar yang menjadi saksi sebagai tempat saya belajar, berehat, bersosial dengan rakan-rakan sebilik dan melakukan pelbagai aktiviti, sukar untuk saya lupakan. Hampir 6 tahun berulang-alik dari bilik ini ke tempat kuliah demi mencapai cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah, sudah tentu ia amatlah mustahil untuk dilupakan. Sesungguhnya, ia bukanlah perjalanan yang mudah untuk saya. Malah, ia merupakan perjalanan cita-cita yang penuh berliku yang mesti saya sempurnakan. Bukan sekadar cita-cita diri sendiri, malah cita-cita ibu bapa yang mahu melihat anaknya bergraduasi pada suatu hari nanti.

Bilik inilah yang menjadi saksi cita-cita besar UIA melalui motonya 'Garden of Knowlede and Virtue' tercapai untuk diri saya. Walalupun tidak banyak yang diperolehi, paling tidak, ia meninggalkan sedikit kesan pada diri saya untuk dibawa keluar apabila bergraduasi nanti. Jika sekadar ilmu sahaja mahu dituai di sini tanpa menuai juga nilai positif, nilai kebaikan, nilai peradaban, sudah tentu moto yang amat sinonim dengan UIA ini tidak mencapai hasratnya.

Jika diizinkan, saya mahu lagi menjejaki kaki ke Taman Budi Dan Ilmu ini pada masa akan datang. Ia adalah taman yang tidak boleh saya lupakan...

1 comments:

UmmuNuha said...

sangat suka...banayk kenangan saya di sini...

Post a Comment