“Lempeng Seorang Abah”

Thursday, February 28, 2013


Memasak bukanlah kesukaan saya sejak kecil. Jauh sama sekali untuk menjadi hobi, malah kerjaya. Saya tahu bahawa ada orang suka memasak dari kecil sehinggalah besar.

Seorang jiran baik pernah bercerita perihal anaknya yang suka menggoreng telur serta memasak nasi sendiri. Sehinggalah pandai menggoreng nasi sewaktu usia belasan tahun. Mengamati ceritanya, saya fahami bahawa aktiviti memasak boleh berlaku pada usia muda. Bahkan, ada orang yang tidak tahu memasak nasi walaupun umurnya sudah meningkat dewasa.

Menjadi kelaziman bahawa aktiviti memasak sering dikaitkan dengan tugasan seorang wanita, sama ada sebagai ibu, sebagai isteri ataupun adik-beradik perempuan kita. Lazimnya begitu. Jika ada di kalangan lelaki yang mampu memasak dengan baik, jumlahnya tidak besar. Ia berlaku di luar kelaziman.

Kebetulan pula hari ini anak kesayangan memohon sesuatu.

“Abah…Abah boleh goreng lempeng macam Mama goreng?” 

Kanak-kanak kecil itu meminta sesuatu yang pernah dimakannya. Malah, beliau sendiri pernah aktif ‘menyibuk’ sewaktu ibunya mahu menyediakan lempeng. Bermula daripada penyediaan bahan-bahan sehinggalah mengacau di dalam bekas, kesibukannya sukar dibendung. 

“Abah…Jangan lupa masukkan tepung, telur dan air nanti. Yid tengok Mama buat lempeng macam itu…”

Saya memang tidak pernah memasak lempeng terpaksa membuka buku resipi. Dalam hati berbisik halus, “Mahu masak lempeng pun kena buka buku. Inilah orang lelaki.”

Jujur saya katakan, bahan-bahan yang disebut oleh kanak-kanak kecil itu ada dalam senarai bahan-bahan yang dibaca melalui buku resepi. Memori kanak-kanak kecil itu cukup tajam dan mampu mengingat dengan baik bahan-bahan bagi penyediaan lempeng. Walaupun ‘menyibuk’, matanya memerhati dan akalnya menangkap kemas senaraian bahan.

“Abah…Abah tahu tak nak masak lempeng macam Mama? Yid tahu…Tapi…Tapi…Yid tak pandai memasak. Takut terkena api!” Sekali lagi kanak-kanak kecil itu bertanyakan soalan sama. 

“Nanti abah masak lempeng untuk Yid. Yid tunggu, OK.”

“Okey Abah…”

Selesai sahaja memasak lempeng, saya hidangkan untuknya. Perkara pertama yang saya dengar ialah komen kanak-kanak kecil itu yang membandingkan bahawa lempeng yang saya masak itu tidak sesedap lempeng ibunya masak.

Ya. Hakikat kesedapan ada bezanya walaupun tidak ketara. Lempeng yang saya masak ada banyak kekurangan. Biasalah, masakan kali pertama.

Namun, di sebalik masakan lempeng melalui air tangan sendiri, saya belajar sesuatu yang amat berharga iaitu memasak bukanlah kerja yang sukar. Malah, memasak merupakan kerja yang mulia. 

Jadi, hargailah ibu, isteri, atau sesiapa sahaja yang mampu berada di dapur untuk menyediakan masakan untuk santapan keluarga. Walau hanya memasak ‘lempeng’ yang tidak sedap pada hari ini, ia bukanlah penghalang besar untuk saya terus berada di dapur.

"Ibu...Bila kita nak ke syurga?"

Tuesday, February 19, 2013

Entri pada kali ini ditulis berdasarkan kepada status yang pernah saya kongsi di Facebook pada hari Ahad bersamaan dengan 17 Februari 2013. Ia cuma rekod serta sedikit tambahan di laman blog.

Bulan untuk meningkatkan rasa cinta serta mahabbah kepada Nabi Muhammad SAW sudah seminggu berlalu. Bulan Rabiul Awal 1434H, telah kita tinggalkan. Bulan tetap pergi. Masa pun begitu. Kita tidak boleh mengembalikan bulan atau masa yang telah berlalu untuk pada saat ini.

Yang kita boleh bawa ialah 'rasa cinta', 'mahabbah', 'kasih sayang' serta pelbagai 'sunnah' tinggalan Baginda untuk diikuti. Rasa serta perasaan bersama dengan Rasulullah itulah yang kita boleh bawa bersama dalam setiap sisi kehidupan.

Berikut adalah status yang pernah dikongsikan sebelum daripada ini di Facebook. Ia merupakan tatapan khas untuk pembaca blog yang saya kasihi sekalian. Ia kisah kecil seorang anak yang mahu berjumpa dengan Rasulullah. Berikut adalah kisahnya:-

"Si ibu bercerita kepada seorang ustaz di konti radio tentang anaknya berumur 6 tahun yang suka membawa buku 'Bibliografi Nabi Muhammad' ke mana sahaja dia pergi. Tak kira tempat, ke sekolah, ke tempat tidur, tiap-tiap hari dia bawa buku itu.

Ibu bertanya kepada anaknya, "Kenapa sering bawa buku itu?"

Si anak menjawab, "Bu...Saya mahu berjumpa dan hantar buku ini kepada Rasulullah di syurga. Bu...Bila kita nak ke syurga? Bu...Bila kita nak ke syurga?"

Allahu Akbar...Cerita seorang ibu yang saya dengar melalui sebuah stesen radio cukup menyentuh perasaan.

Jika anak itu mahu jumpa Rasulullah di syurga, selaku ibu bapa pasti kita berkali ganda mahu berjumpa dengan Baginda."

Didoakan kita memperoleh manfaat serta kebaikan daripada kisah yang dikongsikan ini. Biarlah rasa cinta terhadap Rasulullah sentiasa bersemadi serta bersama-sama dengan kita. Berazamlah untuk mengikuti serta mengamalkan sunnah Baginda walaupun dengan sekecil-kecil perkara. 

"Universiti Mana?"

Tuesday, February 5, 2013

Semalam saya ada memaklumkan bahawa saya telah mendaftar sebagai pelajar universiti. Maka, ada yang bertanya, "universiti manakah?" Pertanyaan diterima melalui ruangan komen serta langsung ke peti masuk Facebook saya. Malah, ada yang mengucapkan tahniah serta menandakan LIKE.

Masya Allah. Pengumuman kecil mendapat perhatian besar. Begitulah alam maya ini berfungsi khususnya medium Facebook.

Bagi menjernihkan keadaan, menghilangkan kekusutan serta rasa tertanya-tanya dalam diri sahabat maya yang saya kasihi kerana Allah, saya tuliskan status ini.

SEBENARNYA, universiti yang ditanya itu bukanlah universiti yang ada secara fizikal di dunia ini. Sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Universiti yang saya ikuti merupakan universiti maya dan sesiapa sahaja boleh menjadi pelajarnya.

MAKA, menjadi pelajar universiti rupa-rupanya tidak sukar. Tidak perlu berbelanja besar. Asalkan mempunyai niat suci iaitu mahu terus menghampiri serta menjadi hamba-Nya yang sujud. Tujuan belajar perlu jelas.

Di mana-mana, waktu mana serta sesiapa sahaja boleh menjadi pelajar universiti. Sama ada secara berdaftar ataupun tidak, secara rasmi ataupun tidak, berbayar ataupun tidak, itu bukan persoalan besar.

Maka benarlah kata-kata nabi yang membawa maksud, "Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad." Itulah menjadi asbab mengapa saya membuat keputusan untuk sambung belajar di universiti maya semalam. :)

Doa Si Anak Kecil

Sunday, February 3, 2013

Hari ini saya tunaikan janji kanak-kanak kecil ini untuk ke kubur arwah ibu mertua. Saya ruangkan masa rehat seketika untuk membawanya ke tanah perkuburan.

Dalam seminggu, ada sahaja pertanyaan darinya, "bila abah nak bawa Yid jumpa tok?"

Pertanyaan daripada seorang kanak-kanak itu sebenarnya merupakan pertanyaan kepada diri sendiri juga. Ia ada kaitan langsung. Allahu rabbi...

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke sana, saya ajari satu doa untuknya. Pesan saya berkali-kali, "sampai di kubur nanti, baca doa ini ya, 'Allahummaghfirlaha war hamha'". Saya tidak berniat untuk mengajar doa yang panjang. Cukuplah dia boleh menyebut doa pendek terlebih dahulu.

"Okey abah!"

Tiba sahaja di tanah perkuburan, saya mula bertafakur serta berdoa kepada arwah ibu mertua. Saya lupa seketika terhadap pergerakan anak kecil itu.

"Yid, jom balik...Abah nak masuk pejabat pula ni." Minta saya perlahan.

"Eh..eh..Tadi abah suruh Yid doa untuk 'tok' kan? Abah lupa ke?"


Allahu rabbi. Benar. Saya memang terlupa. Pertanyaannya membuatkan saya teringat doa yang diajar di dalam kereta beberapa minit yang lalu.

"Oh..Lupa. Cepat baca doa untuk 'tok'," pinta saya segera. Saya tahu dia mahu berdoa untuk arwah 'tok'nya.

"Allahu...Allahu...Warham haa..." Sambil tangan kecilnya mengaminkan apa yang dibaca. Saya turut serta mengaminkan doanya.

Kesannya cukup terasa pada hati apabila anak ini dapat mendoakan untuk ibu serta ayahnya kelak. 
Saatnya pasti tiba.

Jawab Salam

Saturday, February 2, 2013

Saya buka pintu rumah dan memberi salam, "Assalamualaikum."

Kelihatan anak saya sudah tercegat di hadapan pintu. Barangkali tidak sabar menyambut kepulangan ayahnya.

"Abah balik...Abah balik..." Teriak anak kecil itu keriangan. Lagaknya seperti Ahmad Albab menyambut kelahiran anaknya.

Agak pelik. Saya perasan ada sesuatu tidak kena. Lantas saya bertanyakan anak saya perlahan-lahan, "kenapa tak jawab salam tadi?"

"Erm...erm...Yid lupa. Yid tak tahu nak jawab." Jawabnya teragak-agak.

"Cuba jawab dahulu. Abah nak dengar."
Mohon saya sambil memujuk-mujuk.

"Erm...erm...Waalaikum Assalamu...Assalamu...Yid tak tahu abah."
Anak itu cuba menjawab dan akhirnya menyerah kalah setelah berhempas pulas mencuba.

"Yid jawab tadi dah betul. Dengar baik-baik...Waalaikumusalam."
Saya memuji usahanya tadi sambil menyebut jawapan yang betul serta pendek.

"Nanti Yid jawab esoklah...Bye!" Sambil berlari menuju ke ruang permainannya.

Sewaktu anak kecil itu berlari meninggalkan saya, saya terfikir yang sebenarnya saya tidak begitu bersungguh-sungguh mengajarnya untuk menjawab salam. Jika mengajar, saya tidak menumpukan 100%.

Allahu rabbi...
Perkara penting jika tidak diambil serius, kesannya cukup besar dalam tumbesaran anak-anak. Apatah lagi ia melibatkan soal keagamaan serta akhlak sebagai seorang Muslim. Kesannya bukan setakat anak kecil itu, tetapi tempiasnya lebih dirasai oleh ibu bapa kepada anak kecil itu.

Astaghfirullah. Aku bermohon keampunan-Mu.