Semalam (29 Ogos 2013), saya sempat menziarahi
junior sekolah menengah yang kehilangan ayah tercinta buat selama-lamanya. Ramai
juga kenalan terdekat hadir dan mengucapkan takziah. Di samping itu, saya juga
sempat bersolat jenazah walaupun tersesat seketika dalam perjalanan menuju ke
rumah junior di Tanah Merah.
“Innalillahi wainna ilaihi roojiuun…” - Sesungguhnya daripada DIA kita
datang dan kepada-NYA kita pergi.
Begitulah episod sebuah kehidupan insan. Hakikatnya,
ada hidup dan mati. Sesiapa pun mempercayai hakikat ini hatta orang bukan
Islam.
Teringat memori semasa menziarahi arwah di
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian beberapa bulan
dahulu, sifat peramahnya cukup saya ingati. Banyak cerita serta nasihat berguna
beliau kongsikan.
Dari raut wajahnya, saya lihat beliau begitu ‘tabah’
dan ‘sabar’ menghadapi ujian kanser. Melalui pemerhatian luaran pada
waktu itu, itulah yang dapat saya nyatakan. Pasti ahli keluarga beliau lebih
merasai serta memahami akan ujian Allah ini. Berat mata memandang, berat lagi
bahu memikul.
Allahu Rabbi… Allah Maha Mengetahui ke atas
segala sesuatu. Setiap yang berlaku, tidak ada yang sia-sia. Ia juga merupakan
pelajaran kehidupan buat diri saya. Apakah saya mahu berfikir dan mengambil
pelajaran ke atas setiap kejadian yang berlaku khususnya - kematian.
Doa saya agar roh arwah ditempatkan di kalangan
mereka yang soleh serta beriman di sisi-Nya. Moga Allah mengampunkan segala dosa
serta merahmati arwah di alam sana.
Kelak, kita juga pasti akan ke sana!
0 comments:
Post a Comment