Bersama Ustaz Zul Ramli

Sunday, February 16, 2014



Alhamdulillah, beberapa hari lepas Allah beri keizinan kepada saya bersua muka dengan penulis buku 'R&R Di Lebuhraya Kehidupan' iaitu Ustaz Zul Ramli M.Razali. Saya mengenali sosok tubuh insan ini bukanlah melalui kaca televisyen atau corong radio Ikim pada mulanya, tetapi melalui hasil penulisan beliau yang telah saya miliki sejak tahun 2011 lagi.

Sungguh, tiada nikmat untuk didustakan apabila berpeluang mengutip mutiara hikmah sepanjang dua jam sesi kuliah yang disampaikan oleh beliau di sebuah masjid. 

Usai sesi kuliah, saya mengambil kesempatan untuk bersalaman dan bersua muka. Takdir Allah, saya dapat bersua walau tidak lama. Sejujurnya, dapat berjabat tangan dengan ustaz pun sudah cukup bagi saya. Hajat untuk bergambar tiada pada awalnya sehinggalah ada seorang pemuda mencuit saya dari belakang dan memohon sesuatu daripada saya.

"Bang... Boleh ambil gambar saya dengan ustaz tak?" 

"Boleh..." Fikiran saya tajam mencari ruang agar pemuda itu pula mengambil gambar saya dengan ustaz. Itupun jika mulut saya tidak terkunci rapat.

Klik... Klik... Klik... Beberapa keping gambar pemuda itu saya rakamkan melalui telefon pintar yang dibawa oleh beliau. "Terima kasih bang," sambil melihat gambar yang dirakam oleh saya pada skrin telefonnya.

"Erm...Boleh ambilkan gambar saya dengan ustaz tak?" sambil tersengih malu menyampaikan hasrat hati.

"Boleh...Boleh..."

Klik...Klik...Klik... Giliran gambar saya bersama ustaz pula dirakamkan oleh pemuda itu. Syukur...Terasa damai dan hati berbunga-bunga apabila melihat gambar saya berjaya dirakamkan bersama tokoh yang sentiasa muncul di kaca televisyen.

Saat masih bersama dengan ustaz, saya hulurkan buku yang dibawa untuk ustaz turunkan autograf. Pen yang saya bawa, saya hulurkan terus. Saya melihat beliau serius mencatatkan sesuatu.

"Erm...Nama apa ya?" matanya memandang tepat ke arah saya.

"Mohd Firdaus..." lafaz saya perlahan serta penuh sopan.

"Erm... Buku 'U-Turn' dah ada?" tanya ustaz lagi kepada saya.

Jawab saya, "Ada ustaz..." 

Selepas itu giliran saya pula bertanyakan soalan kepada ustaz, "Erm...Bila pula buku baharu mahu keluar?" 

Sambil ketawa kecil beliau memberitahu saya, "Dalam proses...Insya-Allah!"

Ya. 'Insya-Allah'...
Itulah jawapan yang melegakan hati saya setelah mendengarnya...

Kalimah 'Insya-Allah' jugalah yang menyebabkan saya dapat bertemu dengan ustaz. Jika diikutkan logik akal saya, sudah tentu ia tampak mustahil dan sukar. 

Ya, ia bukanlah sebutan biasa-biasa. Saya teramat yakin dengan-NYA! Allahu Akbar...

0 comments:

Post a Comment