Senyumlah 2

Thursday, March 27, 2014

Alhamdulillah... Buku ini saya cari sejak akhir tahun lepas lagi. Kebanyakkan kedai buku di sekitar Kota Bharu tiada stok buku ini.

Bulan lepas saya ada bertanyakan penjual di Kedai Buku Jaffar Rawas, itu pun setelah mendapat tahu melalui status Facebook seorang ustaz yang membelinya di kedai buku tersebut. Keesokan hari, saya terus ke kedai buku yang dinyatakan, malangnya jawapan yang sama diberikan kepada saya, "Dah habis stok!"

Hari ini, buku yang dicari-cari selama ini sudah berada dalam milikan saya. Yang hebatnya, buku ini saya perolehi di sebuah kedai kaset serta cd agama, bukan kedai buku kebiasaan. Buku itu dipamerkan di atas meja plastik kecil yang warnanya telah lusuh yang diletak di hadapan kedainya berserta dengan beberapa tajuk buku lain. Allahu Akbar... 
Kelihatan beberapa naskhah buku ini masih belum terusik. Ia masih elok dalam bungkusan plastik. Penjual yang menjualnya berkali-kali memberitahu, "Buku ini bagus. Dah ramai orang beli!"

Masih teringat lagi kata-kata penjual buku itu kepada saya tatkala saya mengeluh panjang memberitahu bahawa betapa sukarnya untuk mendapatkan buku 'Senyumlah 2' ini kepada beliau.

Sambil tersenyum beliau memberitahu, "Buku ini sudah lama berada di sini. Siapa kata susah nak dapat? Yang kata susah tu, mungkin mereka belum direzekikan lagi oleh Allah untuk memilikinya."

Mendalam maknanya kata-kata beliau buat diri saya. 
Benar, 'TIDAK SEMUA YANG KITA CARI, KITA DAPAT'. Falsafah yang saya sendiri cipta, barangkali saya seorang juga yang faham. Ia kena dengan situasi serta apa yang berlaku sepanjang mencari naskah ini.
Saya cukup yakin dan percaya, "Untuk mendapatkan apa yang dicari, mulakan dengan mencari. Jika tidak, pasti kita tidak mendapat apa-apa." 

Selebih dan selayaknya, pasti doa dan tawakkal menjadi azimat sewaktu melakukan  seseutu pencarian. Insya-Allah, Allah permudahkan.

0 comments:

Post a Comment