Ujian Kefahaman

Saturday, March 15, 2014

 (sumber Google)

Jumaat lepas, saya berpeluang berdiskusi dengan beberapa orang sahabat tentang tajuk sebuah buku iaitu 'Sekitar Masalah Kefahaman' yang saya fikir ia amat baik untuk diperhalusi agar dapat dimanfaatkan selepas diskusi.

Pertamanya, saya mengajak untuk berfikir tentang perkataan 'masalah' itu sendiri. Adakah perkataan 'masalah' itu secocok dengan hasil yang bakal dikaut selepas diskusi? Atau diri hanya membilang serta menghitung segala bagai masalah yang ada dan akhirnya ia tetap tinggal sebagai masalah? Atau bagaimana?

Dari sudut psikologi, berbincang tentang 'masalah' yang ada tidak mendorong sesuatu penyelesaian. Ia hanya menyebabkan diri semakin mundur ke belakang dan yang paling parah, ia mengakibatkan diri tidak berbuat apa-apa. 

Lalu saya cadangkan agar perkataan 'masalah' itu ditukar kepada perkataan yang boleh menyebabkan akal memberi respon positif dan mempunyai solusi. Sebagai contoh, 'cabaran', 'ujian' atau lain-lain perkataan yang difikirkan sesuai. Pun begitu, saya tidak menolak seratus peratus apa yang mahu disampaikan oleh penulis buku yang menjadi tajuk perbincangan. 

Bagi saya mudah, mengetahui tentang masalah itu penting kerana ia merupakan asas kepada sesuatu perkara itu terjadi. Namun, bertindak ke atas masalah yang diketahui itu jauh lebih penting kerana ia menyebabkan akal kita sentiasa berputar mencari penyelesaian.

Saya tanyakan kepada salah seorang sahabat, "Sebelum memasuki tahun baharu 2014, biasanya kita akan membuat muhasabah atau 'post-mortem' agar permasalahan yang berlaku sepanjang tahun 2013 tidak berulang lagi pada tahun 2014. Di sana, kita berbincang segala bagai masalah yang ada. Sekecil-kecil masalah, sehinggalah sebesar-sebesar masalah. Tidak kira dalam aspek mana sekalipun."

Saya terus menambah, "Sehingga pertengahan bulan Mac 2014, apakah yang telah kita lakukan untuk menangani masalah-masalah tersebut? Mungkin ada yang telah melakukan sesuatu dan mungkin juga masih tidak berbuat apa-apa. Ia banyak bergantung pada cara seseorang itu berfikir."

Lalu saya kaitan dengan kata-kata seorang tokoh pemimpin bertaraf dunia yang lebih kurang begini maksudnya, "Manusia yang bercakap berkenaan 'why' (mengapa) menyebabkan diri mundur jauh ke belakang. Ia akan menyebabkan diri tidak berbuat apa-apa berbanding kita bercakap berkenaan 'how' (bagaimana). Melalui 'how', manusia akan berfikir ke hadapan dan mencari penyelesaian."

Sejujurnya, saya bersetuju dengan kenyataan ini. 

Apabila 'masalah' itu dilihat sebagai 'ujian' atau 'cabaran' maka cara berfikir kita sedikit sebanyak akan berubah. Masalah itu tetap penting dan besar untuk diamati serta diteliti, tetapi yang mendorong akal untuk mencari solusi atau bertindak ialah cara kita melihat masalah itu sendiri. Salah satu cara yang saya sarankan adalah untuk melihatnya melalui 'HOW'.

Apa yang diisi?

Selain itu, saya turut menekankan bahawa hampir kebanyakkan masalah kefahaman berlaku disebabkan oleh hati. Ia bermula daripada hati. Hatilah yang menentukan sama ada cara berfikir seseorang itu baik atau tidak. Baik di sini, sudah tentu ia menuruti apa yang Allah serta Nabi SAW ajarkan. 

Maka, mengisi mangkuk fikiran perlu bermula daripada hati yang bersih. Apabila hati bersih, maka usaha untuk mengisi dengan pemahaman yang benar menjadi mudah. Terkadang masalah kefahaman lahir apabila hati sudah ada penyakit atau rosak. Sebab itulah orang yang tidak waras akalnya tidak boleh menjadi sandaran dalam hidup. Saya turut memberi contoh bagaimana ulama mazhab mengambil sesuatu hadis. Mereka begitu mengambil berat soal akhlak perawi hadis. Salah satu tanda perawi itu berakhlak baik ialah beliau beramal dengan apa yang disampaikan. Mereka amat memelihara soal itu.

Ia sebahagian kupasan mudah terhadap mukadimmah tajuk 'Sekitar Masalahan Kefahaman' bersama dengan sahabat-sahabat pada Jumaat lepas. Moga ada kebaikan hasil catatan ini, Insya-Allah.

Insya-Allah bersambung...

0 comments:

Post a Comment