Kanak-Kanak Itu ...

Friday, May 9, 2014

Ini kisah semalam.. Semasa menunggu bilal melaungkan iqamat untuk bersolat Isya' di sebuah surau, saya sempat menegur seorang kanak-kanak yang kebetulan berada di sebelah saya.

Saya tegur penuh santun, "Tadi adik belajar al-Quran ya?"

"Ya, bang."


Soalan itu dikemukan bersebab. Sebelum itu, saya perhatikan beliau bersama-sama dengan rakannya yang lain berada dalam satu halaqah (bulatan) al-Quran. Ada lebih kurang empat lima orang juga.

"Memang tiap-tiap malam belajar al-Quran?"

"Tak juga. Ada jadual ditetapkan."

"Oh, baguslah. Abang suka orang belajar al-Quran. Erm, nama adik apa ya?"


"Abdullah ..."
perlahan sahaja suaranya memberitahu saya. Saya yang kurang jelas dengan jawapan tersebut meminta agar beliau mengulangi sekali lagi.

"Nama apa? Abang tak dengar tadi," pinta saya.

"Abdullah."

"Umur berapa tahun?"

"9 tahun, bang."

"Oh, maknanya sekolah darjah tiga lah ya?"


"Ya. Tapi saya tak bersekolah macam orang lain bersekolah."

"Kenapa?"

"Saya dihantar ke sini oleh ibu bapa untuk belajar agama. Saya tidak tahu mengapa mereka hantar saya ke sini..."


Bicara kanak-kanak ini terhenti. Mungkin menyembunyikan sesuatu daripada saya. Saya pula tidak bercadang mengorek rahsia mengapa beliau memberi jawapan sebegitu.

Pasti ada sebab mengapa beliau dihantar untuk belajar agama di sebuah tempat yang dikendalikan oleh sebuah NGO yang sudah tidak asing di negara ini.

"Allahu Akbar ... Allahu Akbar ..." Kedengaran suara bilal memulakan iqamat. Tanda bagi kami berdua agar sama-sama bangun daripada tempat duduk untuk bersolat Isya.

Sebelum itu, saya sempat bertanyakan soalan terakhir buat beliau, "Seronok tak bersekolah di sini?"

"Seronok ... Tapi saya tak boleh tengok muka ibu bapa saya sepertimana orang lain tengok. Kena tinggal di asrama."

Allahu rabbi ... Terkedu dengan jawapan akhir beliau. Seorang kanak-kanak berumur 9 tahun dan sudah pun 'berpisah' kasih-sayang membuatkan saya berfikir sedalam-dalamnya erti syukur. Dipertemu dengan kanak-kanak ini merupakan catatan takdir Allah buat diri saya.

Ia begitu ..  Pasti ada hikmah di sebalik takdir.

0 comments:

Post a Comment