Kisah Tiga Beradik

Wednesday, July 23, 2014

Si ayah memerhatikan tiga orang anak kesayangannya begitu tekun membaca. Lalu si ayah pun menegur.

Ayah : "Baca apa tu Alif?"
Alif : "Baca status Facebook. Sekarang ni orang duk cerita pasal MH17, bla bla..."

Ayah : "Baca apa tu Azami?"
Azami : "Baca suratkhabar ayah, banyak betul berita rompakan, kemalangan, bla.. bla..."

Ayah : "Baca apa tu Arif?"
Arif : "Tadi baca al-Quran sikit. Sekarang ni saje tengok makna ayat al-Quran. Banyak betul kisah-kisah serta pengajaran yang terdapat dalam kitab al-Quran."

Tiba-tiba, si ayah ditegur oleh anaknya yang bernama Arif.

"Kenapa ayah tanya soalan itu?"

Sambil menitiskan air mata, ayahnya memberitahu, "Ayah sebenarnya tidak pandai membaca. Buta huruf. Tapi, apabila ayah tahu ada salah seorang daripada anak ayah yang membaca al-Quran dan cuba memahami isi kandungannya, ayah cukup gembira. Gembira kerana ia bakal menjadi amal jariah buat ayah kelak."

Selepas itu, mereka berdua berpelukan. Linangan air mata mereka terus mengalir laju.

Ajakan ber'WhatsApp'

Saturday, July 19, 2014

(sumber Google)

Sejak akhir-akhir ini, beberapa orang sahabat terdekat serta kenalan maya begitu bersungguh-sungguh mengajak saya agak membuka akaun Whatsapp.

Allah ya Allah.. Kata mereka, ia memudahkan komunikasi serta perbincangan. Kata mereka lagi, ia lebih mudah, cepat serta efektif.

Ajakan mereka saya tidak tolak bulat-bulat. Pada satu sudut, ia barangkali baik. Pada satu sudut lain, ia barangkali tidak baik.

Sifat kebarangkalian hadir kerana saya sendiri tidak pernah menggunakannya. Namun, kebarangkalian saya itu bersebab dan berasas sehinggalah ada beberapa kes yang terpencil muncul untuk saya terus berfikir sehabis baik.

Keluh seorang kenalan yang aktif berwhatsapp:-

"Kali ini, sudah dua kali telefon aku problem. Mesej Whatsapp yang terlalu banyak menyebabkan telefon aku jammed terus."

Kes sebegitu mungkin kes terpencil. Tetapi yang terpencil itulah yang menyebabkan saya terus berfikir panjang.

Kepada tuan serta cikpuan yang baik hati dan sudi mengajak saya menggunakan aplikasi Whatsapp, mohon bersabar ya! Banyakkan berdoa untuk saya agar Allah SWT membuka pintu hati serta dipermudahkan jawapan.

Kata guru saya, "Pada bulan Ramadhan, terlalu banyak waktu mustajab untuk berdoa. Maka manfaatkan sebaiknya sebelum peluang yang diberikan berlalu begitu sahaja."

Rahsia kehebatan pejuang Al Qassam

Tuesday, July 15, 2014

Media Israel Yedioth Ahronoth menyebut;

Hamas sudah mampu memasuki Israel melalui darat, laut dan udara, dan ia adalah satu ancaman besar buat negara itu.

Pejuang Islam menjadi hebat apabila mereka mencontohi para pejuang Islam pada zaman Nabi Muhamad saw dan Khalifah al Rasyidin yang berjaya menundukkan Rom dan Parsi, mencontohi para pejuang Islam pada zaman Salahuddin al Ayubi yang berjaya menakluk Jerusalem dan mencontohi para pejuang Sultan Al Fateh yang berjaya menakluk Kota Konstantinopel.

Al Qassam sayap HAMAS yang paling digeruni Israel kerana mereka mampu membuat serangan balas yang mengejutkan Israel. Rahsia kehebatan pejuang Al Qassam kerana syarat untuk menyertai kumpulan itu mesti mempunyai ciri-ciri seperti;

1 - Mendapat izin dari ibu bapa untuk syahid. (Ibu bapa sudah merelakan anak mereka syahid)

2 - Mendapat izin dari ketua masjid di tempat tinggalnya dengan pengesahan individu itu tidak meninggalkan solat subuh berjemaah selama tiga bulan. (mereka yang menyertai Al Qassam mesti solat berjemaah)

3 - Tidak merokok dan tidak melakukan maksiat.

4 - Wajib mempelajari tafsir al-Quran.

5 - Wajib membaca al-Quran satu juzuk sehari.

6 - Wajib menghafaz 40 hadis Arba’in (Imam Nawawi).

7 - Puasa sunat dan bertahajud.

8 - Tahap kecerdasan tinggi.

9 - Kerap hadir di majlis pengajian ilmu.

10 - Mengamalkan zikir harian.

(kredit kepada Pak Latip - Penulis Novel Sejara Islam)

Boikot

Setelah tersebarnya produk-produk serta syarikat-syarikat yang perlu diboikot kerana didakwa ada perkaitan dengan zionis, salah seorang kenalan baik terus meminta pandangan saya melalui laman mesej di FB.

"Bro, betul ker senarai tu?"

"Wallahu'alam. Allah sahaja yang tahu. Setakat ilmu serta maklumat yang saya tahu, ada kebenarannya."

"Aduh... Bukan senang nak boikot semua tu." Keluh kenalan saya sambil menghantar ikon mencebik.

"Ya. Bukan senang, tapi ia tidak mustahil. Lakukan sekadar yang termampu. Insya-Allah, Allah pasti nilai usaha serta kesungguhan kita kelak."

"Bayangkan, aku suka makan Maggi, beli Milo untuk anak-anak, pakai telefon Nokia, sekali-sekala bawa family pergi McD..."

"Lakukan perlahan-lahan. Insya-Allah, boleh. Setidak-tidaknya ada usaha sudah dilakukan. Ada satu kaedah usul al-Fiqh 'jika tidak mampu lakukan semua, jangan tinggalkan semua."'
Selepas itu, ikon senyum dihantar serta jelas terpapar pada skrin komputer saya. Saya balas juga dengan ikon senyum.

Tatkala mengirimkan ikon senyum itu, minda saya teringat kata-kata seorang guru penulisan, "Jalan mujahadah sememangnya perit kerana syurga Allah itu mahal serta manis."

Wallahu'alam.

Astaghfirullah.
Daku mohon ampunan-Mu ya Allah!

Lakukan Dari Hati

Sunday, July 13, 2014

                                                                   (sumber Chelsea FC)

Seorang pengulas sukan mengulas tentang hantaran tepat pemain Jerman bernombor 9 iaitu Andre Schrulle (juga merupakan pemain Chelsea) kepada rakannya Mario Gotze semasa perlawanan akhir Piala Dunia 2014:-

"Hantaran bola bukan sekadar teknik, tapi perlu ada 'rasa' atau 'feel' semasa melakukan hantaran. Ia merupakan hantaran luar biasa dan tepat pada rakannya Gotze."

Ulasan beliau itu mengingatkan pesanan guru penulisan saya yang begitu merendah diri apabila ditanya tentang apakah teknik terbaik semasa menulis. Kata guru saya, "Tulislah dari hati, Insya-Allah akan sampai pada hati."

Ya. Saya amat rasai bahawa hantaran Andre Schrulle itu adalah dari hati. Dan ia sampai tepat pada dada (hati) rakannya Gotze.

Senyum!

Rambutan

Wednesday, July 9, 2014


Ketika kalut mahu menghantar anak ke sekolah, mata saya terpandang buah rambutan di atas meja makan. Rambutan yang dipetik lewat petang semalam sedikitpun tidak terusik. Tiada sesiapa yang menjamahnya sehinggalah awal pagi tadi.

Entah mengapa, minda saya terfikir sesuatu mengenai buah rambutan itu.

"Apa kata aku sedekahkan sahaja rambutan yang ada di atas meja?"

Lalu, bagaimana?

Dipendekkan cerita, Allah SWT ilhamkan agar saya menyedekahkan rambutan-rambutan yang ada itu kepada rakan-rakan anak saya di sekolah. Mereka boleh makan semasa waktu rehat nanti. 

Bagi sebuah kepastian, saya segera bertanya kepada anak kesayangan, "Kat sekolah, ada tak kawan-kawan Yid yang suka makan buah?"

"Ada, abah. Namanya Aiman. Dia suka makan buah-buah."

Masya Allah. Allahu Akbar.

Saya senyum sahaja mendengar ulasannya. Siap sebut nama rakan sekali.

Saya segera bertindak. Saya terus memasukkan rambutan yang ada itu ke dalam plastik untuk memudahkan anak saya membawanya ke sekolah nanti. 

Sungguh, tiada niat lain yang mahu saya kongsikan di sini melainkan amalan bersedekah. Ia merupakan amalan yang dituntut, lebih-lebih lagi tatkala berada pada bulan Ramadhan ini.

Saat melihat anak saya berjalan perlahan menuju ke kelas sambil memegang plastik yang sudah terisi dengan rambutan, saat itu hati saya sedikit terusik mengenangkan arwah ibu mertua.

Sebenarnya buah rambutan itu merupakan hasil daripada pohon rambutan yang ditanam oleh arwah ibu mertua sewaktu beliau masih hidup. Ia merupakan tinggalan yang masih dapat dituai manfaat jika yang masih hidup ini (bacalah 'saya') bijak menguruskannya.

Alhamdulillah ... Sewaktu terniat mahu bersedekah rambutan, ia lebih terfokus untuk memanjangkan pahala buat arwah ibu mertua. Selagimana buah-buah rambutan itu dimakan, dinikmati serta dirasai oleh rakan-rakan anak saya, selagi itulah pahala bakal mengalir buat arwah. Insya-Allah.

Dengan berkat bulan Ramadhan ini, saya fikir pahalanya pasti berganda-ganda. Dengan rahmat serta kasih-sayang Allah SWT, saya doakan agar 'rambutan' yang disedekahkan itu mampu menjadi penghapus dosa yang ada pada diri arwah.

Ia bersandarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang bermaksud:-

"Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan: Puasa ialah pelindung, sedekah memadam kesilapan seperti air memadam api, dan seorang insan bersolat pada penghujung malam."

(Direkodkan oleh at-Tirmizi dan Ahmad)

Dunia 'Persepsi'

Tuesday, July 8, 2014

 (sumber Google)

Menerima nasihat serta perkongsian bermanfaat daripada seorang sahabat yang berkunjung ke ofis saya sekejap tadi.

Katanya, "Dunia pada hari ini dibentuk oleh persepsi-persepsi."

Tambahnya lagi, "Terkadang persepsi itu dibentuk oleh orang-orang yang paling rapat dengan diri kita. Mereka menimbulkan persepsi. Kemudian, persepsi itu dipercayai dan akhirnya, persepsi itu membentuk sebuah pandangan orang terhadap diri kita."

Soal beliau kepada saya, "Di mana sikap serta pegangan ayat al-Quran yang menyuruh seseorang itu menyelidik dahulu sesuatu berita? Bukankah kita diajar agar menyelidik serta berhati-hati dalam menyebarkan berita yang belum tentu ada kebenarannya?"

Jawab saya, "Ya. Benar!"

Lantas saya menambah ulasan, "Yang paling mendukacitakan ialah apabila persepsi itu ditimbulkan serta disebar oleh orang yang paling rapat dan persepsi itulah yang menyebabkan seseorang itu dilihat 'baik' atau 'buruk', 'positif' atau 'negatif'. Bahananya amat parah. Kesannya bukan setakat diri seseorang, malah persekitaran juga."