Rambutan

Wednesday, July 9, 2014


Ketika kalut mahu menghantar anak ke sekolah, mata saya terpandang buah rambutan di atas meja makan. Rambutan yang dipetik lewat petang semalam sedikitpun tidak terusik. Tiada sesiapa yang menjamahnya sehinggalah awal pagi tadi.

Entah mengapa, minda saya terfikir sesuatu mengenai buah rambutan itu.

"Apa kata aku sedekahkan sahaja rambutan yang ada di atas meja?"

Lalu, bagaimana?

Dipendekkan cerita, Allah SWT ilhamkan agar saya menyedekahkan rambutan-rambutan yang ada itu kepada rakan-rakan anak saya di sekolah. Mereka boleh makan semasa waktu rehat nanti. 

Bagi sebuah kepastian, saya segera bertanya kepada anak kesayangan, "Kat sekolah, ada tak kawan-kawan Yid yang suka makan buah?"

"Ada, abah. Namanya Aiman. Dia suka makan buah-buah."

Masya Allah. Allahu Akbar.

Saya senyum sahaja mendengar ulasannya. Siap sebut nama rakan sekali.

Saya segera bertindak. Saya terus memasukkan rambutan yang ada itu ke dalam plastik untuk memudahkan anak saya membawanya ke sekolah nanti. 

Sungguh, tiada niat lain yang mahu saya kongsikan di sini melainkan amalan bersedekah. Ia merupakan amalan yang dituntut, lebih-lebih lagi tatkala berada pada bulan Ramadhan ini.

Saat melihat anak saya berjalan perlahan menuju ke kelas sambil memegang plastik yang sudah terisi dengan rambutan, saat itu hati saya sedikit terusik mengenangkan arwah ibu mertua.

Sebenarnya buah rambutan itu merupakan hasil daripada pohon rambutan yang ditanam oleh arwah ibu mertua sewaktu beliau masih hidup. Ia merupakan tinggalan yang masih dapat dituai manfaat jika yang masih hidup ini (bacalah 'saya') bijak menguruskannya.

Alhamdulillah ... Sewaktu terniat mahu bersedekah rambutan, ia lebih terfokus untuk memanjangkan pahala buat arwah ibu mertua. Selagimana buah-buah rambutan itu dimakan, dinikmati serta dirasai oleh rakan-rakan anak saya, selagi itulah pahala bakal mengalir buat arwah. Insya-Allah.

Dengan berkat bulan Ramadhan ini, saya fikir pahalanya pasti berganda-ganda. Dengan rahmat serta kasih-sayang Allah SWT, saya doakan agar 'rambutan' yang disedekahkan itu mampu menjadi penghapus dosa yang ada pada diri arwah.

Ia bersandarkan pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal r.a., daripada Nabi SAW, Baginda bersabda yang bermaksud:-

"Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu pintu kebaikan: Puasa ialah pelindung, sedekah memadam kesilapan seperti air memadam api, dan seorang insan bersolat pada penghujung malam."

(Direkodkan oleh at-Tirmizi dan Ahmad)

0 comments:

Post a Comment