Harga Sebuah Senyuman

Saturday, August 2, 2014

(sumber foto - Google)
 
Setengah jam yang lalu, saya keluar membeli makanan di sebuah kedai makan berdekatan dengan rumah. Kebetulan hujan turun dengan lebat tatkala kaki melangkah ke pintu utama kedai. Sementara menunggu makanan siap dibungkus oleh tuan kedai, saya duduk di kerusi yang tersedia.

Saya bermain telefon cap ayam yang ada. Sambil-sambil itu, saya baca mesej yang tersimpan dalam kotak mesej. Belum sempat habis membacanya, seorang lelaki memasuki kedai di mana tempat saya duduki. Usai beliau memesan makanan, beliau duduk di hadapan saya. Saya hulurkan senyuman walau beliau tidak meminta saya berbuat begitu. Pesan ustaz, "senyuman itu sedekah." Sedekah itu saya berikan tanpa sebarang kos. Ia percuma.

Namun, senyuman saya itu tidak berbalas. Wajah beliau sedikit serius. Langsung tiada sebarang reaksi. Seolah-olah senyuman saya itu diberi kepada patung yang tidak bernyawa. Telahan awal saya begitu. Biarlah...

Sepuluh minit berlalu, makanan kami berdua pun siap dibungkus. Saya ambil dan bayar makanan saya di kaunter. Lelaki itu pun sama.

Sewaktu mahu beredar dari kedai makan, saya berhenti melangkah kerana hujan masih lebat di luar pintu kedai. Namun lelaki itu berbeza. Beliau mempunyai payung. Saya pula tiada. Perlahan-lahan payungnya dibuka. Sekali-sekala saya menjeling ke arah beliau.

Tiba-tiba muncul sapaan ini, "Bang, jom tumpang payung saya. Mari saya hantarkan abang ke kereta. Takut-takut basah makanan abang tu nanti."

Allahu Akbar... Tak terlintas dek akal bahawa lelaki itu mahu tumpangkan payungnya. Mulia sungguh hatinya. Yang saya telah tentang diri beliau ternyata berbeza. Nyata berbeza.

Semasa menumpang payung lelaki itu, hati terus-terusan berkata, "Adakah ini harga sebuah senyuman?" Ia menjadi hal tersirat yang saya sendiri tidak mampu berikan jawapan. Biarlah ia menjadi rahsia Allah yang saya sendiri yakin bahawa hanya DIA sahaja mampu menjawabnya.

0 comments:

Post a Comment