Berwajah Ceria

Saturday, February 28, 2015

Di sebuah kedai kopi di hujung bandar Kota Bharu, sewaktu diri asyik menikmati secawan nescafe O panas, mata terpandang individu yang cukup saya kenali. Beliau segak berpakaian pejabat.

Oh, ya! Kali ini beliau bukannya seorang wakil rakyat seperti cerita yang saya kongsikan pada hari semalam. Kisah tersebut boleh dirujuk pada status Facebook saya bertarikh 28 Februari 2015.

Beliau yang saya kenali merupakan individu yang mengepalai sebuah organisasi yang menguruskan sistem bekalan air bersih di Kelantan. Wajah beliau saya cermati dan cam betul-betul agar tidak tersilap cam pula.

Selepas 10 saat mengambil masa untuk sesi pengecaman, ternyata saya tidak tersilap orang. Saya begitu yakin!

Segera saya lontarkan senyuman yang manis (manis seperti nescafe O yang dipesan) ke arah beliau. Beliau balas senyuman saya dan perlahan-lahan mula mengambil tempat duduk untuk bersarapan pagi.

Hati saya segera berkata, "Alangkah indahnya dunia ini jika insan berwajah ceria dan tidak lokek dengan senyuman. Bukankah memberi senyuman serta berwajah ceria terhadap saudara seagama itu merupakan sebahagian daripada sunnah serta ajaran tinggalan Baginda Muhammad SAW untuk diamalkan oleh umat akhir zaman?"

Tampak mudah, namun saya sendiri juga bukan senang untuk mengamalkan .. Semoga Allah berikan kekuatan pada diri setiap daripada kita untuk mengamalkan 'sunnah' Nabi walau dengan sekecil-kecil sunnah.
 
Insya-Allah, di sisi-Nya kelak ganjaran besar setia menanti kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam mengamalkan setiap sunnah Baginda.

0 comments:

Post a Comment