Hidup Ini Sebuah Permusafiran

Monday, May 25, 2015


 (sumber gambar : Google)

Selepas menghantar Incik Bos ke sekolah, saya singgah bersarapan pagi di sebuah kedai makan di pinggir jalan negeri kelahiran Tok Janggut. Saya perhatikan orang tidak ramai seperti kebiasaan. Mungkin hujan malam semalam atau mungkin kesan GST yang masih dirasai oleh sebilangan rakyat Malaysia.

Walaupun kedai makan ini tidak mempunyai kod GST yang berdaftar dengan pihak Kastam, namun hampir sebilangan makanan yang dijual mengalami kenaikan kos. Tidak seperti harga sebelum 1 April 2015.

Sedang minum-minum, seorang wanita bersama anak lelakinya duduk di sebelah meja saya. Wanita itu segera memberikan senyuman ke arah saya dan saya balas senyuman beliau penuh ceria. Bukankah tanda orang beriman itu mampu menunjukkan wajah yang ceria kepada saudaranya yang lain? Walaupun wanita itu tidak saya kenali, namun ia merupakan sebahagian daripada saudara seagama yang mesti disantuni dengan wajah penuh ceria.

Hampir selesai bersarapan pagi, wanita itu sempat menyapa saya, "Kerja kat mana?"

"Kat Kota Bharu," jawab saya ringkas.

"Kota Bharu ini luas," sambil ketawa kecil.

"Dekat tengah-tengah bandar. Dekat dengan kedai buku Jafar Rawas!"

"Oh, kat situ. Untunglah kamu ya."


"Apa untungnya?"

"Yelah, dapat selalu ke kedai buku. Makcik suka beli buku kat situ kerana banyak kitab-kitab agama yang dijual. Lagipun, semakin berumur, semakin nak dalami ilmu-ilmu agama. Selain pergi belajar ilmu agama di masjid, membaca kitab agama pun boleh menambah kefahaman makcik."


Allahu Akbar .. Saya yang diam-diam mendengar ulasan beliau itu berasa sungguh kerdil dan banyak lagi yang perlu dipelajari dalam hidup khususnya bab-bab agama. 


Kata guru, "Ilmu agama merupakan jalan serta petunjuk sewaktu bermusafir di dunia ini. Meminggirkan agama bererti diri telah menempah jalan yang salah sewaktu menuju ke akhirat. Meremeh-remehkan agama bererti diri telah mensia-siakan 'petunjuk' yang mampu membawa ke syurga."

Selepas bersarapan, wanita itu sekali lagi memberitahu, "Untunglah kamu, dekat dengan kedai buku!" 


Saya senyum meninggalkan kerusi tempat saya duduk itu penuh harapan. Harapan untuk terus melangkah dan 'bermusafir' tanpa meminggirkan agama di sisi. 

Sungguh, hidup ini satu permusafiran!

Kuliah Maghrib bersama Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman

Tuesday, May 19, 2015

Tanggal 18 Mei 2015 iaitu dua malam lepas, saya diberi kesempatan untuk mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman​ di Masjid Mukim Kota, Kota Bharu.

Antara intipati nasihat beliau ialah penyucian diri daripada dosa-dosa riba sebelum memasuki bulan Ramadhan yang bakal berkunjung tiba. Persiapan Ramadhan bukan setakat tertumpu pada aspek kerohanian semata, namun aspek kewangan serta soal rezeki iaitu makan-minum kita juga mesti diutamakan.

Apabila dikaitkan dengan soal makan-minum, pasti secara langsung turut berkait juga dengan soal sumber rezeki atau kewangan serta bagaimana kewangan itu digunakan atau diuruskan dalam kehidupan kita.

Halalkah sumber itu? 
Haramkah sumber itu? atau 
Syubhahkah (ragu-ragu sama ada halal atau haram) sumber itu?
 
Kesemuanya ada sangkut paut dengan soal dosa pahala, syurga neraka. Dalil-dalil serta nas berkaitan dosa riba dibaca dan diterangkan oleh ustaz kepada jemaah yang hadir mampu menyebabkan diri merenung sedalam-dalamnya dan berfikir panjang bahawa ia bukanlah 'larangan' Allah untuk menyukarkan kehidupan manusia. Setiap apa yang dilarang ada kebaikan dan manfaatnya untuk kehidupan.

Sebelum Ramadhan tiba kurang 30 hari sahaja lagi, sucikanlah harta-harta yang dimiliki agar ia menjadi sumber yang halal serta diberkati kelak.

"Rezeki Halal, Harta Berkat." Kata saya menyimpulkan apa yang didengar melalui kuliah beliau dua malam lepas.

Cikgu

Sunday, May 10, 2015

Awal pagi Isnin, saya bersarapan dengan seorang sahabat di sebuah kedai makan di hujung bandar Kota Bharu. Tatkala sarapan hampir pada penghujungnya, tiba-tiba saya lihat sosok tubuh guru yang pernah mengajar kami sewaktu zaman sekolah menengah mendekati tempat meja kami duduk.

Mulanya beliau tidak perasan keberadaan kami sehinggalah kami menegur, "Cikgu, cikgu pun makan di sini juga?"

"Oh, kamu berdua pun turut bersarapan di sini?"

"Iya cikgu. Hmm.. Jauh cikgu datang bersarapan," sapa saya memulakan perbualan.

"Kebetulan cikgu ada urusan di Jabatan Pendidikan Negeri sekejap lagi. Jadi cikgu singgah minum-minum di sini dahulu."

Kami berdua tersenyum apabila melihat guru kesayangan bersama kami walau ia tidak dirancang. 

Namun, guru tetap guru. Walau di mana kami berada, jasa guru tetap tidak terbalas. Berkat ilmu pasti mahu digalas sentiasa. Ilmu tanpa berkat, sia-sia. Keberkatan ilmu selalunya hadir apabila diri mula menghormati insan yang banyak berjasa ini. Siapapun kita, walau di mana taraf kita, guru merupakan insan yang begitu berbudi yang telah mencorak diri kami.

Sebelum beredar, kami sempat bersalaman dan sahabat saya dalam diam-diam membayar apa yang guru saya makan serta minum. Yang paling saya suka, sarapan saya turut dibayar oleh beliau.

Saya suka! 

Senyum.

Masjid Kristal, Kuala Terengganu

Tanggal 9 Mei 2015, saya diizinkan oleh Allah menjejakkan kaki di sini. Ia merupakan sebahagian daripada nikmat-nikmat yang diberikan agar saya tetap bersyukur dengan segala pemberian-Nya selama ini. 

Pengalaman pertama berada di masjid ini telah menjadi saksi apabila dapat bertemu dengan pensyarah saya sewaktu menuntut di universiti yang turut sama singgah bersolat di sini. Saya sempat bertegur sapa walaupun seketika, namun ia cukup mengujakan diri sendiri. 

Sebelum diri melangkah pergi meninggalkan masjid ini, hati berbisik laju, "Bayangkan hati yang dimiliki umpama kristal. Kilauan yang indah mampu menawan orang yang memandangnya. Alangkah bahagia hidup ini jika kelak (di akhirat sana) mampu mempersembah hati yang bergemerlapan bak kristal di hadapan Allah SWT."

Masjid Kristal yang saya lihat serta jejaki ini memang cantik. Kedudukannya di tepi sungai menambahkan lagi daya tarikan agar untuk bertafakur sejenak merenung betapa besarnya nikmat keberadaan di sini. Melihat kebesaran alam yang tercipta mampu menyebabkan  jiwa tenang serta bahagia.

Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu bertandang ke sini lagi.