Kuliah Maghrib bersama Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman

Tuesday, May 19, 2015

Tanggal 18 Mei 2015 iaitu dua malam lepas, saya diberi kesempatan untuk mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman​ di Masjid Mukim Kota, Kota Bharu.

Antara intipati nasihat beliau ialah penyucian diri daripada dosa-dosa riba sebelum memasuki bulan Ramadhan yang bakal berkunjung tiba. Persiapan Ramadhan bukan setakat tertumpu pada aspek kerohanian semata, namun aspek kewangan serta soal rezeki iaitu makan-minum kita juga mesti diutamakan.

Apabila dikaitkan dengan soal makan-minum, pasti secara langsung turut berkait juga dengan soal sumber rezeki atau kewangan serta bagaimana kewangan itu digunakan atau diuruskan dalam kehidupan kita.

Halalkah sumber itu? 
Haramkah sumber itu? atau 
Syubhahkah (ragu-ragu sama ada halal atau haram) sumber itu?
 
Kesemuanya ada sangkut paut dengan soal dosa pahala, syurga neraka. Dalil-dalil serta nas berkaitan dosa riba dibaca dan diterangkan oleh ustaz kepada jemaah yang hadir mampu menyebabkan diri merenung sedalam-dalamnya dan berfikir panjang bahawa ia bukanlah 'larangan' Allah untuk menyukarkan kehidupan manusia. Setiap apa yang dilarang ada kebaikan dan manfaatnya untuk kehidupan.

Sebelum Ramadhan tiba kurang 30 hari sahaja lagi, sucikanlah harta-harta yang dimiliki agar ia menjadi sumber yang halal serta diberkati kelak.

"Rezeki Halal, Harta Berkat." Kata saya menyimpulkan apa yang didengar melalui kuliah beliau dua malam lepas.

0 comments:

Post a Comment