Hari Ahad

Sunday, February 26, 2012


Hari ini saya tidak merancang untuk melakukan banyak kerja di pejabat. Banyak faktor juga dipertimbangkan. Partner bercuti rehat, staff cuti ‘urgent’ kerana mahu menjaga anaknya di rumah, pelajar praktikal pula saya telah berikan tugasan untuk beliau lakukan di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai pada hari ini. Semuanya berlaku secara serentak pada hari ini.

Kebetulan pula, bapa saudara sebelah isteri saya meminta agar untuk menghantarnya ke lapangan terbang di Pengkalan Chepa pada sebelah pagi. Sudah pasti saya tidak mampu menolak walaupun pelbagai ‘kerja’ sedang berlegar-legar di minda untuk diselesaikan. Mungkin ini adalah aturan Allah untuk saya urus serta selesaikan pada hari Ahad ini.

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya sempat menghantar bapa saudara ke lapangan terbang sebelum bergegas ke pejabat di Kota Bharu. Sebelum memasuki bandar Kota Bharu, saya sempat menjamu selera di sekitar Pengkalan Chepa bersama dengan teman istimewa saya, tidak lain dan tidak bukan iaitu anak saya. Beliau menjadi teman perjalanan serta urusan-urusan di pejabat nanti. Harapannya agar beliau tidak buat hal’ nanti.

Hari Kelahiran Isteri

Setibanya di pejabat, saya terus membuka komputer dan menyemak akaun ‘Facebook’ sendiri. Alangkah terkejutnya saya kerana apa yang terpampar di hadapan ‘Wall’ saya adalah hari kelahiran isteri saya. Astaghfirullah...Sungguh lupa saya dengan tarikh keramat ini walaupun ia senantiasa bermain di minda saya sebelum daripada ini. Kebiasaannya, tarikh-tarikh penting ini saya masukkan dalam telefon bimbit saya. Masih ‘kebetulan’ juga, telefon saya ada masalah sehari dua ini. Apa lagi, saya terus membuat panggilan telefon kepada isteri saya dan memberikan ucapan ‘kelahiran’! Di samping itu, saya juga memohon kemaafan di atas kealpaan saya. Mujurlah isteri saya memahami dan terus menerima permohonan maaf yang dipinta.

Jika orang kata, si wanita lebih mengingati tentang tarikh-tarikh, saya sebenarnya lebih terkehadapan. Saya sentiasa mengingatinya dan akan terus mengingatinya. Mungkin pada kali ini, terlalu banyak urusan difikirkan, membuatkan saya terlupa seketika. Ada petunjuk yang Allah mahu berikan kepada saya sebenarnya. Petunjuk agar untuk terus mengingati-Nya. Jangan sesekali melupai-Nya walau sesibuk mana kita sekalipun.

Rezeki di Pejabat

Hari ini juga saya menerima kunjungan daripada seorang sahabat lama. Sungguh lama saya tidak bersua dengannya. Hari ini beliau mencari saya. Kebetulan saya ada di pejabat. Itulah rezeki saya. Rezeki dapat bersua dengan sahabat satu sekolah menengah dahulu. Sudah tentu saya amat menghargainya walaupun tidak sampai setengah jam saya berborak.

Seusai solat Zohor, saya menerima tiga orang klien yang kesemuanya tidak membuat temu janji untuk berjumpa dengan saya pada hari ini. Bagi saya, mereka adalah rezeki saya juga. Rezeki kerana dapat bertemu dan berurusan. Dua daripadanya mahu membuat pembayaran di atas urusan yang telah selesai. Sungguh seronok dengan ‘kebetulan-kebetulan’ yang berlaku pada hari ini. Rezeki saya, rezeki pejabat juga. Ia sedikit sebanyak mengingatkan bahawa Allah itu Maha Mengetahui di atas apa yang telah, sedang dan akan berlaku untuk kita. Buat apa mahu mengeluh dan berputus asa dengan apa yang terjadi. Bertindaklah secara positif dan rasional. Berserah juga kepada Allah dengan apa yang telah kita usahakan kerana Dialah yang menentukan segala-galanya.

Ketika saya menulis entri ini, anak saya baru lena diulit mimpi. Mungkin keletihan mengikut perjalanan ayahnya. Menemani ayahnya sehingga ke pejabat. Sempat mencelah ketika saya asyik berurusan dengan klien-klien yang datang ke pejabat tadi. Saya tidak kisah kerana mungkin ini juga ‘kebetulan’ untuknya bersama dengan saya pada hari Ahad ini.  

Berkasih Itu Fitrah

Wednesday, February 15, 2012


Saling berkasih-sayang itulah fitrah insani. Sifat terpuji yang ada pada diri seseorang insan. Mereka yang hidup dalam suasana kasih-sayang sudah pasti hidupnya tenang dan tidak gelisah. Manakala mereka yang kurang berkasih-sayang pula, hidupnya dipenuhi dengan kegelisahan, berserabut serta tidak tenang sifatnya.  

Semalam, 14 Februari, rata-rata di kalangan kita mengetahui bahawa tarikh tersebut amat sinonim dengan Hari Kekasih (Valentine Day). Hari untuk memperingati ‘korban kasih’ St. Valentine oleh masyarakat Kristian. Bagi masyarakat Islam, kita ditegah sama sekali untuk menyambutnya kerana ia amat jelas bertentangan dengan akidah serta akhlak seorang Muslim. Banyak dalil-dalil yang menyokong tegahan untuk menyambut perayaan yang disambut oleh agama lain termasuklah Hari Kekasih. Rujuklah Fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang jelas menyatakan bahawa ia merupakan amalan yang tidak digalakkan oleh agama Islam. 

Lagipun untuk berkasih-sayang, kita tidak perlu menunggu pada tarikh tertentu. Lebih-lebih lagi tarikh yang kita tunggu-tunggu itu jelas bertentangan dengan ajaran agama pula. Bila-bila masa sahaja kita boleh berkasih-sayang sebenarnya. Kadang-kadang terfikir juga, mengapa kita sempitkan hari-hari tertentu untuk kita zahirkan rasa kasih-sayang kepada insan lain? Sudah tentu insan untuk kita berkasih-sayang itu adalah mereka yang tidak dilarang oleh agama. Bagi pasangan kekasih yang tidak mempunyai apa-apa ikatan perkahwinan secara sah, anda tidak termasuk di dalam kategori yang dibenarkan. Mungkin anda boleh zahirkan kasih-sayang anda kepada ibu bapa atau ahli keluarga anda.  

Jika diperhatikan, Hari Kekasih ini nampak lebih menarik apabila ada peniaga-peniaga membuat pelbagai tawaran atau promosi tentang produk mereka bersempena dengan Hari Kekasih. Ada juga sesegelintir daripada pihak hotel yang menawarkan pakej khas atau menyediakan parti bersempena Hari Kekasih ini. Kementerian atau jabatan yang berkait rapat dengan agama serta hal-ehwal umat Islam perlu lebih tegas dalam kenyataan serta tindakan agar Fatwa yang dikeluarkan benar-benar dihormati serta dipatuhi oleh umat Islam khususnya. Jika tidak, ia hanya akan dilihat sekadar ‘warta rasmi’ sahaja oleh kita.   

Kekasih Yang Dilupai


Baru-baru ini, tanggal 12 Rabiul Awwal, kita telah menyambut Hari Maulidur Rasul atau Hari Kelahiran Nabi Muhammad SAW. Hari yang memang dinanti-nantikan bagi sesetengah orang dan ada juga sesetengahnya memang melupai hari tersebut. Lupa sebab memang kita terlupa atau lupa memang sebab kita tidak tahu. Dua perkara yang amat berbeza. Pelbagai sambutan atau program diadakan bagi menyambut Hari Kekasih Allah itu. Adanya perarakan, penganugerahan tokoh, ceramah, forum dan pelbagai rancangan televisyen bersempena dengan hari tersebut. Sudah pasti kita tidak mampu ‘melupai’ hari tersebut kerana ia sudah diwartakan sebagai cuti umum di negara kita. 

Biarlah Hari Kekasih Allah itu tidak terhenti untuk disambut oleh kita. Terhenti pada tarikhnya dilahirkan. Terhenti setelah kita selesai berarak. Terhenti setelah kita habis bercuti. Terhenti setelah kita mengetahui siapakah Tokoh Maulidur Rasul. Janganlah sesekali begitu, sambutlah setiap masa dan ketika. Jika mahu berhenti untuk mengingati sekalipun, biarlah ia terhenti setelah nyawa kita berhenti bernafas.

Ingatan pada minda haruslah diterjemah kepada tindakan melalui perbuatan. Mengingati tanpa melakukan apa yang Nabi suruh dan meninggalkan apa yang Nabi larang adalah bukan cara sebenar kita menzahirkan rasa kasih-sayang kita kepada Nabi Muhammad SAW. Jika kita benar-benar mengasihinya, ikutilah sunnah Baginda. Jangan sesekali mendurhakai Baginda. Paling tidak, berselawatlah ke atas Baginda. Baginda ialah kekasih sebenar dalam kehidupan kita dan merupakan insan yang dikasihi Allah. Mengasihi Baginda bererti kita juga turut mengasihi Allah. Teringat kepada petua Menteri Besar Kelantan dalam melahirkan keluarga mawaddah dengan mengamalkan sekurang-kurangnya berselawat 41 kali ke atas Baginda Muhammad SAW.  

Sebarkanlah Kasih-Sayang 

Hidup ini tidak indah tanpa berkasih-sayang. Diri sendiri, keluarga, masyarakat serta negara yang hilangnya rasa kasih-sayang akan terus berantakan. Jika rasa kasih-sayang tidak terserlah, sudah pasti sikap kezaliman akan mendominasi dalam kehidupan kita. Disebabkan kita mempunyai kuasa, pengaruh, kedudukan atau wang, kita mampu menindas orang bawahan kita, kita mampu menganiayai orang di sekeliling kita, kita mampu berbalah dengan sanak-saudara kita. Sebenarnya kita silap. Silap kerana kita tidak menggunakan segala apa yang ada untuk berkasih-sayang sesama insan. Malah, untuk alam ini juga.  

Jika mahu melihat budaya saling berkasih-sayang wujud, jangan sekadar kita berimpian sahaja. Usahalah untuk merealisasikan impian kita. Jika kita tidak memulakan dengan diri kita sendiri, apakah kita harap ia akan berlaku untuk keluarga kita juga, untuk masyarakat, untuk negara, malah untuk alam ini juga? Sudah pasti ia amat mustahil untuk dicapai. Mulakanlah dengan diri kita terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain berkasih-sayang terhadap kita.  

Ayuh, berkasih-sayanglah setiap hari dan bukannya pada hari-hari tertentu sahaja! 

Kenangan di Cameron Highlands

Tuesday, February 7, 2012

Hampir 3 hari saya berada di Cameron, bermula dari 2 Februari sehinggalah 4 Februari 2012. Sepanjang berada di sana, sungguh banyak kenangan yang terakam dalam memori saya. Kehadiran saya ke sana bukanlah untuk bercuti semata-mata. Namun, ia lebih tertumpu kepada urusan kerja. 

Ketika di sana, saya perhatikan suasana di Cameron amat berbeza sekali jika mahu dibandingkan dengan tempat-tempat lain yang pernah saya kunjungi. Ia agak jauh daripada kesibukan kota. Persekitarannya di kelilingi dengan bukit-bukau yang menghijau. Lereng-lereng bukit pula dipenuhi dengan tanaman teh. Manakala, sayur-sayuran pula kebanyakkannya ditanam secara komersial. Selain itu, saya dapat memerhatikan buah ‘strawberi’ ditanam di sini. Di mana-mana sahaja kita mampu menjumpai buah ini dan jika tidak menjumpainya, ia adalah sesuatu yang agak pelik buat diri kita. Buah tersebut seolah-olah sudah menjadi ‘ikon’ untuk tempat ini. 

Saya berkesempatan mengunjungi beberapa tempat walaupun jadual yang ada sarat dengan aktiviti kerja. Kesempatan yang ada saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Agak rugi jika saya mengambil masa untuk berehat sahaja. Antara tempat yang sempat saya kunjungi ialah Ladang Teh Bharat, Ladang Strawberi, Pusat Peliharaan Lebah Trigona, Pekan Tanah Rata, Pasar Malam Berinchang dan Keafarm. 


Dalam banyak-banyak tempat yang saya kunjungi sepanjang berada di Cameron, saya sungguh mengagumi tempat tanaman teh di Ladang Teh Bharat. Walaupun nampak ‘biasa’ sahaja pada pandangan mata kasar saya, namun ia mampu menjadikannya ‘luar biasa’ jika ia dikaitkan dengan kebesaran ciptaan Tuhan. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menjadikan alam ini khususnya bukit-bukau atau gunung-ganang untuk manusia berfikir dan merenung akan kehebatan Allah SWT. Bukit-bukau atau gunung-ganang yang dipasakkan dengan begitu kukuh sebagai sokongan kepada struktur bumi membuatkan saya amat kerdil di sisi-Nya. Tiada makhluk yang mampu menciptakan bukit atau gunung selain Allah SWT. 

Jelaslah firman Allah SWT dalam surah al-Qaaf, ayat 7 yang bermaksud:

Dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata
Ketika merenung ciptaan Tuhan yang maha hebat, saya teringatkan kisah kaum Tsamud pada zaman Nabi Shaleh a.s. Mereka berkepakaran dalam membina gedung-gedung daripada batu-bata gunung-ganang. Ada juga yang menebuk gunung-ganang dan membuat lubang sebagai tempat tinggal serta tempat berlindung. Itulah kelebihan yang ada pada kaum Tsamud. Sungguh hebat mereka, mampu memanfaatkan apa yang ada di sekeliling untuk meneruskan kehidupan. Sayangnya, mereka tidak mahu mempercayai ajaran yang dibawa oleh Nabi Shaleh a.s agar menyembah Tuhan yang satu. Perkara yang sama juga saya perhatikan di Cameron ini, manusia cukup hebat membina bangunan-bangunan mewah serta pusat perniagaan di lereng bukit. Kadang-kadang tidak terfikir juga oleh saya bagaimana mereka boleh membinanya sedangkan tempat itu agak tinggi dan berada pula pada lereng bukit. Bimbang-bimbang, binaannya tidak kukuh dan mampu runtuh sebagaimana runtuhnya Bangunan Highland Towers pada suatu ketika dahulu.  

Yang pasti, biarlah alam yang ada di sekeliling mampu mendekatkan diri kita dengan Tuhan. Ia juga sebahagian daripada ciptaan Tuhan untuk kita nikmati serta syukuri termasuklah bukit-bukau atau gunung-ganang. Moga-moga kita tidak mampu lagi untuk mendustakan nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada kita.