Masjid Kristal, Kuala Terengganu

Sunday, May 10, 2015

Tanggal 9 Mei 2015, saya diizinkan oleh Allah menjejakkan kaki di sini. Ia merupakan sebahagian daripada nikmat-nikmat yang diberikan agar saya tetap bersyukur dengan segala pemberian-Nya selama ini. 

Pengalaman pertama berada di masjid ini telah menjadi saksi apabila dapat bertemu dengan pensyarah saya sewaktu menuntut di universiti yang turut sama singgah bersolat di sini. Saya sempat bertegur sapa walaupun seketika, namun ia cukup mengujakan diri sendiri. 

Sebelum diri melangkah pergi meninggalkan masjid ini, hati berbisik laju, "Bayangkan hati yang dimiliki umpama kristal. Kilauan yang indah mampu menawan orang yang memandangnya. Alangkah bahagia hidup ini jika kelak (di akhirat sana) mampu mempersembah hati yang bergemerlapan bak kristal di hadapan Allah SWT."

Masjid Kristal yang saya lihat serta jejaki ini memang cantik. Kedudukannya di tepi sungai menambahkan lagi daya tarikan agar untuk bertafakur sejenak merenung betapa besarnya nikmat keberadaan di sini. Melihat kebesaran alam yang tercipta mampu menyebabkan  jiwa tenang serta bahagia.

Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu bertandang ke sini lagi. 


Kereta Rosak

Saturday, February 28, 2015

(sumber : Google)

Ketika berada di persimpangan sebuah lampu isyarat, saya agak pelik kerana kenderaan yang berada di hadapan saya bergerak begitu perlahan. Perlahan sangat-sangat walaupun lampu isyarat sudah lama menghijau.

Beberapa kereta telah membunyikan hon supaya kenderaan yang berada di hadapan mereka itu segera bergerak. Namun, ia tidak banyak berubah.

Tiba sahaja giliran kenderaan saya menghampiri sebuah kereta, saya dapati kereta itu menyalakan lampu signal kecemasan. Rupa-rupanya kereta itu rosak..

Allah ya Allah .. Nasib baik mulut masih bersabar daripada mengeluh atau berkata yang bukan-bukan.

Saya pernah alami situasi yang hampir sama. Kenderaan yang dipandu tiba-tiba rosak di persimpangan lampu isyarat. Malu bukan main kepalang pada saat itu. Tertekan atau stress hanya Allah sahaja yang tahu. Cuma saya teringat pada nasihat seorang guru tatkala kejadian itu menimpa ke atas diri saya,

"Saat ujian atau musibah itu datang, perkara yang utama perlu dilakukan adalah bersabar. Bersabar bukan bermaksud selepas ujian atau musibah itu berlaku, tapi semasa serta saat ujian atau musibah itu sedang berlaku. Itulah maksud sabar yang setepatnya."
Ya. Bersabar saat diuji. Itulah yang mahu disampaikan melalui nasihat guru saya itu.

Saya buntu dan bersabar sambil mendoakan agar ada insan sudi membantu pada waktu itu. Kereta di belakang saya sudah lama membunyikan hon dan saya hanya mampu mengangkat tangan tanda ada masalah berlaku pada kereta yang dinaiki.

Sehinggalah datang tiga orang anak muda yang sedang minum di sebuah kedai makan membantu saya. Mereke bertiga menolak kereta saya hampir 100 meter tanpa mengharapkan apa-apa habuan daripada saya.

Kata salah seorang daripada mereka, "Tak perlu apa-apa upah bang. Kebetulan kami juga mengalami masalah kenderaan yang masih tersadai di tepi jalan."

Terkejut dek penerangan yang diberikan, saya segera bertanya, "Apa masalah kenderaan?"

"Kenderaan kami tenggelam semasa banjir besar yang berlaku tempoh hari. Tak sempat nak diselamatkan. Kereta abang masih lagi bernasib baik," ulas beliau panjang lebar.

"Nasib baik? Maksud adik macam mana tu?"

"Yelah. Masih lagi boleh bergerak walaupun terpaksa kami tolak."


Saya tersenyum kerana beliau bijak berseloroh. Saya faham kiasan beliau itu. Apa-apa pun, tatkala diri ditimpa ujian atau musibah, ingatlah bahawa masih ada lagi insan yang lebih hebat diuji berbanding kita.

Salah seorangnya ialah pemuda yang pernah menolak kereta saya yang rosak beberapa bulan lepas. Peristiwa itu kemas tersemat pada buku pengalaman hidup saya - Insya-Allah.

Berwajah Ceria

Di sebuah kedai kopi di hujung bandar Kota Bharu, sewaktu diri asyik menikmati secawan nescafe O panas, mata terpandang individu yang cukup saya kenali. Beliau segak berpakaian pejabat.

Oh, ya! Kali ini beliau bukannya seorang wakil rakyat seperti cerita yang saya kongsikan pada hari semalam. Kisah tersebut boleh dirujuk pada status Facebook saya bertarikh 28 Februari 2015.

Beliau yang saya kenali merupakan individu yang mengepalai sebuah organisasi yang menguruskan sistem bekalan air bersih di Kelantan. Wajah beliau saya cermati dan cam betul-betul agar tidak tersilap cam pula.

Selepas 10 saat mengambil masa untuk sesi pengecaman, ternyata saya tidak tersilap orang. Saya begitu yakin!

Segera saya lontarkan senyuman yang manis (manis seperti nescafe O yang dipesan) ke arah beliau. Beliau balas senyuman saya dan perlahan-lahan mula mengambil tempat duduk untuk bersarapan pagi.

Hati saya segera berkata, "Alangkah indahnya dunia ini jika insan berwajah ceria dan tidak lokek dengan senyuman. Bukankah memberi senyuman serta berwajah ceria terhadap saudara seagama itu merupakan sebahagian daripada sunnah serta ajaran tinggalan Baginda Muhammad SAW untuk diamalkan oleh umat akhir zaman?"

Tampak mudah, namun saya sendiri juga bukan senang untuk mengamalkan .. Semoga Allah berikan kekuatan pada diri setiap daripada kita untuk mengamalkan 'sunnah' Nabi walau dengan sekecil-kecil sunnah.
 
Insya-Allah, di sisi-Nya kelak ganjaran besar setia menanti kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam mengamalkan setiap sunnah Baginda.

Penulis?

Saturday, January 31, 2015

(sumber : Google)

Kisah sewaktu Majlis Hi-Tea di sekolah lama lewat petang semalam.

"Tahniah bang!" Beritahu seorang junior yang saya cam wajahnya.

"Tahniah pasal apa?"

"Sebab abang nak jadi penulis buku," sambungnya penuh cermat.

"Macam mana tahu abang nak jadi penulis pula ni?" Tanya saya memanjangkan perbualan.

"Baca kat Facebook abanglah!"

"Oh, tahu dari situ rupa-rupanya." Jawab saya sambil tersenyum ceria.

======

Dalam hati segera berbisik, "Sebenarnya saya tak pernah tulis pun nak jadi penulis buku di Facebook. Yang saya tulis sejak dua menjak ini adalah mahu menceburi bidang penulisan. Tidak spesifik pada buku sahaja.

Sejujurnya, dunia penulisan ini teramat luas. Tidak terhad pada penulisan buku sahaja. Ada penulisan blog, penulisan buku digital (ebook), penulisan di Facebook, penulisan di akhbar, majalah dan sebagainya.

Cuma menulis buku dan mempunyai buku bercetak adalah sebahagian daripada dunia penulisan yang mahu diceburi oleh saya - Insya-Allah.

Harap-harap junior saya itu jelas dan tidak tersalah maksud dengan apa yang mahu saya lakukan ya!"


Selepas habis berbisik, saya doakan agar si junior saya itu membaca catatan ini.

Kepada rakan-taulan yang lain, mohon doa serta sokongan ya!

Usah Cepat Berprasangka

Saturday, January 24, 2015

Santai Tengahari Ahad

Di sebuah ofis, kelihatan seorang peguam junior begitu sibuk menghalau 'sesuatu' di muka pintu masuk.

Kebetulan pula ada seorang wanita singgah ke oifis beliau dan wanita itu berasa pelik kerana kedatangannya seolah-olah tidak dihargai.

"Syhhuuuhh ...Syhhuuuhh ..." sambil gaya tangan peguam itu masih menghalau sesuatu.

Akibat tidak puas hati, wanita itu segera memberitahu sambil marah-marah, "Kalau tak mahu saya datang ke ofis kamu, jangan sampai menghalau saya pula!"

Tersentak dengan kata-kata wanita itu, peguam itu segera memohon maaf seraya menjernihkan keadaan yang sudah tidak keruan.

"Maafkan saya puan... Saya bukan berniat menghalau puan daripada memasuki ofis saya. Sebenarnya saya sedang menghalau beberapa ekor lalat yang masuk ke ofis saya."

Wanita itu tersimpul malu ..


PENGAJARAN : Usah cepat berprasangka negatif.

Mahu Berniaga

Sunday, December 14, 2014


Seorang junior yang mahu menceburkan diri dalam dunia perniagaan bertanyakan pendapat saya beberapa hari lepas.

"Kenapa kamu mahu berbisnes?"


Jawab junior saya itu, "Mahu jadi kaya seperti sahabat Nabi, Abdurrahman bin Auf."
"Bagus.. Bagus .." Saya lontarkan kata pujian ikhlas dari hati seraya terus bertanya soalan lain, "Erm ... Apakah yang menyebabkan kamu memilih beliau (Abdurrahman), bukannya Saidina Osman, Siti Khadijah, atau mana-mana sahabat nabi yang lain?"

"Ermm .. Sebab ramai orang kata beliaulah contoh terbaik kalau nak jadikan idola dalam dunia perniagaan."

Aduhh ... Bagi saya jawapan beliau 'based on' apa 'orang kata' ..

Banyak lagi kena buat research sebelum menceburkan diri dalam dunia perniagaan atau apa sahaja bidang lain. Biarlah jawapan itu konkrit serta mempunyai asas yang kukuh.

Ia ibarat seperti mahu membina rumah idaman hati juga. Jika tapak tidak kukuh, maka 'opportunity' rumah itu rosak serta roboh itu semakin tinggi.

Berdasarkan kajian, lebih 90 peratus perniagaan atau bisnes tutup selepas tiga tahun perlu diambil kira sebelum benar-benar terjun dalam dunia perniagaan khususnya.

Kebebasan Masa

Tuesday, December 2, 2014

                                                          (sumber gambar : Google)

Antara ketakutan saya ialah tiada kebebasan masa. Bebas di sini bermaksud saya tidak mahu dikongkong oleh perkara-perkara yang bersifat online secara tidak terkawal.

Misalnya mempunyai pelbagai jenis akaun media sosial. Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp dan sebagainya.

Bukan menyalahkan akaun-akaun itu, tapi menyalahkan diri sendiri jika tidak pandai MENGURUSKAN pelbagai akaun yang wujud itu sebaik mungkin.

Sebab itulah, antara kebebasan masa yang boleh dicapai ialah dengan meminimakan akaun sosial yang ada.

Secara teorinya, "Semakin sedikit akaun dimiliki, peluang untuk mempunyai kebebasan itu tinggi. Semakin banyak akaun dimiliki, peluang untuk mempunyai kebebasan itu rendah."

Apa-apa pun, ia terpulang kepada diri sendiri juga bagaimana ia diuruskan. 

Tepuk dada, tanya diri masing-masing. Insya-Allah, ada jawapan untuk kita.

Wallahu'alam. 

Astaghfirullah .. Daku mohon ampunan-Mu ya Allah.