Perginya Seorang Guru

Monday, February 21, 2011



Hari ini, 21 Februari 2011, saya menerima panggilan telefon daripada ibu saya dari kampung yang memberitahu bahawa guru al-Quran semasa zaman kanak-kanak saya telahpun kembali ke rahmatullah. Innalillahi wainna ilaihi rojiun…

Saya berasa terkedu seketika. Mahu sahaja terus pulang sekejap ke kampung untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah Mak Su Bidah (nama gelarannya di kampung) tetapi ada kerja yang sudah mempunyai janji temunya pula pada hari ini. Apa-apapun, saya mesti juga pulang untuk menziarahi keluarga Allahyarhamah. Untuk bersolat jenazah, berkemungkinan besar tidak sempat. Paling tidakpun, saya dapat menziarahi keluarganya.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Seusai kerja di pejabat, saya terus pulang ke kampung untuk menziarahinya. Saya mesti mengambil peluang ini untuk pulang walaupun seketika. Allah pasti akan memberi peluang kepada hambanya jika kita benar-benar mahukan peluang tersebut. Jika tidak mahu, 1001 alasan sudah tersedia untuk kita lafazkannya. 

Kesempatan yang diberi saya pergunakan dengan sebaiknya. Tiba di rumahnya lebih kurang jam 7.00 petang. Suami serta sanak-saudara keluarga Allahyarhamah sudah bertamu di rumah sejak awal pagi lagi. Saya diberitahu bahawa Allahyarhamah sudah selamat dikebumikan lebih kurang jam 3.00 petang. Untuk memberi penghormatan terakhir mengiringi jenazahnya ke kubur, memang sudah tidak berkesempatan lagi. Apa yang termampu ialah dengan menyedekahkan ayat-ayat suci al-Quran buatnya. Itulah sedekah yang mampu saya berikan pada ketika itu.

Jika diimbas kembali, pembelajaran al-Quran dengannya tidaklah sesukar manapun. Memandangkan saya sudah pun belajar asas-asas al-Quran sebelum daripadanya. Guru pertama saya yang mengajar asas-asas al-Quran juga telah meninggal dunia pada akhir tahun lepas. Belajar dengannya adalah untuk memperelok bacaan sahaja. Tidak lebih daripada itu. Paling kurang, saya ada guru di hadapan saya untuk memperbetul bacaan yang silap. Terima kasih buat ibu bapa saya yang menitik beratkan pembacaan al-Quran buat anaknya yang jahil ini. Merekalah yang mengatur jadual bacaan al-Quran saya dengan kedua-dua guru al-Quran tersebut. 

Sudah pasti, mereka akan mendapat pahala yang setimpal di sisi Allah kerana mengajar saya dan orang lain mengenal apa itu huruf-huruf al-Quran dan cara-cara untuk membacanya. Saya cukup berterima kasih kerana mengenal al-Quran melaluinya. Mereka benar-benar ikhlas dalam menyampaikan ilmunya. Hari ini, semua berbayar. Mahu tidak mahu, semua adalah memerlukan wang untuk belajar. Itulah realitinya. 

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Uthman r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya) :

Sebaik-baik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. ”                       
(Riwayat al-Bukhari)
Hari ini, kita lebih suka membuka lembaran lain seperti suratkhabar, majalah, buku-buku, kerja-kerja di pejabat ataupun mengadap informasi di komputer riba kita berbanding dengan menatap al-Quran terlebih dahulu. Sudahlah untuk menatapnya susah, apatah lagi untuk membacanya pula. Mungkin ada segelintir di kalangan kita mampu membaca surah-surah tertentu di bibir mulut. Alhamdulillah kerana mereka mampu melakukannya. Mungkin bagi saya, agak sukar sedikit, kalau mampu sekalipun, hanya surah-surah pilihan sahaja. Untuk menatapi serta bertadabbur, mungkin jauh sekali.

Kita mungkin mampu ‘update’ status Facebook kita setiap hari, tetapi untuk ‘update’ pembacaan al-Quran, mampukah juga untuk setiap hari? Siapalah saya yang jahil dan kurang mahir tentang ilmu al-Quran ini untuk mengajar saudara-saudara sekalian. Cuma, paling tidaknya saya berdakwah untuk diri saya sendiri. Ingat pada al-Quran, bukan setakat bacaannya sahaja, yang paling penting adalah untuk beramal dengannya. Semuanya penting, dengan membacanya sudah pasti kita mendapat pahala. Membaca tulisan selain al-Quran, tidak ada jaminan pahala baginya.  Jika kita beramal pula, sudah pasti pahalanya berganda-ganda. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Akhiran, saya teringat sepotong hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Umamah r.a yang bermaksud :

“ Bacalah Al-Quran kerana pada hari Kiamat kelak dia akan datang      memberikan syafaat kepada pembacanya.               
(Hadis riwayat Muslim)
Semoga kita mendapat segala kebaikan di dunia dan juga di Akhirat nanti dengan al-Quran.   

Al-Fatihah buat guruku…



0 comments:

Post a Comment