(Kredit foto kepada Google.com)
Kehidupan kita tidak pernah sunyi dengan
pelbagai nikmat tersedia. Jika mahu dihitung nikmat-nikmat-Nya, pasti tidak
terhitung.
Nikmat tidak menjadi nikmat hakiki sekiranya
kita tidak tahu untuk bersyukur. Adakalanya nikmat yang hadir menjadi ujian
serta fitnah di kemudian hari. Apa tidaknya, nikmat dapat makan minum, jika
kita menyalahgunakan nikmat tersebut, ia bakal mendatangkan mudarat kepada
sistem tubuh badan. Mampu membawa kepada penyakit yang akhirnya sistem tubuh
badan gagal berfungsi dengan baik. Walhal, pada awalnya kita diizinkan untuk
menggunakan nikmat makan minum tersebut tanpa ada masalah sedikitpun.
Amat benarlah pesan Nabi yang bermaksud, “Rebutlah
lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Salah satunya ialah waktu sihat
sebelum datangnya waktu sakit.” Pesan Baginda Rasulullah amat berkait rapat dengan kesempatan. Andai kita tidak merebut kesempatan yang ada, natijahnya amatlah berbeza. Begitulah maksud tersiratnya.
Mengambil kesempatan untuk melakukan kebaikan
serta amal soleh amatlah dituntut oleh agama. Insan yang dikelilingi dengan
kebaikan-kebaikan pastinya sukar untuk melakukan kejahatan walaupun musuh yang
menggoda itu pelbagai. Bayangkan diri kita dikelilingi dengan
kejahatan-kejahatan, apakah kita kuat untuk melakukan kebaikan kecil? Jika
mampu sekalipun, ia memerlukan mujahadah serta usaha luar biasa yang berterusan
di samping tidak putus-putus memohon doa serta petunjuk untuk dibukakan pintu
kebaikan.
Adakalanya kesempatan itu disalahguna oleh diri
sendiri. Seringkali kita terkhilaf untuk mentafsirkan makna ‘mengambil
kesempatan’. Contoh yang mahu saya kongsikan ialah persoalan amanah atau integriti
sewaktu melunaskan tanggungjawab atau tugasan.
Khilafnya begini, si A merupakan penjawat awam atau
pekerja swasta yang menguruskan bahagian projek. Kebetulan pula si B merupakan
seorang ahli bisnes yang ada kaitan dengan bahagian projek tersebut. Pasti si B
mahukan projek tersebut kerana ia ada kaitan dengan kebolehannya dan si A juga
pasti mahu menguruskan bahagian projek yang diamanahkan sebaik mungkin.
Persoalannya ialah sekiranya si A dan si B itu
merupakan pasangan suami isteri atau rakan bisnes atau memang mempunyai
pertalian persaudaraan yang erat, misalnya pertalian adik-beradik,
sahabat-handai atau kaum kerabat, adakah kita mampu untuk tidak ‘mengambil
kesempatan’ pada waktu itu?
Sebaik mana cara kita ‘mengambil kesempatan’
itu, adakalanya ia menguji tahap amanah serta kejujuran diri. Apatah lagi
ia melibatkan urusan yang mempunyai kepentingan ramai, tidak diri sendiri.
Ketika menyiapkan entri ini, berkali-kali saya
merenung maksud ayat 8, surah al-Maa’idah:-
“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang
selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan
janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk
berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa.
Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan.”
Dengan tidak
menafikan kata-kata berikut, ‘bijak mengambil peluang’, ‘gunakan peluang
sebaiknya’, ‘inilah peluang kita’, ‘jangan sia-siakan peluang keemasan ini’
serta pelbagai lagi, ia tidak sedikitpun membolehkan kita untuk bebas bertindak
tanpa mengikut neraca amanah, integriti, kejujuran serta adil.
Sungguh, ‘mengambil
kesempatan’ itu tidak salah selagimana kita mampu berlaku adil.
Bahkan, adil itu
amat dekat dengan taqwa.
Maka sudah tentu
ujiannya bukanlah mudah!
0 comments:
Post a Comment