Waris

Wednesday, December 18, 2013

Hari ini sebelum memasuki pejabat, saya bersama Incik Bos singgah bersarapan di sebuah kedai makan yang saya amat kenali rapat pemilik premis.

Hendak dijadikan cerita, saya disapa oleh waris terdekat yang kebetulan turut bersarapan di kedai yang sama. Saya dengan waris tersebut agak lama juga tidak bertemu dan bertanya khabar.

Sehinggakan beliau memberitahu kepada saya ayat ini, "Lama benar tak berjumpa... Sampai gigi saya pun tinggal dua," sambil jari telunjuknya menunjukkan gigi yang tinggal.

Saya mampu tersengeh sahaja dan mengiakan apa yang diberitahu. Allahu Akbar...Di kedai makan pun boleh bersilatarrahim dan memanjangkan ukhwah. Tidak mahu menjadikan pertemuan yang sia-sia selepas daripada ini, saya pantas mengambil nombor telefon beliau.

"Jangan lupa telefon. Ada masa, datang-datanglah ke rumah," ayat terakhir dilontarkan sebelum kami berpisah.

Saya mampu berkata, "In Syaa Allah. In Syaa Allah." Ala-ala lagu Maher Zain.

Mengadu

Wednesday, December 11, 2013

Ada seorang lelaki bertemu dengan saya di pejabat dan memohon nasihat hal ehwal rumah tangga. Sejujurnya saya beritahu kepada beliau bahawa saya tidak uruskan hal berkaitan tersebut dan mencadangkan agar bertemu dengan peguam lain. Namun, matanya melilau cergas dan akhirnya terpandang apa yang tercatat pada 'signboard' pejabat saya yang jelas tertera 'Peguam Syarie'. "Bos, tu ada ditulis peguam syarie?" "Erm...erm...Partner saya yang uruskan. Kalau setakat nasihat, Insya Allah boleh!" Selepas mempelawa beliau memasuki ruang bilik pejabat, beliau terus duduk. Hampir 30 minit saya 'bersyarah' sekadar termampu, tiba-tiba air mata bergenang di kelopak mata lelaki itu. "Aduhh... Adakah nasihatku salah?" Minda tertanya-tanya sendirian. "Bos... Maafkan saya. Saya tidak mampu berselindung lagi. Apa yang saya mahu pada hari ini ialah ada orang yang sudi mendengar aduan saya. Rata-rata mereka yang saya ketemui tidak mahu mendengar apa yang mahu saya cakapkan..." Bicaranya tersekat-sekat. Sekali-sekala saya mendengar bunyi batuknya. Allahu rabbi... Takut saya mendengar luahan hati beliau. Sebelum mengakhiri sesi, sempat saya pesankan sesuatu kepada beliau, "Selayaknya, adulah setiap masalah yang dihadapi kepada Allah. In Syaa Allah, pasti ada jalan penyelesaiannya kelak." Kali ini air matanya meluncur laju dan membasahi kedua-dua belah pipinya yang gebu itu. Hati sendiri pula terasa sebak dengan apa yang berlaku di hadapan mata. Allahu Akbar... Daku mohon keampunan-Mu ya Allah...

Banjir

Thursday, December 5, 2013

Melihat kepada keadaan banjir yang berlaku di Kuantan serta beberapa tempat lain, ia cukup menggentarkan perasaan dalaman saya. Tertanya-tanya apakah ia bentuk 'ujian' yang mampu ditanggung oleh mereka yang sedang berhadapan dengannya?

Persoalan 'apakah' terhenti apabila saya terjumpa satu tulisan yang ditulis oleh seorang guru yang bertaraf ulamak tentang hal ini. Kata beliau, "Ujian itu hadir untuk membersihkan dosa serta mengangkat darjat." Begitulah yang saya fahami melalui satu tulisan yang agak sedikit panjang yang ditulis oleh guru saya ini.

Mendengar dugaan bergelap, air dipotong, terputus jalan perhubungan dan sebagainya sudah menyesakkan diri ini. Ada mangsa yang mengeluh dan seolah-olah 'menyalahkan' apa yang sedang berlaku. Kata-kata yang keluar daripada mulut terkadang mampu melepasi sempadan iman jika tidak dikawal dengan betul.

Sudah tentu keperitan yang dialami itu teramat sukar untuk ditanggung serta dihadapi dalam sebaik-baik keadaan. Pepatah Melayu ada menyebut, "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul." Saya yang melihat pun sudah terasa berat ujiannya, apatah lagi yang sedang berhadapan betul-betul dengan situasi ini.

Apa-apapun, sebagai saudara serta penduduk yang cintakan tanahair ini, ayuh kita bantu mereka. Hulurkan yang termampu. Pelbagai saluran bantuan ada untuk dimanfaatkan. Tinggal sahaja, mahu ataupun tidak. Jika mahu, bertindak sahaja. Inilah peluang untuk membantu saudara kita yang terdekat. Tidak perlu tunggu saudara yang jauh di sana, di sini pun sudah cukup untuk menyatakan keprihatinan kita.

Selebih dan selayaknya, panjatkanlah doa agar Allah mempercepat ujian banjir ini.

Benar, di sebalik ujian banjir ini, di sana ada ujian keimanan buat mereka yang mahu berfikir dan mengambil pelajaran. 







Ammar - Ibrah Sebuah Kematian

Wednesday, November 20, 2013


Menonton video berdurasi lebih kurang 25 minit tentang seorang pemuda bernama ‘Ammar’ di Youtube pada hari ini membuatkan hati saya tersentuh.

Pemuda yang tidak saya kenali ini, tiba-tiba menjadi bualan ramai orang khususnya di laman social Facebook. Sehinggakan seorang sahabat baik saya mencadangkan agar saya menonton sendiri video Ammar di Youtube. Kata beliau, ada ‘ibrah’ atau pengajaran besar untuk dikutip di sebalik kisah Ammar ini.

Hari ini, semasa berurusan di kaunter kewangan di sebuah mahkamah, ada seorang staf begitu asyik menatap telefon pintar miliknya. Lalu saya tanyakan beliau, “Tengok apa tu?”

“Ni… Tengok video Ammar. Wajahnya masih basah dan tersenyum. Allahu Akbar…” Jawab staf itu ringkas.

“Saya belum tengok lagi, tetapi ramai orang bercakap tentang pemuda bernama ‘Ammar’ ini.”

Setelah beberapa situasai yang berlaku, saya berazam untuk menonton video yang sudah tersebar luas di laman sosial ini di pejabat. Selagi tidak melihatnya dengan mata kasar saya sendiri, tiada kesimpulan yang boleh saya lakukan.

Alhamdulillah… Allah izinkan saya menontonnya tanpa ada sebarang masalah di pejabat. Ia sungguh bermanfaat. Ia benar-benar bermanfaat. Ada pengajaran besar yang saya pelajari tentang kisah Ammar ini. Allahu Akbar…

Antara bahagian video yang menyebabkan hati saya tersentuh ialah apabila ditunjukkan catatan Ammar pada buku notanya setelah beliau membaca bait-bait syair Imam As-Syafie;

“Aku sangat terkesan setelah membaca syair ini… Lalu aku mula berfikir, aku sudah terlalu lama hidup dalam zon selesa. Mungkin sudah tiba masanya aku mengorak langkah berkelana untuk melihat ciptaan di muka bumi milik Sang Pencipta ini.”

Allahu Akbar. Begitu dalam maknanya syair Imam Syafie pada diri Ammar sehinggakan beliau membuat tindakan besar dalam hidupnya.

Dari Malaysia ke Turki semata-mata mahu mendalami ilmu sejarah bukanlah ‘kebetulan’ hidup, tetapi ia merupakan suatu perjalanan hidup yang hebat. Kematian beliau ditakdirkan di atas niat yang baik dan petikan kata-kata penceramah tersohor Turki semasa hari pengebumiannya cukup-cukup menyentuh hati.

Kata beliau, “Kamu keluar dari Malaysia dan datang ke Istanbul lalu bangkit bersama sabahat Nabi (Abu Ayub al-Ansari) yang datang dari Madinah ke Istanbul kerana Allah.”

Sambung beliau penuh bersemangat lagi, “Wahai saudara Muslim sekalian… Kalau kamu berjalan dengan betul, Allah akan jadikan jalan kamu itu bersama-sama jalan para sahabat Nabi.”

Saya tidak bercadang memanjangkan entri ini lagi, luangkanlah sedikit masa untuk menonton sendiri video Ammar. Didoakan ada sesuatu yang terdetik pada lubuk hati kita. Biarlah ada sesuatu untuk diambil manfaat dan dijadikan iktibar dalam perjalanan hidup ini.

Didoakan Allah menjadikan detik terakhir kehidupan kita adalah umur yang paling baik kita, Insyaa Allah. Amin.

Buat Ammar, Moga Allah merahmati serta memberkati perjalanan hidupmu. Damailah dikau di sana, kami bakal menyusul.

Di sini saya letakkan pautan video Ammar jika mahu menontonnya.


Erti Hijrah Si Blogger

Tuesday, November 12, 2013

Mencatat di blog... Itulah yang telah lama saya tidak lakukan. Banyak faktor serta asbab yang begitu tuntas untuk dilunaskan oleh saya sejak kebelakangan ini.

Namun,ia bukanlah sebab utama untuk saya tidak mencatat sesuatu di sini. Malah, jauh di sudut hati untuk berhenti daripada mencatat pada blog yang mempunyai 1001 kenangan ini. Bermula dengan sifar sehinggalah mempunyai hampir 139 entri menyebabkan saya begitu terpanggil untuk 'menghidupkan' blog yang hampir mati ini. 

Berdasarkan rekod, blog saya sudah dikunjungi oleh lebih 28,000 ribu orang dan ada sebahagian entri pernah mencecah bacaan lebih daripada 100 orang. 

Sepanjang menulis di blog ini, saya pernah ditawarkan untuk berceramah, menjalankan kursus serta yang paling tidak dijangkau oleh akal ialah ditawarkan untuk menulis buku oleh syarikat penerbitan yang saya fikir agak ternama di Malaysia ini. 

Allahu Akbar. 

Apakah makna hijrah buat blogger seperti saya?

Titik tolak mahu berblog adalah faktor mahu berubah yang lahir daripada diri sendiri. Ia hasil hijrah yang mahu dan perlu saya lakukan khususnya dalam aspek penulisan. Saya tidak mahu berada pada takuk selesa buat selama-lamanya. Ada perkara baharu yang perlu saya terokai. Ada perkara lama yang mesti saya beri nafas baru. Ada perkara yang kurang memberi manfaat mesti saya jauhi dan tinggalkan.

Begitulah hijrah yang saya mahukan. Tiada istilah selesa pada satu titik kehidupan. Ia mesti bergerak seiring dengan kapasiti serta amanah kehidupan yang pelbagai. Berundur ke belakang tidak bermakna hidup ini sudah berada pada penghujungnya. Ia mampu menjadi sebab lonjakkan kita jauh ke hadapan, In Syaa Allah.

Setiap patah kata yang ditulis serta dicatatkan biarlah mendatangkan pahala berbondong-bondong kelak. Akaun pahala itulah yang saya mahukan. Itulah yang saya kejar.

Selain itu, beramanahlah dengan setiap hasil tulisan. Elakkan menulis perkara yang boleh mendatangkan mudarat serta kurang berfaedah. Jauh sama sekali untuk mencatat perkara yang mendatangkan dosa. Itulah beberapa garis panduan yang mesti dipatuhi agar tulisan yang dicatat itu mendatangkan berkat serta rahmat Allah.

Doakan agar blog saya ini tetap subur dengan catatan-catatan yang baik dan memberi manfaat kepada khalayak.

Catatan petang Rabu (9 Muharram 1435H) oleh blogger di blog Firdaus Shope. Astaghfirullah...

'Dilarang Merokok'

Wednesday, October 23, 2013

Sebelum memasuki pejabat pada hari ini, saya bersama 'Incik Bos' singgah di sebuah kedai makan untuk bersarapan pagi. Usai memilih lauk yang mahu dimakan, saya mengambil tempat duduk.

"Bang, minum air apa?" Tanya seorang lelaki muda yang barangkali tugasnya untuk mengambil pesanan minuman pelanggan.

"Ermm...Radix ada?" Pinta saya.

Matanya segera menoleh papan yang tergantung dengan peket-peket minuman segera di dinding kedai makan lalu memberitahu, "Radix habis bang!" 

Saya juga turut menoleh kot-kot ada terselit di celah-celah belasan peket minuman yang tergantung.

Tolehan saya tidak membuahkan hasil. Bukan rezeki saya - mudah.

"Kalau macam itu, air tongkat ali lah!"

"Susu atau kosong?"

"Kosong..."

Beberapa minit kemudian, makanan yang dipesan tiba di meja saya. Begitu juga dengan air minuman. Semuanya sudah terhidang. Tinggal untuk menjamu selera sahaja.

"Abah...Abah...Cepatlah makan. Yid lapar ni..." Tiba-tiba suara 'Incik Bos' memecah hening pagi.

Saya mula menyuapkan makanan ke arah mulutnya. Sekali-sekala, suapan makanan menuju mulut sendiri. Begitulah apabila makan bersama 'Incik Bos', boleh dibilang berapa kali makanan yang memasuki mulut sendiri berbanding mulutnya.

Sedang asyik kami menjamu sarapan pagi, 'Incik Bos' memberitahu sesuatu.

"Abah...Abah...Cuba tengok tu..." Jari telunjuknya menunjukkan ke arah pelanggan dewasa yang duduk betul-betul berhadapan dengan  meja makan kami.

"Kenapa Yid?"

"Abah tengoklah dia buat apa?"

"Dia buat apa?"

"Abah, bukankah dia sedang merokok?"

Saya terdiam seribu bahasa. Tidak mampu menidakkan situasi yang benar berlaku di hadapan mata 'Incik Bos'.

Tiba-tiba sekali lagi 'Incik Bos' menarik perhatian saya pada satu sudut lain di kedai makan itu.

"Abah...Cuba abah tengok apa yang ditulis tu..." Jari telunjuknya menunjukkan ke arah papan tanda yang dilekatkan pada bahagian dinding kedai.

Saya terus memerhati.

"Boleh abah baca tak untuk Yid?"

"Dilarang merokok - No Smoking!" Saya baca perlahan-lahan ke telingan kanannya.

Itulah yang tertulis berserta dengan simbol dilarang merokok.

"Hmm... Tapi kenapa orang itu merokok? Dia tak baca ker abah tulisan di dinding itu?"

Allahu Akbar...Allah Maha Besar ke atas setiap kejadian yang berlaku.
Terkedu dengan situasi yang berlaku. Fikiran saya terus melayang dan memikirkan sesuatu yang benar-benar menyentuh hati.

Bagaimana si anak kecil boleh faham dengan amaran 'Dilarang Merokok' tatkala mereka yang dewasa tanpa segan silu 'melanggar' arahan yang jelas menjadi kesalahan undang-undang. Bagi saya, isunya bukan sekadar melanggar undang-undang tetapi tidak menjadi contoh yang baik kepada manusia di sekeliling.

Saya perhatikan pelanggan itu merokok dan habuknya dibuang ke lantai tanpa rasa bersalah. Sehinggakan memaksa tuan kedai meletakkan bekas habuk merokok di meja tempat beliau makan.

Menjadi contoh kepada manusia di sekeliling adalah tuntutan agama. Apatah lagi menjadi contoh dalam mematuhi undang-undang yang ada, ia adalah sebahagian daripada akhlak manusia yang beragama. 

Patuh kepada undang-undang kesannya bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi ia melibatkan orang lain juga. Belajarlah menjadi contoh kepada insan yang terdekat dengan diri kita. Itulah kesimpulan yang saya dapat simpulkan terhadap kejadian yang berlaku pada awal pagi tadi di kedai makan.

Terima kasih 'Incik Bos'! - Satu pengajaran berguna untuk dikongsikan bersama khalayak pembaca. 

Gaji Pertama Staf Baharu

Monday, September 30, 2013

Hari ini saya lunaskan gaji pertama staf baharu. Walaupun bisnes terumbang-ambing dan tidak menentu, itu bukanlah alasan untuk menangguhkan gaji staf. Malah, guru bisnes saya ada berpesan, "Dahulukan gaji staf daripada 'gaji' untuk diri sendiri. Jika perlu potong gaji sendiri, lakukan!" Allahu Akbar. Pesanan guru amat bermanfaat dalam konteks melestarikan bisnes untuk tempoh masa yang panjang. Sehinggakan staf saya memberitahu, "Encik, gaji yang encik berikan ini terlebih. Saya berkerja separuh bulan." "Oh, ya ka?" "Nanti saya kira betul-betul. Saya ingatkan kamu berkerja sebulan penuh." Lalu, saya bertanyakan staf, "Erm...Jadi berapa saya perlu bayar kepada kamu?" Sambil tersenyum malu, staf saya memberitahu, "Terpulanglah kepada encik!" "Kalau begitu, tak perlu bayar, boleh?" Sambil berseloroh. "Mana boleh encik..." "Ok-ok, saya bergurau sahaja. Jangan ambil hati, nanti mati!" Sambil tersenyum, tangan terus memetik laju kalkulator. Allah ya Allah... Hati begitu bersyukur kerana Allah hadirkan orang yang jujur untuk membantu urusan di pejabat. Perjalanan bisnes saya bukan mahu di akhirkan di sini, saya mahu noktahkan di Jannah, Insya Allah!

Berita Kematian Dato Seri Azizan

Thursday, September 26, 2013

Berita kematian Dato Seri Azizan, bekas Menteri Besar Kedah pada hari ini lebih kurang sama dengan berita kematian insan-insan lain yang hampir dengan kita. Berita kematian itu tidak jauh bezanya dengan berita kematian seorang pakcik yang kerjanya menanam padi di sawah di kampung saya beberapa hari yang lepas. Berita kematiannya barangkali hampir sama dengan insan lain yang mengidap penyakit seperti Dato Seri. Tiada bezanya.

Namun di sana, sebenarnya ada perbezaan yang amat ketara jika kita mahu berfikir. Ia bukan setakat berita yang diterima, dibaca, didengar, ditulis, disampaikan serta dikongsikan bersama-sama dengan insan lain. Pendek kata, ia bukan habis setakat berita sahaja. 

Apa yang mahu disampaikan ialah bagaimana saat kematian itu mampu diambil pelajaran serta pengajaran dalam kehidupan seharian kita. Itulah yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya.

Apakah ia memberi kesan kepada hati?

Apakah ia menyebabkan kita semakin hampir dengan-NYA?

Apakah-apakah...Itulah persoalan yang perlu ditanya setiap kali berita kematian menerjah ke telinga kita. 

Sesungguhnya, saat kematian itu pasti. Ia begitu hampir apabila usia kita semakin bertambah. Semakin bertambah usia, maka semakin pendeklah waktu kita hidup. Ia waktu tersisa dan amat-amat kritikal untuk menambah bekal. Logiknya begitu. 

Saat berita kematian itu hadir, katakanlah, "Innalillahi wainna ilahi roojiuun." Maksudnya, "Daripada-NYA kita datang, kepada-NYA kita kembali." Bahkan, doa serta ucapan ini pernah menjadi tajuk entri blog saya bertarikh 30 Ogos 2013.

Didoakan, berita kematian yang diterima saban waktu mampu 'menyedarkan' diri kita daripada lamunan dunia yang cukup mempersonakan. Tatkala dalaman lemah, maka luaran turut sama merasai lemah untuk mengejar akhirat.

Benarlah pesan seorang guru, "Kematian adalah bukan penamat. Ia adalah permulaan untuk sebuah kehidupan."

Wallhua'alam.

Daku mohon keampunan-Mu, ya Allah. Astaghfirullah.


Papan Tanda

Monday, September 2, 2013

Bismillah. Papan tanda ini saya tidak perasan pada awalnya. Ia berada pada laluan kebiasaan saya ke mahkamah. Allahu rabbi... 
 
Entah mengapa, kaki terhenti tepat pada papan tanda yang teguh berdiri ini. Mata memerhatikan apa yang tertulis. Rupa-rupanya ia merupakan Ayat 10, Surah Al-Jumuah.

Saya renung lama-lama ayat tersebut.

Saya baca berkali-kali maksud ayat tersebut.
 
Saya amati betul-betul maksud ayat tersebut.

Masya Allah. Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar. 
 
Allah hentikan kedua belah kaki seketika, agar mata saya dapat melihat kata-kata-NYA. Sungguh, ia ingatan penting agar kita tidak menatap ayat Al-Quran pada bulan Ramadhan sahaja. Pada bulan-bulan lain, jangan dilupakan.

Astaghfirullah. Cukuplah papan tanda ini menjadi asbab agar diri saya tidak lupa akan kata-kata Allah yang maha hebat.

“Innalillahi wainna ilaihi roojiuun…”

Friday, August 30, 2013



Semalam (29 Ogos 2013), saya sempat menziarahi junior sekolah menengah yang kehilangan ayah tercinta buat selama-lamanya. Ramai juga kenalan terdekat hadir dan mengucapkan takziah. Di samping itu, saya juga sempat bersolat jenazah walaupun tersesat seketika dalam perjalanan menuju ke rumah junior di Tanah Merah. 

“Innalillahi wainna ilaihi roojiuun…” - Sesungguhnya daripada DIA kita datang dan kepada-NYA kita pergi. 

Begitulah episod sebuah kehidupan insan. Hakikatnya, ada hidup dan mati. Sesiapa pun mempercayai hakikat ini hatta orang bukan Islam.

Teringat memori semasa menziarahi arwah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian beberapa bulan dahulu, sifat peramahnya cukup saya ingati. Banyak cerita serta nasihat berguna beliau kongsikan. 

Dari raut wajahnya, saya lihat beliau begitu ‘tabah’ dan ‘sabar’ menghadapi ujian kanser. Melalui pemerhatian luaran pada waktu itu, itulah yang dapat saya nyatakan. Pasti ahli keluarga beliau lebih merasai serta memahami akan ujian Allah ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Allahu Rabbi… Allah Maha Mengetahui ke atas segala sesuatu. Setiap yang berlaku, tidak ada yang sia-sia. Ia juga merupakan pelajaran kehidupan buat diri saya. Apakah saya mahu berfikir dan mengambil pelajaran ke atas setiap kejadian yang berlaku khususnya - kematian.

Doa saya agar roh arwah ditempatkan di kalangan mereka yang soleh serta beriman di sisi-Nya. Moga Allah mengampunkan segala dosa serta merahmati arwah di alam sana. 

Kelak, kita juga pasti akan ke sana!

Gelaran

Sunday, August 25, 2013

Ada segelintir peguam menggelarkan diri saya sebagai 'peguam motivator' atau 'ustaz', ada pula yang menggelarkan 'penulis buku' dan tidak kurang yang berseloroh mahu saya memberikan 'ceramah' atau 'motivasi' pada khalayak.

Takut sungguh dengan gelaran-gelaran tersebut.

Barangkali gelaran itu tercipta apabila mereka membaca tulisan saya di Facebook. Barangkali juga 'persepsi' itu wujud hasil daripada rakan-rakan Facebook yang saya kenali. Wallahu'alam.

Cuma, sebagai penegasan daripada saya sendiri, saya lebih suka dikenali sebagai Facebooker. Saya bukanlah motivator, bukan juga ustaz. Bak kata Saudara Sham Kamikaze, "Saya bukanlah ustaz, tetapi baru nak 'start'".

Pada saat ini, saya juga bukanlah penulis buku. Saya belum menulis apa-apa judul buku pun lagi. Namun, saya lebih suka dikenali sebagai Penulis di Muka Buku atau Blogger di Firdaus Shope. Blog saya boleh dilayari melalui pautan ini http://www.firdaushope.blogspot.com/. Di sana ada pelbagai tulisan yang telah saya tulis untuk dibaca.

Didoakan agar gelaran 'penulis buku' dimakbulkan Allah berbanding dengan gelaran-gelaran lain yang tidak ada dalam keutamaan saya. Jika ada sekalipun, ia berada pada senaraian bukan nombor satu. Insya Allah, gelaran sebagai 'penulis buku' setakat ini menjadi keutamaan saya berbanding dengan gelaran-gelaran lain. Ia lebih dekat di hati. Bahkan, ia lebih realistik dengan diri sendiri.

Al-Quran Di Hati, Sebuah Catatan Ringkas

Monday, July 29, 2013



Bismillah. Catatan Ceramah Nuzul Al-Quran di SMKA Falahiah, Kelantan pada 27 Julai 2013.

Pada hari Sabtu lepas, saya diizinkan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke sekolah lama. Itupun setelah menerima mesej daripada Presiden ALUMNI SMKA FALAHIAH (AL-FALAH), Tuan Mohd Razif Abdullah sendiri.

Ringkasan mesej beliau tertulis lebih kurang begini, "Bro, free malam esok? Ada ceramah Nuzul Al-Quran oleh Saudara Ameer Azeezy Abu Abdullah."

Ajakan baik, kadangkala sukar jika tiada dalam perancangan awal minda. Minda mungkin kata tidak mahu pada mulanya, tetapi boleh berubah menjadi mahu pada akhirnya. Begitulah minda, ia dikawal oleh jantung hati bak kata tokoh agama negara.

Dipendekkan cerita, saya tiba di perkarangan sekolah lama dengan penuh kesyukuran. Agak lama juga tidak ke sini. Walaupun jarak sekolah dengan rumah saya tidak sampai 5 kilometer, jika Allah tidak izinkan untuk sampai, pasti saya tidak sampai.

Usai berterawih. Imam mengalunkan zikir munajat. Ya Allah, ia menggamit memori lalu apabila adik-adik pelajar mengalunkan bersama penuh semangat. Gema suara memecah sunyi masjid serta kepekatan malam. Bulu roma saya meremang, jantung hati pula bergoncang kuat. Hebat! Masya Allah. Subhanallah.

Begitulah, zikir apabila ada fikir. Terasa nikmatnya. Terasa rohnya. Fikir tanpa zikir, zikir tanpa fikir seperti kata sifu saya - tiada makna - kembali merewang dalam sarang minda.

Tatkala zikir sedang berkumandang, mata saya terpana pada sebuah rak Al-Quran yang terletak di bahagian tepi masjid.

Hati tiba-tiba terasa sayu. Sayu melihat keadaan fizikal Al-Quran yang sudah lusuh dan uzur. Entah kenapa, tangan saya gatal untuk 'snap' keadaan rak Al-Quran ini dengan kamera ciput.

Untuk beberapa tempoh, saya teringatkan kisah seorang penggerak NGO yang menceritakan perihal umat Islam di Kemboja yang memerlukan Al-Quran untuk kegunaan mereka di sana. Menurutnya, "Mereka di sana begitu dhaif. Al-Quran terpaksa dikoyak-koyak serta disusun mengikut juzuk kecil agar dapat dimanfaatkan oleh ramai orang. Jika satu naskhah Al-Quran, mereka akan pecahkan kepada 30 juzuk dan agih-agihkan kepada 30 orang. Seorang akan dapat satu juzuk. Jika mahu baca juzuk lain, mereka kena bertukar."

Di tempat kita, rasanya tidak berlaku sedemikian. Fikir saya begitu.

Usai slot ceramah dan makan-makan bersama sahabat serta ustaz bertugas, saya pun pulang bersama sahabat baik.

Hampir 10 minit kami tidak bercakap. Fikiran saya terganggu apabila melihat keadaan fizikal 'Al-Quran' di sekolah lama. Kebetulan, sahabat saya memainkan bacaan Al-Quran melalui pemain CD keretanya. Ia sungguh menenangkan jiwa. Ia sedikit sebanyak menghilangkan 'gangguan' yang bersarang pada minda.

----------

Bagi saya, menerima mesej ajakan ke ceramah Nuzul Al-Quran, mendengar alunan zikir tentang 'Al-Quran', mendengar ceramah tentang 'Al-Quran', melihat fizikal 'Al-Quran' yang dhaif, teringatkan kisah seorang penggerak NGO di Kemboja serta mendengar bacaan 'Al-Quran' di dalam kereta sahabat merupakan petanda serta ingatan baik dari Allah agar saya terus mencintai Al-Quran. Cinta pada Al-Quran bukan sekadar dengan membacaannya, malah menterjemah dalam kehidupan seharian. 

Allahu rabbi...Ceramah Nuzul Al-Quran di sekolah baru-baru ini menyedarkan saya betapa pentingnya Al-Quran dalam hidup. Tajuk ceramah begitu kena dengan beberapa catatan kecil yang berlaku sepanjang malam pada diri sendiri. Benar, Al-Quran adaIah panduan menuju jalan yang benar. Beruntunglah kepada mereka yang benar-benar meletakkan 'Al-Quran' di dalam hati, bukan pada rak atau almari semata! Astaghfirullah...