Bismillah.
Catatan Ceramah Nuzul Al-Quran di SMKA Falahiah, Kelantan pada 27 Julai 2013.
Pada hari Sabtu
lepas, saya diizinkan oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke sekolah lama. Itupun
setelah menerima mesej daripada Presiden ALUMNI SMKA FALAHIAH (AL-FALAH), Tuan
Mohd Razif Abdullah sendiri.
Ringkasan mesej
beliau tertulis lebih kurang begini, "Bro, free malam esok? Ada ceramah
Nuzul Al-Quran oleh Saudara Ameer Azeezy Abu Abdullah."
Ajakan baik,
kadangkala sukar jika tiada dalam perancangan awal minda. Minda mungkin kata
tidak mahu pada mulanya, tetapi boleh berubah menjadi mahu pada akhirnya.
Begitulah minda, ia dikawal oleh jantung hati bak kata tokoh agama negara.
Dipendekkan
cerita, saya tiba di perkarangan sekolah lama dengan penuh kesyukuran. Agak
lama juga tidak ke sini. Walaupun jarak sekolah dengan rumah saya tidak sampai
5 kilometer, jika Allah tidak izinkan untuk sampai, pasti saya tidak sampai.
Usai berterawih.
Imam mengalunkan zikir munajat. Ya Allah, ia menggamit memori lalu apabila
adik-adik pelajar mengalunkan bersama penuh semangat. Gema suara memecah sunyi
masjid serta kepekatan malam. Bulu roma saya meremang, jantung hati pula
bergoncang kuat. Hebat! Masya Allah. Subhanallah.
Begitulah, zikir
apabila ada fikir. Terasa nikmatnya. Terasa rohnya. Fikir tanpa zikir, zikir
tanpa fikir seperti kata sifu saya - tiada makna - kembali merewang dalam
sarang minda.
Tatkala zikir
sedang berkumandang, mata saya terpana pada sebuah rak Al-Quran yang terletak
di bahagian tepi masjid.
Hati tiba-tiba
terasa sayu. Sayu melihat keadaan fizikal Al-Quran yang sudah lusuh dan uzur.
Entah kenapa, tangan saya gatal untuk 'snap' keadaan rak Al-Quran ini
dengan kamera ciput.
Untuk beberapa
tempoh, saya teringatkan kisah seorang penggerak NGO yang menceritakan perihal
umat Islam di Kemboja yang memerlukan Al-Quran untuk kegunaan mereka di sana.
Menurutnya, "Mereka di sana begitu dhaif. Al-Quran terpaksa
dikoyak-koyak serta disusun mengikut juzuk kecil agar dapat dimanfaatkan oleh
ramai orang. Jika satu naskhah Al-Quran, mereka akan pecahkan kepada 30 juzuk
dan agih-agihkan kepada 30 orang. Seorang akan dapat satu juzuk. Jika mahu baca
juzuk lain, mereka kena bertukar."
Di tempat kita,
rasanya tidak berlaku sedemikian. Fikir saya begitu.
Usai slot
ceramah dan makan-makan bersama sahabat serta ustaz bertugas, saya pun pulang
bersama sahabat baik.
Hampir 10 minit
kami tidak bercakap. Fikiran saya terganggu apabila melihat keadaan fizikal 'Al-Quran'
di sekolah lama. Kebetulan, sahabat saya memainkan bacaan Al-Quran melalui
pemain CD keretanya. Ia sungguh menenangkan jiwa. Ia sedikit sebanyak
menghilangkan 'gangguan' yang bersarang pada minda.
----------
Bagi saya,
menerima mesej ajakan ke ceramah Nuzul Al-Quran, mendengar alunan zikir tentang
'Al-Quran', mendengar ceramah tentang 'Al-Quran', melihat fizikal
'Al-Quran' yang dhaif, teringatkan kisah seorang penggerak NGO di Kemboja
serta mendengar bacaan 'Al-Quran' di dalam kereta sahabat merupakan
petanda serta ingatan baik dari Allah agar saya terus mencintai Al-Quran. Cinta
pada Al-Quran bukan sekadar dengan membacaannya, malah menterjemah dalam
kehidupan seharian.
Allahu
rabbi...Ceramah Nuzul Al-Quran di sekolah baru-baru
ini menyedarkan saya betapa pentingnya Al-Quran dalam hidup. Tajuk ceramah
begitu kena dengan beberapa catatan kecil yang berlaku sepanjang malam pada
diri sendiri. Benar, Al-Quran adaIah panduan menuju jalan yang benar.
Beruntunglah kepada mereka yang benar-benar meletakkan 'Al-Quran' di
dalam hati, bukan pada rak atau almari semata! Astaghfirullah...
0 comments:
Post a Comment