Kisah Duit 50 sen

Sunday, April 7, 2013


“Kringggg.. Terima kasih cikgu.”

Semua pelajar mula beredar ke kantin. Namun ada seorang pelajar tidak keluar untuk berehat. Dia masih duduk di bangku dan matanya sepi memandang ke luar tingkap.

“Zafri, awak tak rehat ke?” Tanya guru mata pelajaran agama kepada pelajarnya.

“Tak, cikgu.” Jawab Zafri ringkas.

“Kenapa Zafri tak rehat?”

Jawab Zafri, "Mak saya beri 50 sen sehari cikgu. Di kantin sekolah, 50 sen ini hanya dapat beli nugget je sekeping. Malu la cikgu beratur panjang-panjang, tapi dapat beli nugget sekeping je. Saya kumpul duit hari ini untuk makan pada hari esok. Jadi dapatlah saya makan nugget 50 sen dan segelas air sirap 50 sen. Saya pergi ke kantin hanya pada hari Selasa dan Khamis je cikgu.” Zafri tertunduk malu selepas memberitahu kisahnya.

Perasaan seorang guru mula bercampur baur, sedih dan sebak. Pada tahun 2013 ini masih ada pelajar yang membawa wang saku 50 sen ke sekolah. Ramai di antara kita memandang 50 sen jumlah yang kecil sedangkan bagi pelajar ini 50 sen sangat besar ertinya.

Guru itu terus bertanyakan soalan, “Kalau hari Jumaat, Zafri tak pergi kantin lah ye?”
“Oh... Hari Jumaat duit 50 sen ini saya sedekahkan di masjid, cikgu!” Jawab Zafri perlahan. Lalu terus menyambung jawapannya, “Mak saya kata, kalau kita sedekah, rezeki akan bertambah...”

Mata seorang cikgu mula berkaca...Terkejut serta perasaan bertambah sebak. “Dah la duit ada 50 sen. Siap boleh sedekah pula. Ya Allah, limpahkanlah rezeki bagi keluarga pelajarku ini. Luaskan rezeki mereka. Semoga mereka tidak lagi berada dalam kemiskinan.

Kisah pelajar sendiri begitu terpukul pada diri sendiri. Sewaktu kaki melangkah keluar dari kelas itu, minda terbayangkan duit 50 sen yang diberi unttk makan, diinfakkan untuk tabung masjid pada setiap kali hari Jumaat.

Kisah ini nampak kecil, tetapi bagi seorang guru agama seperti saya, ia cukup besar pengajarannya. Bahkan, mungkin Allah mahu bukakan mata saya agar dapat melihat amalan bersedekah pelajar sendiri walau hanya dengan 50 sen.

NOTA | Kisah ini merupakan petikan kisah yang dibaca oleh saya di Facebook. Sedikit adaptasi dilakukan agar ia kelihatan menarik dan saya cuba sedaya upaya untuk mengekalkan agar mesej utama kisah ini tidak berubah. Didoakan ia memberi manfaat serta kebaikan untuk diri kita yang membacanya. 


0 comments:

Post a Comment