Seawal pagi Khamis ini, saya membaca
sebuah nukilan ringkas seorang guru yang begitu menusuk hati. Allahu rabbi...
Walaupun nukilannya ringkas, namun ertinya cukup besar.
Perhatikan apa yang dikongsikan oleh
guru saya;
"Sayang Allah... jaga
solat.
Sayang Rasulullah... banyak
berselawat.
Sayang diri... sentiasa taubat.
Senyum yang paling indah ialah senyum
yang membuat orang lain tersenyum!"
Gabungan solat, berselawat dan taubat
mampu menatijahkan insan berhati emas jika ia benar-benar berjaya diterap serta
diaplikasikan dalam kehidupan seharian insan. Seandainya gabungan tersebut
sebati dan menjadi darah daging insan, pasti ia mampu melahirkan insan luar
biasa hebat di sisi Allah dan juga sesama manusia.
Tanpa mengenepikan aspek atau faktor
yang lain, sejujurnya tiga gabungan ini jika diamali secara bersungguh dan
penuh ikhlas, ia mampu membantu untuk melahirkan rasa sayang insan kepada
Allah, Rasul dan juga diri sendiri.
Tanda 'sayang' begitulah... Ia
perlu dibayar dengan harga yang mahal untuk mendapatkan sayang yang sejati.
Bukankah bersolat, berselawat serta
bertaubat itu mahal? Jika jawapannya 'ya', maka kejarlah dan dapatkan ia
tatkala peluang tersebut masih ada di hadapan mata. Insya-Allah, kelak ia mampu
membuatkan kita tersenyum kepuasan kerana tanda sayang kita berbalas dengan
balasan yang baik.
0 comments:
Post a Comment