Rezeki Allah Itu Maha Luas

Wednesday, March 26, 2014

Di sebuah restoren yang tiada bintang, saya bawa keluarga untuk menikmati makanan seafood. Rasa di hati, agak lama juga saya tidak menikmati seafood bersama mereka.

Sebelum tiba di restoren itu, saya perhatikan hanya ada satu ruang parkir sahaja yang belum dipenuhi. Apa lagi, kereta yang saya pandu segera memasuki ruang parkir yang masih belum bertuan. Kebiasaan, ruang parkir di hadapan restoren itu penuh tambahan pula pada waktu puncak serta musim cuti sekolah.

Bagi saya, ia merupakan rezeki parkir yang telah ditetapkan buat saya sekeluarga. Mudahnya begitu.

Seterusnya kami segera memasuki ruang utama restoren dan kelihatan lautan manusia sudah memenuhi setiap meja yang ada. Mereka begitu sibuk dengan hidangan seafood yang saya kira ia begitu menyelerakan walaupun saya sendiri masih lagi tercari-cari meja kosong untuk diduduki. Jelas - Yang masih kosong, sudah diletakkan penanda 'reserve'. Lalu saya tanyakan kepada pelayan bertugas sekiranya ada meja kosong. Beliau segera memberitahu, "Ada lagi bang. Meja di hadapan pintu masuk. Itu pun hampir-hampir ditempah orang. Itu sahaja yang ada. Yang lain, semuanya penuh."

"Okey. Bolehlah..." Mulut segera menjawab kerana saya yakin ia satu-satunya pilihan yang ada. Jika dibiar, pasti meja itu menjadi milik orang lain yang sedang beratur menunggu giliran.

Nah, rezeki lagi... Tadi dapat petak parkir, sekarang meja makan pula. Masya Allah...

Dipendekkan cerita, usai makan-makan saya terus ke kaunter bayaran. Pemilik restoren yang sedikit sibuk segera bertanyakan saya, "Meja mana ya?"

"Meja depan sekali, dekat dengan pintu," jelas saya lemah. Lemah kerana kekenyangan. Seolah-olah keseluruhan tenaga digunakan untuk sesi makan tadi.

"Berapa orang?"

"Dua orang."

"RM50-00!"

Semasa tangan mula menghulurkan wang, akal saya tersentak seketika. Tersentak kerana terlupa untuk mengira anak saya iaitu Incik Bos dalam senaraian mereka yang makan tadi.

"Maaf, saya terlupa nak kira anak saya tadi. Semuanya tiga orang," jelas saya membetulkan keadaan kerana saya tidak mahu apa yang dimakan di restoren itu menjadi asbab sumber makanan yang memasuki perut ahli keluarga kami menjadi tidak halal walaupun seafood itu sah-sah halal. Bahkan saya bimbang kami terhijab daripada keberkatan makanan.

Renungan mata pemilik restoren itu sedikit tajam dan dahi beliau mulai berkerut. Saya pula berasa bersalah kerana tidak memberikan maklumat yang betul.

Sambil tersenyum seraya berkata, "Tak apa. Malam ini saya belanja anak kamu. Orang ramai sangat malam ini. Kira rezeki anak kamulah ya!"

Jika dikira-kira, sepatutnya saya perlu menambah wang lebih kurang RM13-00 lagi kepada beliau sebagai bayaran makanan seafood.

Alhamdulillah. Hati teramat lega. Lega kerana kami pulang dengan memakan rezeki yang halal. Bimbang ia menjadi persoalan yang tidak mampu saya jawab kelak.

Sungguh, rezeki-rezeki yang berlaku ini menyebabkan saya berfikir bahawa Rezeki Allah Itu Maha Luas. Akal saya tidak terjangkau untuk menekanya.

Astaghfirullah...

Moga Allah limpahkan rezeki buat pemilik restoren itu 
(hati saya menyatakan secara jelas nama pemilik restoren itu)

0 comments:

Post a Comment