Kerja - Pilih atau Memilih?

Friday, April 4, 2014


Pagi Sabtu nan tenang, saya perlu ke pejabat untuk menunaikan janji temu bersama klien. Kebetulan klien saya ini merupakan seorang guru dan hampir kebanyakkan waktu pada hari berkerja beliau dihabiskan di sekolah. Ruang serta peluang untuk bertemu pada hari berkerja agak tipis kerana ia memerlukan keizinan daripada majikan tempat beliau menabur bakti terlebih dahulu.

“Kalau hari Sabtu boleh tak saya nak jumpa?”

“Kebiasaan pejabat saya tutup pada cuti hujung minggu. Kalau buka sekalipun bergantung pada temu janji yang dilakukan. Jika ia sesuai, Insya-Allah saya datang.” Terang saya sejelas-jelas agar tidak terkeliru di kemudian hari.

“Kalau begitu, hari Sabtu (5/4/2014) free tak?”

“Kejap ya... Saya perlu semak diari kerja saya terlebih dahulu. Takut-takut ada urusan yang tidak boleh saya elakkan.”

Diari kerja yang ada di atas meja saya belek-belek. Saya tatap betul-betul jadual kerja pada bulan April 2014. Selang beberapa tika, saya memberitahu beliau, “Okey.. Sabtu ini antara pukul 9 pagi hingga 10 pagi, boleh?”

“Okey... Saya jumpa encik pada hari Sabtu ya!” Jawab beliau penuh girang selepas kata putus untuk temu janji dimeterai.

Sabtu, 5 April 2014

Lebih kurang jam 9.20 pagi, satu mesej memasuki peti kotak mesej telefon saya. Saya buka dan baca mesej tersebut.

“Encik Firdaus, Jadi ker pagi ni nak bertemu?”

Saya sedikit kehairanan. Akal tertanya-tanya juga, “Tidak jadikah?”, “Bukankah dah diputuskan mahu bertemu?”

Agar akal tidak berfikir yang bukan-bukan, saya balas mesej kepada beliau dan menyatakan, “Insya-Allah, jadi. Saya sudahpun berada di pejabat sekarang.”

“Ok.” Balas mesej beliau.

Hampir 20 minit saya berurusan, beliau ada bertanyakan saya mengapa pilih untuk jadi peguam. Tidak berkerja dengan kerajaan atau orang lain.

Soalan beliau memerlukan jawapan panjang dan terkadang sukar untuk saya jelaskan dalam tempoh masa yang singkat. Saya beitahu kepada beliau, “Sejujurnya saya begitu sayangkan ijazah undang-undang yang saya miliki. Hampir enam tahun berpenat lelah, saya fikir untuk berada dalam bidang kepeguaman secara langsung menjadi fardhu kifayah saya. Maka pada saat itu, saya bermohon agar Allah tunjukkan sebaik-baik jalan untuk saya ikuti.”

Matanya begitu fokus terhadap saya. Mungkin apa yang dikongsikan itu agak berat untuk beliau terima dan fahami. Atau mungkin... Entahlah...

Tiba-tiba...Beliau membuka mulut dan memberitahu sesuatu.

“Saya cukup kagum apabila encik dapat praktis apa yang dipelajari. Bukan semua graduan lakukan apa yang beliau pelajari. Sehinggakan saya sendiri berpesan kepada anak murid saya sendiri, 'Kerja apa sahaja kelak. Jangan memilih kerja!'”

Selagimana kerja itu didasari serta dilakukan semata-mata kerana Allah, maka ia pasti baik buat kita. Memilih berdasarkan ilmu dan iman tidak sama dengan memilih tanpa salah satu daripadanya. Apatah lagi ia didasari oleh nafsu yang sukar diuruskan.

Tanyalah ke dalam diri, pasti ada jawapannya.
Kerja- Pilih atau memilih?

Senyum!



0 comments:

Post a Comment